Social Icons

Social Icons

Khamis, 8 Mac 2012

180 penduduk Changlun dipindahkan berikutan banjir


2012/03/08

ALOR SETAR: Seramai 180 penduduk di 12 buah kampung di Changlun dipindahkan ke dua pusat pemindahan banjir sehingga jam 5 petang tadi. 

Dua pusat tersebut dibuka di Dewan Orang Ramai Kampung Masjid Sungai Laka yang menempatkan 31 keluarga (112 orang) dan Dewan Orang Ramai Kampung Kubang Betong yang menempatkan 17 keluarga (68 orang).
Pegawai Kebajikan Daerah Kubang Pasu, Mohd Shabbri Othman ketika dihubungi berkata, Bilik Operasi juga dibuka sebaik pusat pemindahan banjir dibuka.
"Kita memberi bantuan keperluan asas kepada mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan seperti makanan, minuman, selimut, tikar dan kain telekung," katanya. 

Beliau berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat akan menunggu arahan daripada Pegawai Daerah yang juga Pengerusi Bencana Alam Daerah Kubang Pasu jika perlu membuka lagi pusat pemindahan sekiranya banjir bertambah serius. 

Antara kampung yang terjejas ialah kampung Paya Nongmi, Belakang Pasar Changlun, Padang Pasir, Masjid, Paya Lantau, Paya Lantau Dalam, Titi Kerbau, Kubang Hamid, Taman Sayang, Pekan Lama Changlun, Pasar Changlun serta sekitar pekan Changlun lama, yang dinaiki air hampir satu meter. - BERNAMA


Sumber Berita Harian Online
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/180pendudukChanglundipindahkanberikutanbanjir/Article

Rabu, 7 Mac 2012

Tiga anggota JI dihantar pulang ke Singapura

2012/03/07


HISHAMMUDDIN berbual mesra dengan keluarga Mohd Suhairy Mohamad dan isteri, Nurul Huda Saadi yang memangku, Mohd Haris Rayyan, 3 bulan, ketika melawat kuarters Jabatan Imigresen di Kompleks Kementerian Dalam Negeri Johor, dekat Taman Setia Tropika, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU: Tiga warga Singapura termasuk pengasas Jemaah Islamiah (JI) negara itu yang ditahan ketika bersembunyi di negara ini selepas mendalangi pengeboman di selatan Filipina, sudah dihantar pulang ke negara asal mereka.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, mereka ditahan pada bulan lalu hasil kerjasama risikan antara dua negara.
“Mereka dihantar pulang selepas atas permintaan kerajaan Singapura. Kita mempunyai hubungan baik dengan negara jiran dan tidak akan membenarkan penjenayah bebas merentas sempadan seumpama itu,” katanya selepas melawat kuarters Jabatan Imigresen di Kompleks Kementerian Dalam Negeri Johor, dekat Taman Setia Tropika, di sini, semalam.
Difahamkan, mereka yang ditahan itu pengasas JI Singapura, Sahrudin Mohd Sapian, yang pernah menerima latihan di Afganistan pada 2000, manakala dua lagi adik beradik, Mohamed Rafee dan Abd Rahim Abdul Rahman.

Mohamed Rafee juga dikatakan mendapat latihan di Afghanistan dan dipercayai membekalkan sokongan logistik kepada rangkaian pengganas itu. Tiga tahanan itu kini ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri Singapura.

Sehubungan itu, Hishammuddin memberi amaran tegas kepada penjenayah dan pengganas bahawa mereka tidak akan kekal selamat jika cuba bersembunyi di negara ini.

“Kita sudah mengusir tiga warga Singapura yang ada kaitan dengan rangkaian keganasan. Jadi jangan sesiapa sama ada penjenayah atau pengganas melihat Malaysia sebagai tempat perlindungan atau lokasi transit untuk melakukan jenayah.
“Jangan ingat anda akan selamat dan mendapat perlindungan di negara ini. Malaysia masih tidak dilihat sebagai negara sasaran puak (pengganas) ini kerana kita sentiasa pantau keselamatan dan menanganinya serta-merta,” katanya.

Sementara itu, mengulas susulan penahanan warga Iran berusia 31 tahun di Terminal Penerbangan Tambang Murah pada 14 Februari lalu, yang disyaki terbabit dalam kes pengeboman di Bangkok, Thailand, beliau mengesahkan sudah menandatangani dokumen ekstradisi dengan Thailand supaya kes itu dapat dibawa ke peringkat penghakiman negara ini.

Mengenai lawatannya, katanya, kebajikan kakitangan jabatan itu perlu dijaga bagi membolehkan mereka berkhidmat dengan baik dan selesa.

Katanya, menerusi lawatan seumpama itu pihaknya mengenalpasti sebanyak 192 unit rumah yang diduduki kakitangan Imigresen ketika ini dalam keadaan daif.

“Oleh itu, kita akan bertindak menangani masalah ini termasuk sama ada menaik taraf mahupun mencari tanah bagi menyediakan perumahan yang selesa dan memenuhi keperluan kakitangan ini,” katanya.


Selasa, 6 Mac 2012

Ayat al-Quran pada kad kahwin tak sesuai

2012/03/06

Perbuatan buang merata-rata jejas kesucian: JAKIM

KUALA LUMPUR: Perbuatan mencetak ayat al-Quran dan hadis Nabi SAW pada kad jemputan kahwin boleh menjejaskan kesucian Islam jika kad itu dibuang merata-rata, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Othman Mustapha.
Beliau berkata, tindakan itu juga mungkin boleh dikategorikan sebagai menghina ayat al-Quran.
“Istilah suci dalam Islam seperti Bismillah, Assalamualaikum dan sebagainya tidak boleh digunakan dengan sewenang-wenangnya kerana dikhuatiri akan disalah guna dan diletak di tempat yang tidak sewajarnya,” katanya.

Namun, Othman berkata pihak terbabit meletakkan ayat suci al-Quran dan hadis pada kad jemputan kahwin dipercayai berniat baik iaitu ingin memberi peringatan dan berdakwah kepada orang lain, bagaimanapun ia patut dielakkan.

“Jika bertujuan untuk memberi pengingatan hanya memadai dengan menulis maksudnya saja,” jelasnya.

Beliau juga berkata pihak yang menerima kad jemput kahwin yang tertulis ayat al-Quran sepatutnya lebih prihatin dan menjaga kesucian ayat itu dengan tidak membuang bahan yang mengandunginya di merata-rata tempat.
Katanya, mengikut Garis Panduan Penapisan Bahan-bahan Penerbitan Berunsur Islam yang dikeluarkan JAKIM, perbuatan membuang bahan yang mengandungi ayat al-Quran boleh dikategorikan sebagai perkara yang menyentuh kesucian Islam.

Beliau berkata, pelupusan bahan penerbitan yang mengandungi ayat al-Quran sepatutnya dibuat mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri.

Sementara itu, seorang pembuat kad perkahwinan, Mohd Natasha Md Nasir berkata, pihaknya sentiasa menasihatkan pelanggan yang ingin mencetak istilah suci termasuk Bismillah supaya tidak berbuat demikian.

“Kalau ada pelanggan yang hendak cetak Assalamualaikum dalam tulisan jawi pun kita tak galakkan, sebaliknya kita cadang supaya ditulis dalam tulisan rumi,” katanya.

Seorang lagi pembuat, Nor Azli Masrudin berkata, pihaknya sediakan format standard, tapi kalau pelanggan nak juga cetak kalimah-kalimah suci kita kena ikutlah,” katanya. – BERNAMA

Sumber Berita Harian Online


Isnin, 5 Mac 2012

Cuti umum tidak dikurangkan

Oleh Shaarani Ismail
shaarani@bharian.com.my
2012/03/05

MUHYIDDIN beramah mesra dengan orang ramai
selepas melancarkan Hari Buah Pinggang Sedunia
2012 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Pelaksanaan gaji minimum ambil kira semua aspek produktiviti

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang mengurangkan jumlah cuti umum apabila gaji minimum dilaksanakan tidak lama lagi kerana pelaksanaannya sudah mengambil kira aspek produktiviti, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, produktiviti pekerja tetap perlu ditingkatkan bagi memastikan Malaysia setanding negara maju lain.
“Walaupun gaji minimum akan ditetapkan, semua pihak ada peranan masing-masing dalam memastikan ekonomi terus berkembang dan rakyat mendapat faedah daripadanya serta tidak bawa kesan yang boleh menjejaskan pertumbuhan negara.

“Itu kita ambil kira sebab kajian sudah dibuat agak mendalam sejak sekian lama,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2012 di Dataran Merdeka di sini, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad dalam blognya, baru-baru ini yang mendakwa Malaysia boleh muflis jika gaji minimum dilaksanakan kerana terpaksa membayar lebih untuk kerja yang kurang selain mempunyai terlalu banyak cuti umum yang boleh menjejaskan produktiviti negara.

Muhyiddin berkata, butiran lanjut mengenai pelaksanaan gaji maksimum itu akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak lama lagi.
“Ia (gaji minimum) sudah dilaksanakan negara lain, memang kita percaya ada asas (untuk laksanakan) tapi kita buat bukan secara terburu-buru.

“Kerajaan akan ambil kira semua faktor termasuk kos hidup, inflasi dan perbezaan di wilayah Sabah, Sarawak dan Semenanjung serta keupayaan majikan membayar, selain kesannya kepada ekonomi.

“Bila sampai masanya, kita akan jelaskan secara terperinci apa yang akan diputuskan kerajaan, Saya percaya kita harus menunggu. Kita sudah capai persetujuan dengan banyak pihak yang terbabit seperti majikan, pekerja dan Menteri Sumber Manusia sudah kemukakan cadangan. Sampai masanya yang sesuai tidak lama lagi ia akan diumumkan Perdana Menteri sendiri, tunggulah,” katanya.

Sementara itu, mengulas dakwaan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim bahawa dasar penswastaan yang diamalkan kerajaan sebagai keuntungan penswastaan, kerugian bersosial, Muhyiddin berkata kerajaan ada asas dan pertimbangan dalam melaksanakan dasar itu.

Katanya, pelaksanaan dasar itu memberi impak yang baik kepada kehidupan rakyat, serta tidak dapat dielakkan kerana kerajaan mahu swasta memainkan lebih banyak peranan pada masa akan datang.

Sumber Berita Harian Online



Jumaat, 2 Mac 2012

Mat Sabu, 2 lagi kena bela diri

2012/03/02

Mohamad Sabu@Mat Sabu

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Ahli Parlimen Batu Tian Chua, Ahli Parlimen Padang Serai N Gopalakrishnan dan 13 yang lain diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam terhadap pertuduhan mengambil bahagian dalam satu perhimpunan haram pada 2007.

Hakim Datuk Ghazali Cha dalam keputusannya berkata, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap semua tertuduh dan mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen pada 19 November 2010 yang melepas dan membebaskan mereka.
Berikutan itu, beliau mengarahkan semua tertuduh membela diri masing-masing di hadapan hakim perbicaraan Datuk Jagjit Singh pada satu tarikh yang akan ditetapkan nanti dan membenarkan mereka diikat jamin RM5,000 setiap seorang.
Hakim Ghazali berkata, hakim Mahkamah Sesyen telah terkhilaf di dalam penghakimannya kerana telah gagal mengambil kira keterangan saksi pendakwaan terutama pegawai dan anggota polis yang membuat penangkapan dan tangkapan berkenaan telah disokong dengan keterangan video.

“Keterangan video adalah keterangan yang baik untuk menyokong bahawa semua tertuduh telah mengambil bahagian dalam perhimpunan haram dengan memakai baju-T warna kuning dan gagal bersurai apabila diarah polis,” katanya.

Hakim Ghazali berkata, keterangan saksi pendakwaan tidak boleh diketepikan begitu saja kerana tindakan mereka yang mengambil bahagian dalam perhimpunan itu telah menyebabkan gangguan lalu lintas yang serius dan menimbulkan kegusaran dalam kalangan orang ramai.– BERNAMA

Sumber Berita Harian Online



Khamis, 1 Mac 2012

Surat Dr M kepada Israel didedah

2012/03/01

TIGA surat Dr Mahathir yang dihantar kepada
Perdana Menteri Israel. - Foto Nurul Shafina
Jemenon

KUALA LUMPUR: Kerajaan semalam mendedahkan tiga surat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada tiga Perdana Menteri Israel yang jelas menunjukkan ketegasan Malaysia terhadap kekejaman Israel.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata tiga surat itu adalah bagi menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa Kerajaan Malaysia tidak konsisten dalam pendirian dan dasar mengenai Palestin.
Dalam satu kenyataan semalam, beliau berkata ia adalah surat Dr Mahathir kepada Yitzhak Rabin bertarikh 21 Disember 1993, kepada Benyamin Netanyahu bertarikh 14 Mac 1997 dan Ehud Barak bertarikh 8 Jun 1999.
“Saya ingin menyatakan bahawa sebagai satu dasar, Malaysia selama ini telah secara konsisten memberi sokongan sepenuhnya kepada perjuangan rakyat Palestin untuk mencapai satu penyelesaian yang adil dan komprehensif terhadap konflik Palestin-Israel dan penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat.

“Kandungan surat itu jelas menunjukkan pendirian yang berprinsip dan ketegasan Malaysia terhadap tindakan haram dan kekejaman Israel yang menggugat pelaksanaan proses damai dan gesaan beliau kepada Israel untuk memenuhi tanggungjawab dan melaksanakan semua perjanjian yang telah dimeterai di antara Palestin dan Israel,” katanya.

Beliau berkata ini termasuk Perjanjian Oslo yang ditandatangani oleh Allahyarham Yasser Arafat bagi pihak Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan Shimon Peres dari Israel pada 13 September 1993 berhubung Principles and Mutual Recognition (Prinsip dan Pengiktirafan Bersama) antara Israel dan PLO.

Anifah berkata sebagai Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir tidak pernah menyatakan sokongan kepada Israel atau keselamatan negara berkenaan dan surat beliau sama ada secara tersurat atau tersirat, tidak sesekali menunjukkan Malaysia mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.
“Kesediaan Malaysia mengadakan hubungan dengan Israel adalah tertakluk kepada pelaksanaan sepenuhnya oleh Israel (terhadap) semua resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berkaitan, termasuk permohonan Palestin untuk menjadi ahli penuh PBB berdasarkan sempadan 4 Jun 1967, dengan Al-Quds Al-Sharif sebagai ibu negara Palestin. Ini adalah pendirian Malaysia selama ini,” katanya.

Anifah berkata surat itu mencerminkan peranan dan usaha Dr Mahathir dan Malaysia sebagai seorang pemimpin yang bertanggungjawab dan dihormati oleh masyarakat antarabangsa dalam membantu mencari penyelesaian yang adil dan berkekalan terhadap konflik itu dalam mengembalikan martabat rakyat Palestin yang sekian lama ditindas. – BERNAMA

Nuffnang Ads

 

Sample text

Sample Text

Sample Text