Social Icons

Social Icons

Selasa, 18 September 2012

Tony Pua, Ronnie Liu, 19 individu bebas pertuduhan sertai perhimpunan haram

Ronnie Liu

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen di sini melepas dan membebaskan 21 orang, termasuk Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Phua dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandamaran, Ronnie Liu daripada pertuduhan mengambil bahagian dalam satu perhimpunan haram serta mengingkari perintah bersurai oleh pegawai polis, empat tahun lalu. 

Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap semua tertuduh. 
Dalam penghakimannya, Hayatul Akmal berkata perhimpunan itu berlaku tanpa dirancang dan secara spontan, selain terdapat percanggahan keterangan berhubung masa tangkapan oleh saksi polis. 

Selain Phua, 40, dan Liu, 54, mereka yang didakwa melakukan kedua-dua kesalahan ialah K.Raman, 33, G.Ramish, 32, Augustine Gan, 50, Andrew Ng, 28, Lau Weng San, 34, S.Ashok Kandiah, 40, Lim Cheng Inn, 62, Ambrose Poh, 48, Johny Andu, 37, Tiew Way Keng, 31, K.Thenagaran, 44, Ong Boon Keong, 52, Mohd Fasya Mohd Tajudin, 31, Goh Jin Kiat, 36, Henry Ho, 65, Mohd Khairul Anuar Mohd Jamil, 28 serta Goh Chien Yee, 28. 

Mereka didakwa mengambil bahagian dalam satu perhimpunan yang menyalahi undang-undang di Laman MBPJ berdepan bangunan Dewan Majlis Bandaraya Petaling Jaya di Jalan Yong Shook Lin di sini antara 9.50 malam hingga 10.10 malam pada 9 November 2008 mengikut Seksyen 27(5)(a) Akta Polis 1967, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 27(8) akta sama.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa telah mengingkari perintah untuk bersurai yang diberikan bekas Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Superintenden Mohamad Shukor Sulong di tempat dan waktu sama mengikut Seksyen 27(4) Akta Polis 1967. 

Jika sabit kesalahan, kesemua tertuduh berdepan hukuman minimum denda RM2,000 maksimum RM10,000 dan boleh dipenjara sehingga setahun. 
Seramai 21 saksi dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lailawati Ali manakala semua tertuduh diwakili peguam Teh Lib Peng, Norazreen Abdul Rahman, S.R.Raman, Gobind Singh Deo dan Francis Pereira. - BERNAMA
-berita harian online-
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/TonyPua_RonnieLiu_19individubebaspertuduhansertaiperhimpunanharam/Article


Nuffnang Ads

 

Sample text

Sample Text

Sample Text