Social Icons

Social Icons

Isnin, 16 Mei 2011

Israel tembak Rachel Corrie

Daripada Syed Azwan Syed Ali di Kaherah
bhnews@bharian.com.my
2011/05/17




KREW kapal The Spirit Of Rachel Corrie bersiap sedia memulakan perjalanan dari Greek menuju ke Palestin untuk menghantar bantuan kemanusiaan anjuran PGPF.



Kapal bantuan Palestin dipaksa berundur, berlabuh di pelabuhan Mesir

KAPAL kargo The Spirit of Rachel Corrie yang membawa bantuan kemanusiaan ke Palestin bersama 12 krew dan penumpang, termasuk tujuh rakyat Malaysia dipintas dan ditembak kapal peronda Israel di zon selamat Palestin, sebelum dipaksa berundur ke perairan Mesir, 1.5 batu nautika dari perairan Gaza jam 6.54 pagi waktu Jordan, semalam.

Bagaimanapun, semua yang berada atas kapal itu, termasuk empat aktivis anti-perang dan tiga wakil media selamat. Kapal yang dinaiki masing-masing dua warga Ireland dan India serta seorang warga Kanada itu membawa paip PVC sepanjang 7.5 kilometer bagi membaik pulih dan membina semula sistem pembetungan dan bekalan air di Gaza, diiringi kapal peronda tentera Mesir ke pelabuhan terdekat 30 batu nautika dari kawasan itu.

Sebelum itu, kapal misi kemanusiaan tajaan Yayasan Keamanan Sedunia Perdana (PGPF) itu diarah menurunkan sauh di perairan Mesir sambil dikawal dan dipantau kapal peronda tentera laut Israel dan Mesir.

Jurucakap PGPF di Jordan, Tan Sri Samsudin Hitam memaklumkan mengenai insiden itu kepada wartawan Berita Harian yang kini berada di Kaherah untuk memasuki Gaza melalui sempadan Rafah bagi melaporkan perkembangan misi kemanusiaan tajaan yayasan itu.

“Kapal kargo itu memasuki zon keselamatan Palestin sebelum dipintas dan ditembak serta dipaksa berundur ke perairan Mesir,” katanya.

Wartawan akhbar News Straits Times, Alang Bendahara yang berada atas kapal itu berkata, dua kapal peronda Israel melepaskan empat tembakan amaran sebelum mengarahkan kapal berundur ke perairan Mesir.
“Tentera rejim itu juga menaiki kapal bagi memeriksa kargo yang dibawa bagi memastikan ia bukan bahan larangan,” katanya.

Kapal kargo itu berlepas dari pelabuhan Piraeus, Greece, Rabu lalu, membawa paip PVC seberat 30 tan yang akan diagihkan kepada penduduk Palestin untuk membaiki sistem pembetungan dan bekalan air yang musnah teruk akibat serangan Israel pada Disember 2008.

Misi bantuan kemanusiaan PGPF itu bertujuan memecahkan kepungan Israel terhadap perairan Gaza sejak 2007, selain meningkatkan kesedaran masyarakat dunia mengenai krisis kemanusiaan 1.5 juta warga Palestin yang dikepung dari darat dan laut oleh rejim zionis.

Kapal itu dikemudi rakyat Malaysia, Kapten Abdul Jalil Mansor yang dibantu empat krew iaitu Zainuddin Mohamad dan Mohd Jaffery Ariffin (warga Malaysia) dan dua warga India, Sharma Chandan Shimla dan Pal Satya Prakash. Misi itu turut membawa Wartawan BERNAMA, Mohd Faizal Hassan dan petugas sukarela FELDA, Mohd Radzillah Abdullah.

Ia adalah kesinambungan daripada pelayaran kapal kargo MV Rachel Corrie yang membawa bantuan kemanusiaan pelbagai keperluan seberat 1,500 tan ke Gaza pada Mei tahun lalu sebelum ditahan tentera Israel dengan 19 krew dan penumpang dibawa ke Pelabuhan Ashdod. MV Rachel Corrie antara tujuh buah kapal yang menyertai misi flotilla kebebasan diketuai kapal penumpang MV Mavi Marmara dari Turki bertujuan menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Flotila kebebasan yang membabitkan lebih 700 penumpang dan aktivis pelbagai latar belakang agama dan bangsa dari seluruh dunia itu gagal sampai ke destinasi, namun kematian sembilan aktivis Turki yang ditembak mati komando Israel dan meninggalkan puluhan lain cedera, mengembalikan tumpuan masyarakat dunia kepada krisis kemanusiaan yang semakin menekan di Gaza.

INFO

THE SPIRIT OF RACHEL CORRIE

Nama asal: MV Finch

Jenis: Kapal kargo (reka bentuk tongkang)
Ukuran saiz : 54.9 meter panjang, 9.4 meter lebar dengan kedalaman 4.75 meter
Tahun: 1989
Buatan: United Kingdom
Kelajuan: 8.5 knot
Muatan kargo: 1,200 tan
Flagship: Moldova
Pelabuhan kapal didaftarkan: Giurgiulesti
Muatan: Paip PVC sepanjang 7.5km seberat 30 tan

  • MV Rachel Corrie mengambil sempena nama aktivis keamanan dari Amerika Syarikat, Rachel Corrie, 23, yang meninggal dunia digilis jentolak Caterpillar D9 tentera Israel ketika cuba menghalang rejim Zionis memusnahkan rumah penduduk Palestin pada 2003. Rachel Corrie meninggal dunia selepas digilis dua kali oleh jentolak seberat 48,988 kilogram itu.

    Sumber:Berita Harian Online
  • http://www.bharian.com.my/bharian/articles/IsraeltembakRachelCorrie/Article


    Rabu, 11 Mei 2011

    UNESCO digesa bantu Palestin

    Oleh Misiah Taib dari Copenhagen
    misiah@bharian.com.my
    2011/05/12




    MUHYIDDIN pada mesyuarat UNESCO ke-186 di Paris, semalam.

    Malaysia mahu pertubuhan dunia bangun institusi pendidikan, kebudayaan

    MALAYSIA yang mahu memainkan peranan lebih penting sebagai anggota Jawatankuasa Warisan Dunia (WHC), menggesa Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) supaya memberi bantuan segera kepada pihak berkuasa Palestin.

    Menaruh harapan besar untuk terpilih menganggotai jawatankuasa berkenaan, Malaysia berpendapat UNESCO harus membantu dalam membangunkan segera institusi pendidikan dan kebudayaan di Tebing Barat, Semenanjung Gaza dan Jerusalem Timur.

    Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang mengetuai delegasi negara ke Paris dalam usaha melobi dan memperkenalkan Malaysia yang bersaing untuk menganggotai WHC di bawah UNESCO, berpendapat pertubuhan itu perlu memberi sokongan berterusan ke arah kedamaian dan kestabilan di rantau berkenaan yang juga tanah pusaka tiga agama utama di dunia.

    Muhyiddin dan Ahli Lembaga Eksekutif UNESCO menegaskan demikian dalam ucapan dasar pada sesi debat umum mesyuarat UNESCO kali ke-186 di bangunan UNESCO di sini.

    Katanya, sokongan berterusan UNESCO perlu terutama kepada Palestin, memandangkan pendidikan memainkan peranan penting dalam usaha untuk mempromosikan kebudayaan dan keamanan dunia.

    Timbalan Perdana Menteri yang turut menegaskan kemampuan dan kelebihan negara untuk menganggotai WHC, bagaimanapun memuji komitmen UNESCO bagi memulihara warisan budaya dunia, ke arah memastikan tapak warisan dilindungi dan kekal sebagai lambang keamanan, dialog dan perdamaian, dengan usaha ke arah itu memerlukan kebertanggungjawaban bersama.
    “Justeru, Malaysia berminat dan bersedia menawarkan perkhidmatan ke arah melindungi dan memulihara warisan budaya dunia demi kebaikan generasi masa depan,” katanya.

    Malaysia adalah sebuah daripada 13 negara yang melobi untuk mengisi sembilan kekosongan di kalangan 21 anggota jawatankuasa WHC. Anggota WHC termasuk Australia, Brazil, Kemboja, China, Mesir, Perancis, Afrika Selatan, Sweden, Switzerland dan Thailand.

    Malaysia mempunyai peluang baik untuk dipilih dengan sokongan negara-negara ASEAN. Jawatankuasa itu mempunyai kata putus untuk menetapkan senarai warisan dunia.

    Muhyiddin berkata, Malaysia sudah melatih ramai pakar dalam bidang arkeologi, perlindungan dan pengurusan warisan budaya dan alam semula jadi dengan kepakaran mereka boleh digunakan bagi meningkatkan perlindungan warisan dunia.

    Beliau turut memaklumkan Malaysia juga giat mempromosi dan memulihara warisan kebudayaan serta alam semula jadinya mengikut Akta Warisan Kebangsaan.

    “Malaysia turut mendapat pengiktirafan UNESCO Memory of the World, inskripsi Tapak Warisan Dunia dan dalam senarai daftar wakil Konvensyen Melindungi Warisan Budaya Tidak Nyata 2003.

    “Dengan semua kelebihan ini, Malaysia menawarkan diri untuk memainkan peranan lebih penting sebagai anggota WHC, jika terpilih pada tahun ini,” katanya.

    Malaysia turut mencadangkan pasukan profesional untuk WHC terdiri daripada Suruhanjaya Jabatan Warisan Negara, Prof Zuraina Majid; Timbalannya, Prof A Ghafar Ahmad; Prof Dr Latif Mohamed dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Pengurus Besar George Town World Heritage Incorporated, Maimunah Sharif.

    Zuraina adalah pakar arkeologi, antropologi dan warisan budaya; Ghafar pula pakar pemuliharaan dan pembinaan alam sekitar; Latif di bidang botani; Maimunah perancangan bandar dan pengurusan tapak warisan dunia.

    Sumber:Berita Harian Online

    Selasa, 10 Mei 2011

    Majlis antarabangsa dalam bahasa Melayu

    Oleh Misiah Taib dari Copenhagen
    misiah@bharian.com.my
    2011/05/11



    MUHYIDDIN sambil disaksikan Khaled berbincang dengan Menteri Pelajaran Denmark, Troels Lund Poulsen sempena ASEMME3 di Axelborg Hall, Copenhagen, semalam.


    Usaha kerajaan memartabatkan bahasa kebangsaan

    TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ada kemungkinan besar acara antarabangsa yang dianjurkan Malaysia dikendalikan sepenuhnya dalam bahasa Melayu pada masa akan datang, dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan itu.

    Namun, beliau berkata, perlu ada kemudahan logistik secukupnya disediakan dari segi terjemahan untuk peserta dari negara luar yang menghadiri acara berkenaan.

    Mengambil contoh dalam persidangan antarabangsa di Jakarta baru-baru ini, ucapan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, disampaikan dan disiarkan dalam bahasa Indonesia oleh pihak media, dengan lebih separuh penduduk ASEAN memahami bahasa berkenaan.

    “Ada kemungkinan besar kita juga akan melaksanakannya, namun kita perlu bersedia dari segi logistik. Tapi itu saya fikir bukan satu masalah besar,” katanya pada sidang media dengan wartawan Malaysia sebelum menyampai ucaptama di Mesyuarat Ketiga Menteri-Menteri Pelajaran Asia Eropah (ASEMME3) di sini, semalam.

    Muhyiddin mengulas demikian ketika ditanya mengenai kesediaan Malaysia menggunakan bahasa kebangsaan untuk penganjuran acara bertaraf antarabangsa.

    Mengulas lanjut mengenai cadangan untuk menghantar guru bahasa Melayu mengajar anak warga Malaysia di luar negara seperti dicadangkan Malaysian Danish Association (MDA), Timbalan Perdana Menteri berkata, cadangan itu kini mendapat perhatian sewajarnya daripada kerajaan.
    Beliau yang juga Menteri Pelajaran, akan meminta Ketua Pengarah Pelajaran dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk memikirkan pendekatan terbaik bagi menghantar atau mungkin memberikan kursus kepada bakal tenaga pengajar subjek bahasa Melayu di luar negara.

    Kelmarin, Pengerusi MDA, Poo Chu Chua, melahirkan kebimbangan anak mereka tidak tahu langsung berbahasa Melayu dan tidak mengenali budaya negara asal-usul mereka, dan mahu kerajaan menghantar tenaga pengajar ke luar negara bagi menangani masalah itu.

    Muhyiddin berkata, cadangan sama pernah dikemukakan kepada beliau oleh warga Malaysia di United Kingdom sebelum ini dan ia adalah satu perkembangan yang amat baik.

    Sumber:Berita Harian Online

    Isnin, 9 Mei 2011

    'PM baik hati, kelakar'

    Oleh Zanariah Abd Mutalib dan Md Fuzi Abd Lateh
    bhnews@bharian.com
    2011/05/10





    HANIF sambil diperhatikan Kamalanathan dan isteri, S Shobana serta Zolkefli dan Hafiz (kiri) berbual dengan Perdana Menteri melalui telefon di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Hulu Selangor, Bukit Beruntung, semalam.

    Remaja hidap kanser tulang berbual dengan Najib

    BUKIT BERUNTUNG: "Saya tidak sangka Perdana Menteri seorang yang baik hati dan suka berjenaka," kata Hanif Zolkeflee, 14, selepas berpeluang berbual dengan Datuk Seri Najib Razak, selama kira-kira 10 minit, semalam.

    Hanif yang menghidap kanser tulang sejak tahun lalu berkata, beliau seperti bermimpi kerana dapat berbual dengan pemimpin nombor satu negara itu, walaupun hasrat awal untuk berbual menerusi laman Twitter tidak kesampaian disebabkan masalah gangguan talian.

    “Sebelum ini, saya melihat beliau sebagai seorang yang tegas dan agak takut untuk berbual dengan beliau. Tapi selepas bercakap, beliau tidaklah terlalu tegas, tidaklah garang sangat dan (buat) lawak.

    “Saya kini menyimpan impian untuk berjumpa dengan Perdana Menteri atau paling tidak pun bersalam dengannya,” katanya selepas sesi perbualan dengan Perdana Menteri melalui telefon bermula jam 8.30 malam di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Hulu Selangor di sini.

    Pada sesi perbualan yang diperdengarkan melalui pembesar suara telefon itu, Perdana Menteri juga turut menasihatkan Hanif supaya kuat semangat dan sentiasa berdoa kepada Allah supaya beransur pulih.

    “Mudah-mudahan Hanif dapat pulih kesihatan... insya-Allah. Hanif doa, saya pun doa,” kata Najib.
    Hanif turut ditemani Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan, bapanya, Zolkeflee Zakaria, 44, ibu, Salisah Ibrahim, 44, serta adiknya, Hafiz, 10.

    Hanif yang mengemukakan lapan soalan turut tidak melepaskan peluang bertanya Perdana Menteri mengenai kenangan manisnya sepanjang memimpin negara dan makanan kesukaan beliau.

    “Saya ni suka makan. Macam-macam saya suka makan. (Kegemaran saya) masak tempoyak ikan patin dari Sungai Jelai yang tidak ada pencemaran.

    “Kenangan manis saya antaranya adalah menang di Hulu Selangor dan setiap kali menang pilihan raya, saya anggap sebagai kenangan manis,” kata Perdana Menteri sambil disambut tepukan gemuruh 50 hadirin yang turut hadir pada sesi perbualan itu.

    Sumber:Berita Harian Online

    Ahad, 8 Mei 2011

    Askar jadi juara tawan kerapu gergasi

    Oleh Mohd Iskandar Ibrahim
    mohdiskandar@bharian.com.my
    2011/05/09

    • Foto

      PESERTA Kategori Pantai memulakan cabaran pada Karnival GP Joran 2011 anjuran Berita Harian di Tanjung Leman, Mersing, semalam.

    • Foto

      ABDUL RAHMAN (lima dari kanan) dan Mior Kamarul (dua dari kanan) serta Kamaruzzaman (lima dari kiri) bersama pemenang Kategori Laut dan Pantai di jeti Tanjung Leman, semalam.

    • Foto

      MOHAMAD SAIFUL yang berjaya menjadi johan Kategori Laut Dalam memikul kerapu seberat 15.22 kilogram.

    Johan Kategori Laut Dalam GP Joran 2011 pusingan kedua bawa pulang RM20,000

    MERSING: Kerapu seberat 15.22 kilogram yang menyambar umpan pancingnya di saat akhir sebelum bot bertolak pulang, membawa tuah kepada seorang anggota tentera untuk muncul Johan Kategori Laut Dalam yang meraih RM20,000 pada Karnival Memancing GP Joran 2011 pusingan kedua di Tanjung Leman, semalam.

    Ikan kerapu yang menelan umpan pada jam 8.33 pagi milik Mohamad Saiful Azmi Hamzah, dari Selangor itu, yang pertama kali menyertai GP Joran tahun ini, membolehkan beliau menewaskan hampir 1,000 peserta termasuk Singapura dan Indonesia.

    Tempat kedua kategori sama dimenangi Syed Mohd Shukri Syed Mohd Idris dari Johor, yang menaikkan ikan tenggiri seberat 9.48 kilogram dan meraih RM10,000 manakala Mohd Hatta Abd Rahim dari Johor pemenang ketiga dengan tangkapan tenggiri 8.26 kilogram dan hadiah RM4,000.

    Bagi Kategori Pantai, acara disertai kira-kira 750 pemancing itu dimenangi seorang pengurus perkapalan, Mohd Ariffin Selamat, dari Terengganu, yang menaikkan ikan pari seberat 12.11 kilogram, sekali gus membawa pulang wang tunai RM20,000 dan hadiah iringan.

    Naib juara diraih peserta Pahang, Mohd Nordin Ibrahim, yang menjinakkan pari seberat 11.18 kilogram untuk menerima RM10,000, manakala tempat ketiga diraih Razmi Omar juga dari Pahang yang membawa pulang RM4,000.

    Kategori Khas Laut Pari dimenangi Muhammad Hazwan Harudin yang menaikkan ikan seberat 36.35 kilogram dan RM1,000, manakala kedua, Busu Johan ikan seberat 28.48 kilogram bagi meraih RM500, manakala tempat ketiga menjadi milik M Razali Abdul Rahman dengan RM300.
    Hadiah pertandingan itu disampaikan Pegawai Daerah Mersing, Abdul Rahman Dewam. Hadir sama, Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid serta Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCORP), Kamaruzzaman Abu Kassim.

    Pusingan kedua Karnival GP Joran Berita Harian 2011 berlangsung serentak dengan Karnival Tanjung Leman, mendapat kerja sama kerajaan Johor, Jabatan Pelancongan Johor dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

    JCORP dan anak syarikatnya, Damansara Assets Sdn Bhd, memberi sokongan padu selaku penaja eksklusif pusingan kedua, manakala Perusahaan Otomobil Kedua (PERODUA) selaku penaja utama keseluruhan karnival GP Joran 2011.

    Sumber:Berita Harian Online


    http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Askarjadijuaratawankerapugergasi/Article

    Sultan Johor lepas peserta GP Joran

    Oleh Ismail Mat
    ismailmat@bharian.com.my
    2011/05/08




    SULTAN Ibrahim sempat berjenaka dengan peserta selepas pelepasan GP Joran Berita Harian 2011 di Tanjung Leman, Mersing, semalam. Turut sama dari kanan Ahmad, Ghani dan Kamaruzzaman.






    BOT peserta berlepas dari jeti Tanjung Leman untuk memulakan cabaran GP Joran Berita, semalam.



    PESERTA kategori laut dalam pusingan kedua bersiap untuk menaiki bot mereka di jeti Tanjung Leman, Mersing.

    Lebih 1,000 peserta mulakan cabaran rebut hadiah wang tunai RM82,000

    MERSING: Karnival GP Joran anjuran Berita Harian yang berlangsung di Tanjung Leman dekat sini semalam, mencipta sejarah apabila menarik penyertaan hampir 1,000 peserta bagi kategori laut dalam.

    Selain pemancing dari seluruh negara, acara itu turut menarik penyertaan peserta Singapura dan Indonesia yang menaiki 120 bot menuju lokasi tumpuan memancing terletak kira-kira 20 batu nautika di luar perairan Mersing.
    Kategori Laut Dalam dan Pantai GP Joran Berita Harian 2011 yang berlangsung di Pantai Tunjuk Laut Resort hari ini, menawarkan hadiah wang tunai RM82,000 termasuk RM20,000 sebagai hadiah utama bagi setiap kategori.

    Majlis pelepasan peserta acara laut dalam itu disempurnakan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang berkenan mencemar duli di Jeti Tanjung Leman pada 11.30 pagi.

    Turut hadir Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman; Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCORP), Kamaruzzaman Abu Kassim; Pengarah Eksekutif Editorial The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Datuk Ahmad Talib dan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid.

    Pusingan kedua Karnival GP Joran Berita Harian 2011 yang berlangsung serentak dengan Karnival Tanjung Leman, mendapat kerjasama Kerajaan Negeri Johor, Jabatan Pelancongan Johor dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
    JCORP dan Damansara Assets Sdn Bhd, memberi sokongan padu selaku penaja eksklusif pusingan kedua, manakala Perusahaan Otomobil Kedua (PERODUA) selaku penaja utama keseluruhan karnival GP Joran 2011.

    Penaja lain menyokong pertandingan tahun ini termasuk Gardenia (KL) Bakeries Sdn Bhd; Nestle Product (M) Sdn Bhd bagi produk Nescafe dan Maggi; Adabi Consumers Industries Sdn Bhd; Universal Fitness & Leisure Sdn Bhd; Bor Explorer Sdn Bhd, World of Sports bagi produk Columbia dan Axis Kay Trading yang menaja minuman kesihatan.

    Acara kategori pantai yang akan berlangsung di Pantai Tunjuk Laut Resort mulai jam 8 pagi ini dijangka menarik penyertaan 1,000 peserta yang sebahagiannya mula tiba di sini sejak petang semalam.

    Selain acara memancing, kira-kira 20 acara sampingan untuk kanak-kanak serta persembahan artis sempena pelancaran edisi awal Berita Minggu berlangsung di pentas utama tapak karnival Tanjung Leman, malam tadi.

    Sempena karnival itu, ceramah agama turut disampaikan Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadut yang dihadiri peserta GP Joran dan penduduk tempatan.

    Sumber:Berita Harian Online

    Rabu, 4 Mei 2011

    Dua pelancong wanita Singapura hilang di Taman Negara

    KUANTAN: Dua pelancong wanita warga Singapura dilaporkan hilang selepas melakukan aktiviti "jungle trekking" di kawasan Hutan Taman Negara dekat Kuala Tembeling, Jerantut. 

    Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Ab Ghani, berkata kedua-dua mangsa dikenali sebagai Wendy Zhao, 26; dan Yiling Neo, 20-an, dikatakan melakukan aktiviti itu pada 10 pagi Isnin lalu tanpa menggunakan khidmat pemandu pelancong.



    "Kedua-dua sahabat itu sepatutnya daftar keluar dari tempat penginapan mereka semalam.
    Gambar Hiasan- Sumber : Google
    "Pihak hotel telah memaklumkan kepada polis bahawa mereka tidak mendaftar keluar dan dipercayai telah tersesat ketika melakukan aktiviti berkenaan," katanya di sini, hari ini. 

    Beliau berkata, gerakan mencari membabitkan pasukan keselamatan dan penduduk kampung dijalankan sejak petang semalam. 

    "Sehingga kini mereka belum ditemui dan operasi mencari dan mengesan masih diteruskan sehingga jam 7 petang ini, dan akan disambung semula esok," katanya. 

    Beliau berkata, pihak kedutaan Singapura dan keluarga mangsa dimaklumkan berhubung perkara berkenaan. - BERNAMA 



    4 tahun dibayangi maut

    pix_gal0




    Lokasi Osama dikesan selepas utusan diekori

    WASHINGTON: Lokasi persembunyian Osama bin Laden mula dihidu Amerika Syarikat pada 2007 selepas mengenal pasti dua utusan dipercayai rapat dengan pemimpin al-Qaeda yang dituduh dalang serangan Pusat Dagangan Dunia pada 11 September 2001 (9/11) di New York.

    Dua tahun selepas itu, dua ejen warga Pakistan yang bekerja dengan Agensi Perisikan Pusat (CIA) memperoleh identiti seorang daripada utusan Osama itu di Peshawar, Pakistan.



    Berikutan itu, mereka berjaya mengesan kediaman yang dipercayai tempat Osama bersembunyi selepas menjejaki utusan itu ke Abbotabad dan mula memantau lokasi berkenaan mulai Ogos 2010.
    Sejak Osama melarikan diri dari wilayah pergunungan Tora Bora di Afghanistan pada 2001 selepas serangan 9/11, jejaknya hilang selepas bersembunyi dan mengelak membuat atau menerima panggilan telefon.

    Maklumat yang dikumpulkan mendapati dua utusan pemimpin al-Qaeda berkenaan tinggal bersama keluarga masing-masing, malah turut dihuni satu lagi keluarga besar.

    Pegawai kanan berkata, keyakinan mengenai tempat itu dihuni seorang pemimpin kanan al-Qaeda semakin kukuh berdasarkan beberapa tanda mencurigakan di kediaman itu.

    “Apabila kita lalu di bangunan itu, kita lihat siapa saja yang berada di dalamnya cuba menyembunyikan identiti mereka menerusi cara kawalan keselamatan ketat. 
    “Atas sebab itu, kami percaya Osama dan keluarganya tinggal di tingkat kedua dan ketiga bangunan utama,” katanya.

    “Penghuninya mempunyai kediaman berharga jutaan dolar, tetapi tidak mempunyai sumber pendapatan tertentu. Jika dilihat kes ini, jelas ia adalah bukti menunjukkan militan berprofil tinggi berada di sini dan Osama adalah individu yang sepadan dengan profil itu,” kata seorang lagi pegawai.

    Sehingga April lalu, Obama diberi tiga pilihan iaitu menghantar satu pasukan bersenjata bagi menahan atau membunuh suspek, melancarkan pengeboman atau terus menunggu perkembangan lanjut.

    Hanya tiga perkataan digunakan oleh Obama pada Jumaat lalu untuk melancarkan operasi menahan atau membunuh musuh nombor satu Amerika itu – ‘It’s a go’ (Teruskan rancangan). – AFP


    Isnin, 2 Mei 2011

    Suami terima SMS minta lupakan Roslina

    2011/05/03


    SABRI menunjukkan foto isterinya, Roslina yang hilang sejak 22 April lalu.

    KUALA LUMPUR: Suami seorang kakitangan bank, Roslina Awang Kechik yang dilaporkan hilang dipercayai diculik sejak 22 April lalu menerima empat khidmat pesanan ringkas (SMS) menggunakan nombor telefon talian dari Indonesia.

    SMS itu dihantar seorang lelaki menggunakan nama Adi Satano pada jam 4.04 petang, 4.16 petang, 4.27 petang dan 4.33 petang semalam.

    Dalam salah satu SMS itu, Adi meminta Sabri Man supaya melupakan isterinya kerana wanita itu dikatakan sudah tidak mahu bersamanya lagi dan mereka juga sudah berkahwin.
    Kiriman ringkas lain yang dihantar juga mengatakan Roslina berada di Medan, Indonesia dan meminta Sabri untuk ke sana sekiranya ingin menemuinya.

    “Saya cukup kenal dengan dia (Roslina), sudah 10 tahun kami bersama, dia seorang isteri yang baik dan taat. Mustahil dia akan buat begitu kepada saya dan anak-anak.

    “Saya menganggap ini bukan keinginan isteri saya, dia mungkin telah diugut oleh seseorang yang mempunyai perancangan tersendiri,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

    Dalam SMS lain yang diterima, Roslinda juga meminta Sabri mengirimkannya sedikit wang untuk menghubungi anaknya.
    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, berkata polis masih menjalankan siasatan lanjut mengenai kehilangan Roslina.

    “Polis masih menyiasat mangsa mengikut siasatan kes orang hilang, di samping turut melihat kejadian dari sudut jenayah.

    “Bukti yang diberikan kepada polis tidak cukup untuk diklasifikasikan sebagai kes penculikan,” katanya.

    Sumber:Berita Harian Online

    Nuffnang Ads

     

    Sample text

    Sample Text

    Sample Text