Social Icons

Social Icons

Rabu, 24 Ogos 2011

RM1.4b peruntukan KAR1SMA

Oleh Johari Ibrahim

2011/08/25





NAJIB bersalaman dengan Muhyiddin selepas melancarkan program KAR1SMA, di Putrajaya, semalam. Turut kelihatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Bantuan kebajikan elak 500,000 penerima terus hidup terpinggir

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata sebanyak RM1.4 bilion diperuntukkan bagi membantu kira-kira 500,000 penerima bantuan kebajikan masyarakat melalui Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA) tahun ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, bantuan yang akan diberikan pada setiap bulan itu bagi membantu kumpulan sasar yang antaranya terdiri daripada warga emas, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan kini, termasuk balu askar dan polis.
Beliau berkata, pada tahun lalu, kerajaan memperuntukkan RM1.2 bilion bagi bantuan kepada 424,000 golongan memerlukan.
“Kerajaan mengambil langkah itu kerana mahu menegakkan keadilan sosial dalam negara, satu daripada tiang utama kepada Gagasan 1Malaysia dan penting dalam falsafah negara.

“Mereka ini (500,000) adalah kelompok besar dalam masyarakat kita dan jika tidak ada sesuatu intenvensi kerajaan yang khusus dalam program yang tersusun rapi, mereka terus berada dalam keadaan terpinggir dan terbiar dan kita akan gagal menegakkan keadilan.

“Hari ini, saya boleh sahkan sebagai Menteri Kewangan, bajetnya RM1.4 bilion (2011) untuk lebih kurang 500,000 anggota masyarakat yang kita dapat takrifkan sebagai kumpulan sasar,” katanya berucap pada pelancaran program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA) di pejabatnya di sini, semalam.

Program kebajikan itu diilhamkan Perdana Menteri diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Peruntukan itu merangkumi bantuan untuk kanak-kanak RM290 juta; OKU (RM332 juta), warga emas (RM455 juta) dan membiayai program kemasyarakatan peringkat komuniti (RM303 juta).

Menerusi program itu juga, satu kategori baru bantuan kewangan diperkenalkan bagi balu anggota tentera dan polis yang layak, membabitkan peruntukan RM4.1 juta.

Selain bantuan kewangan, beliau berharap mereka terbabit kelak akan turut diberikan ilmu, semangat serta kemahiran baru supaya boleh berubah pada masa depan.

Sementara itu, Shahrizat berkata, pelbagai perkhidmatan disediakan menerusi KAR1SMA seperti bantuan kewangan bulanan, perkhidmatan di institusi, pusat jagaan harian, Program Ziarah dan Bantu, insentif OKU produktif, dorongan kerjaya (Job Coach), latihan kemahiran ibu tunggal serta wanita, perkhidmatan kesihatan, mamogram, taman asuhan kanak-kanak, pusat aktiviti kanak-kanak dan inisiatif kebajikan produktif.

Sementara itu, di TEMERLOH pada majlis berbuka puasa anjuran BN Pahang, di Dataran Tok Gajah, di sini, semalam, Najib berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) masih berupaya mengurus tadbir negara dengan berkesan, terutama memperjuangkan konsep menegakkan keadilan sosial demi kepentingan rakyat, walaupun dalam keadaan ekonomi dunia tidak menentu.

Justeru, Perdana Menteri menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya kerajaan berpeluk tubuh dan tidak mampu berbuat apa-apa disebabkan fenomena global.

Copy from Berita Harian Online

Selasa, 2 Ogos 2011

Peneroka FELDA dapat duit raya RM42.6 juta

2011/08/03

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan pemberian wang raya berjumlah RM42.6 juta kepada 112,635 peneroka FELDA di seluruh negara sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.

Peruntukan duit raya kali ini meningkat RM5.41 juta atau 14.54 peratus berbanding RM37.20 juta tahun lalu, dan bayaran akan dibuat kepada semua peneroka dalam minggu kedua bulan Ramadan serta dibayar pada peringkat rancangan FELDA seluruh negara.
Sambil menjelaskan kaedah pemberian wang raya tahun ini adalah sama dengan tahun lalu, Perdana Menteri berkata, 89.1 peratus atau 100,357 peneroka bersama FELDA akan menerima RM400 seorang membabitkan peruntukan berjumlah RM40.14 juta.




Bagi 10.9 peratus atau 12,278 peneroka yang tidak bersama FELDA pula menerima RM200 seorang membabitkan peruntukan berjumlah RM2.46 juta.

“Pemberian ini adalah untuk menghargai sumbangan peneroka kepada pembangunan FELDA, di samping membantu perbelanjaan persiapan menjelang Hari Lebaran.

“Saya berharap pemberian wang ini akan dapat meringankan beban kewangan peneroka dalam membuat persiapan menyambut ketibaan Syawal,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini.

Pemberian wang raya kepada peneroka sudah dilaksanakan sejak 2003 yang mana pada tahun lalu, peneroka bersama FELDA atau yang menjual hasil kepada FELDA menerima RM350 seorang, sementara yang tidak bersama FELDA pula RM150 seorang.
Dalam pada itu, Najib turut menyeru peneroka yang tidak bersama FELDA supaya kembali bersama FELDA bagi memaju dan memakmurkan lagi tanah rancangan.

Copy from Berita Harian Online

Isnin, 1 Ogos 2011

Meriah sekejap, merana seumur hidup

Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin
hanneeyzah@bharian.com.my
2011/08/02




KERATAN muka depan Berita Harian, Ramadan tahun lalu.


MOHD ASRIZAN menggunakan kaki palsu akibat terkena serpihan mercun tahun lalu di Kampung Makam Lama, Cabang Tiga, Kuala Terengganu.


Mangsa letupan ‘gudang’ mercun kesal, insafi kesilapan Ramadan lalu

KUALA TERENGGANU: “Sampai sekarang, saya menyesal dengan apa yang berlaku hingga saya cacat. Saya menasihatkan jangan sesekali terbabit dengan mercun, sebab meriahnya hanya sekejap tetapi lepas itu, kita boleh merana seumur hidup.
“Apapun, saya bersyukur kepada Allah SWT kerana masih memberi peluang bernafas dan menginsafi kesilapan lalu. Saya tidak akan mengulanginya kerana sudah kesal dan insaf," kata Mohd Asrizan Muda, 24, yang hancur kaki kanan dalam letupan di rumah tinggal di Kampung Makam Lama, di sini, yang percayai dijadikan gudang menyimpan mercun dan bunga api, awal Ramadan tahun lalu.

Kejadian tragis itu bukan saja menyebabkan kaki kudung selain beberapa kecederaan di anggota badan, tetapi lebih menyayat hati, seorang kanak-kanak berusia enam tahun yang juga anak rakannya, Khairul Arief Ayub, maut dan mayatnya melambung tersangkut setinggi 15 meter di atas pokok dengan kepalanya hancur.

Tragedi berdarah pada 12 Ramadan tahun lalu turut mencederakan seorang lagi rakannya, Mazlan Abdullah, 30, yang cedera di mata, muka dan badan selepas stok mercun dan bunga api di rumah tinggal itu meletup sehingga dentumannya boleh didengari sejauh empat kilometer.

Mohd Asrizan yang lebih dikenali sebagai Botak di kalangan penduduk kampung berkata, Ramadan kali ini mengingatkannya dengan kejadian itu yang menyebabkannya koma tiga bulan dan terlantar di hospital, sehingga lehernya ditebuk untuk membolehkannya bernafas kerana keadaannya kritikal ketika itu.

"Selepas sedar daripada koma, saya sedih melihat kaki kanan kudung. Hanya Allah tahu pilunya perasaan saya melihat kaki kanan dipotong bermula dari bawah lutut, selain cedera teruk di kaki kiri. Saya kini, terpaksa menggunakan kaki palsu manakala kaki kiri pula sakit dan tidak boleh berdiri lama kerana buku lali beralih ke tapak kaki.
"Saya bagaikan mati hidup semula. Walaupun kesal, ia tidak mampu mengubah masa lalu dan berharap, ia menjadi pengajaran kepada orang lain kerana selagi tidak kena, kita tidak serik.

"Menjelang Aidilfitri tidak lama lagi, pasti ramai menjual dan bermain mercun kononnya memeriahkan perayaan tetapi perlu beringat kerana menyesal kemudian tidak berguna," katanya ditemui di Kampung Seberang Baruh di sini.

Beliau kini banyak membantu ibunya menjahit di rumah sebagai punca pendapatan, selain berbasikal mengelilingi kampung untuk membiasakan pergerakan kakinya.

Copy from Berita Harian Online

Nuffnang Ads

 

Sample text

Sample Text

Sample Text