Social Icons

Social Icons

Isnin, 21 Mac 2011

Tengku Ampuan Bariah selamat disemadi

TUANKU Mizan menyiram air mawar di pusara bonda baginda, Almarhum Tengku Ampuan Bariah di Makam Diraja Masjid Al Muktafibillah Shah di Kuala Terengganu, semalam.

KUALA TERENGGANU: Jenazah bonda Yang di-Pertuan Agong, Tengku Ampuan Bariah Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah selamat disemadikan di Makam Diraja Masjid Al Muktafibillah Shah, Ladang, di sini, selepas solat Asar dengan penuh penghormatan diraja, semalam.

Kemangkatan baginda, 78, di Hospital Seri Kota, Klang, Selangor pada jam 1.22 pagi, semalam diumumkan Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong, Datuk Mohd Zuki Ali dalam satu kenyataan.

Jenazah Almarhum dibawa pulang ke sini menggunakan pesawat khas C130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) pada jam 11.45 pagi.

Mengiringi jenazah ialah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah dan keluarga yang berlepas dari pangkalan itu dengan pesawat khas.

Antara yang turut berada di Pangkalan TUDM ialah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah; Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Sebaik tiba di Kuala Terengganu, jenazah Almarhum dibawa ke Istana Maziah untuk membolehkan rakyat memberi penghormatan terakhir mulai jam 1 tengah hari hingga 2.30 petang.

Jenazah kemudian diletakkan dalam pedati khas dan ditarik dari Istana Maziah untuk perjalanan sejauh empat kilometer ke Makam Diraja Masjid Al Muktafibillah dengan diiring Tuanku Mizan, Tuanku Nur Zahirah, keluarga diraja dan ahli EXCO kerajaan negeri dan ketua jabatan dan agensi kerajaan.
Jenazah Almarhum kemudian disemadikan bersebelahan pusara suaminya, Almarhum Sultan Mahmud Al Muktafibillah Shah di makam diraja itu sebelum Mufti Negeri, Datuk Dr Alias Abdullah membacakan talkin dan doa.

Terdahulu, Tengku Puan Pahang Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, berangkat menziarahi Almarhumah yang ditempatkan di Istana Maziah, bagi memberi peluang kerabat diraja dan orang kenamaan memberi penghormatan terakhir.

Tuanku Mizan yang turut diiringi Tuanku Nur Zahirah serta dua anakanda, memasuki ruang Istana Maziah jam 2.05 petang untuk penghormatan terakhir.

Turut menziarahi jenazah Almarhum ialah beberapa kerabat diraja Perak dan Kelantan serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Mohamed Awang Tera bersama isteri Toh Puan Wan Zaharah Wan Yahya; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Rozi Mamat dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Datuk Wan Ahamad Wan Muda.

Sementara itu, Wan Ahamad Wan Muda, berkata kerajaan negeri mengarahkan bendera dikibar separuh tiang sepanjang tempoh berkabung selama 40 hari.

Katanya, sepanjang tempoh berkabung juga, semua program dan kegiatan berunsurkan hiburan dibatalkan.

Almarhum Tengku Bariah diputerakan pada 31 Ogos 1933 di Klang, Selangor berkahwin dengan Almarhum Sultan Mahmud yang pada masa itu bergelar Yang Teramat Mulia Yang Di-Pertuan Muda pada 22 Mac 1952 di Kuala Lumpur.

Almarhum kemudian dikurnia gelaran Tengku Puan Muda oleh Duli Yang Maha Mulia Almarhum Tuanku Al-Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada 7 April 1954 dan dilantik menjadi Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Besar Terengganu pada 20 September 1979.

Copy from Berita Harian Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nuffnang Ads

 

Sample text

Sample Text

Sample Text