Social Icons

Social Icons

Selasa, 29 November 2011

73,000 pesawah dapat ‘bonus’

Oleh Azidan Nahar


2011/11/29


ULU TIRAM: Lebih 73,000 pesawah seluruh negara bakal menerima 'durian runtuh' menerusi pembayaran tunggakan Insentif Peningkatan Hasil Padi (IPH) berjumlah RM110 juta yang dibuat mulai bulan depan.

Pelancaran pembayaran terbabit yang akan dibuat awal menerusi tiga peringkat bermula 4 Disember ini membabitkan kira-kira 100 pesawah di Selangor.

Setiap pesawah akan menerima 'durian runtuh' melalui
Insentif Peningkatan Hasil Padi(IPH)-Gambar Hiasan

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, pesawah terbabit mendapat tunggakan bermula 2007 hingga tahun ini selepas insentif berkenaan diperkenalkan bagi meringankan beban pesawah.
Katanya, mereka yang mendapat insentif itu pesawah yang mengeluarkan hasil melebihi lapan tan padi setahun dan menerima RM650 setiap tan pertama manakala selebihnya akan diberikan RM1,300 bagi 0.4 hektar.

“Jika mereka dapat mengeluarkan 10 tan padi setahun, mereka akan menerima dua insentif sekali gus. Tahun ini kerajaan akan bayar semua kepada seluruh pesawah di negara ini, ia seperti durian runtuh kepada mereka,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan projek penanaman nanas MD2 oleh Kulim (M) Bhd di Ladang Ulu Tiram, di sini, semalam.

Sabtu lalu, kementerian terbabit memberi jaminan akan menjelaskan tunggakan pembayaran itu kepada pesawah menerusi peruntukan tambahan RM117 juta baru-baru ini.

Kementerian terbabit sebelum ini tidak dapat membayar insentif itu kepada semua petani yang berjaya meningkatkan hasil menyebabkan laporan audit menyatakan kementerian itu tertunggak bayaran sejumlah RM110 juta. 
Laporan Ketua Audit Negara 2010 menyatakan kementerian itu masih belum membayar RM110.67 juta kepada kira-kira 73,291 pesawah di bawah IPH sejak 2007. 

Noh berkata, kerajaan mula membayar insentif berkenaan pada 2007 membabitkan peruntukan sebanyak RM28 juta sebelum ditambah kepada RM40 juta bermula 2008 hingga 2011.

Katanya, tahun depan, kerajaan menambah peruntukan terbabit kepada RM80 juta setahun seterusnya berupaya mengurangkan beban pesawah dan meningkatkan hasil padi.

Copy from Berita Harian Online

Selasa, 22 November 2011

Harimau 'ngap' Garuda

2011/11/22

PEMAIN dan pegawai Malaysia meraikan kejayaan menewaskan
 Indonesia pada perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA di Stadium
 Bung Karno, Jakarta, Indonesia, malam tadi. - Jurufoto Berita Harian


Malaysia rakam rekod bersih tanpa kalah di Jakarta

JAKARTA,INDONESIA-SKUAD bola sepak gah memenangi 'ibu segala pingat', malam tadi apabila kesebelasan Harimau Muda tampil garang mempertahankan mahkota kejuaraan buat kali kedua berturut-turut menewaskan tuan rumah, Indonesia 4-3 menerusi penentuan penalti selepas terikat 1-1 sehingga masa tambahan.
Sorakan dan ejekan lebih 100,000 penyokong Garuda Muda jelas gagal menyekat impian besar Ong Kim Swee dan anak didiknya yang hadir berbekal mental kuat mengatasi sorak gempita di Stadium Gelora Bung Karno untuk memaksa lawan menggigit jari terlepas pingat emas paling bernilai di Sukan SEA di laman sendiri.

Keletihan kami sepanjang saingan bukan kerana lawan kuat tapi perjalanan ke stadium temu Indonesia peringkat kumpulan dan final... keletihan ini berbaloi. - Ong Kim Swee, Ketua Jurulatih Harimau Muda
Kebetulan, kali terakhir Malaysia berjaya mempertahankan gelaran bola sepak secara berturut-turut adalah di Jakarta pada 1979 ketika menewaskan Indonesia 1-0 hasil jaringan Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari.

Kemenangan itu membantu kontinjen negara mengutip keseluruhan 59 emas malam tadi selepas skuad berbasikal trek menyumbang empat dan satu daripada renang berirama.


Copy from Berita Harian Online

Ahad, 20 November 2011

Kelantan diancam wabak E-coli

Oleh Khairul Anuar Abdul Samad

krull@bharian.com.my
2011/11/21


E-Coli adalah sejenis virus yang boleh menyebabkan 
muntah-muntah dan cirit birit berdarah.

Kerajaan negeri digesa bertindak segera tangani isu bekalan air bersih 

BACHOK: Sebahagian besar daripada lebih 1.6 juta rakyat Kelantan berisiko terdedah kepada penyakit berbahaya yang boleh membawa maut seperti E-coli sekiranya kerajaan negeri gagal menangani isu bekalan air bersih.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Dr Awang Adek Hussin, berkata kerajaan negeri perlu bertindak segera mengatasi isu itu selepas ujian Kementerian Kesihatan mendapati air di negeri itu disahkan tercemar bakteria E-coli.
Katanya, kerajaan negeri jangan hanya pandai berceramah saja, malah perlu lebih bertanggungjawab dalam menyediakan kemudahan asas terbaik terutama memastikan tahap kesihatan rakyat sentiasa terjamin melalui penyediaan air bersih. 

“Laporan mengenai air di negeri ini tidak bersih adalah mengejutkan dan ia harus dipandang serius kerajaan negeri terutama pengurusan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) kerana ia membabitkan kesihatan rakyat Kelantan. 

“Rakyat Kelantan harus menyuarakan keinginan mereka untuk mendapatkan air bersih dan kegagalan menyediakan air bersih menunjukkan negeri ini begitu daif berbanding Afrika Selatan, yang sudah tiada masalah E-coli ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Prihatin 1Malaysia di Sekolah Kebangsaan (SK) Telaga Ara, di sini, semalam. 

Beliau mengulas Laporan Bilangan dan Peratusan E-coli dan Logam Berat Bagi Air Terawat dan Air Mentah Mengikut Daerah Negeri Kelantan 2008 hingga 2010, yang dikeluarkan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Hasan Abdul Rahman. 
Mengikut laporan berkenaan, air di Kelantan didapati mengandungi logam berat serta E-coli dan lebih membimbangkan, bakteria itu juga ditemui dalam sampel air yang dibekalkan ke rumah oleh AKSB. 

Sepanjang tahun lalu, 11 kes pencemaran E-coli membabitkan air AKSB direkodkan kementerian di Tanah Merah; lapan kes (Jeli) dan masing-masing tujuh kes di Pasir Puteh dan Kuala Krai. 

Kehadiran bakteria ini dalam sumber air mentah dikatakan berpunca daripada ketiadaan sistem tangki septik sistematik di negeri ini. Kebanyakan rakyat negeri ini menggali perigi pada jarak 50 meter dari tangki septik, menyebabkan berlaku serapan bakteria E-coli ke bekalan air. 


Copy from Berita Harian Online

Jumaat, 18 November 2011

Hadkan BBM elak dedah rahsia


2011/11/18



Pegawai kerajaan perlu ambil langkah jamin keselamatan data, maklumat negara 

KUALA LUMPUR: Pegawai kerajaan yang menggunakan telefon pintar BlackBerry dinasihatkan mengehadkan penggunaan kemudahan BlackBerry Messenger (BBM) kepada komunikasi yang tidak sensitif atau bukan rahsia kerajaan.
Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Jospeh Salang Gandum, berkata ia perlu diamalkan sebagai langkah berjaga-jaga untuk menjamin keselamatan data dan maklumat negara.
“Maklumat yang disalurkan melalui sistem BlackBerry adalah melalui kaedah penyulitan dengan tahap keselamatan pemindahan dan penyimpanan maklumat pengguna adalah tinggi dan tidak memungkinkan ia diakses dengan mudah oleh mana-mana pihak. 

“Bagaimanapun, setiap sistem komunikasi mempunyai kelemahan dan tidak dapat menjamin kerahsiaan sepenuhnya,” katanya menjawab soalan Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu) di Dewan Rakyat semalam yang bertanya mengenai tahap keselamatan data dan maklumat terutama pengguna BlackBerry dan agensi yang mengawasinya. 

Joseph Salang berkata, syarikat pengendali perkhidmatan BlackBerry, Research In Motion (RIM) tidak akan mendedahkan data dan maklumat yang dihantar melalui BBM sewenang-wenangnya, namun RIM bersedia memberikannya jika diminta oleh kerajaan seperti di India dan Arab Saudi baru-baru ini bagi tujuan keselamatan negara. 

Menjawab soalan Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan) yang bertanya mengapa cakera parabola masih tidak dibenarkan penggunaannya, Joseph Salang berkata, penggunaan untuk orang awam bagi tujuan penerimaan siaran televisyen luar negara boleh memberi kesan negatif kepada rakyat dan kerajaan sukar memastikan kandungan siaran itu memenuhi Akta Penapisan Filem 2002, Kod Kandungan serta Arahan dan Garis Panduan berkaitan. 
“Cakera parabola hanya digunakan secara meluas untuk perkhidmatan data jalur lebar di kawasan pedalaman dan tidak dihubungi perkhidmatan talian tetap, pendidikan jarak jauh dan penggunaan korporat bagi acara tertentu,” katanya. 

Copy from Berita Harian Online

Khamis, 17 November 2011

Amah Indonesia kerja semula 1 Disember


Daripada Kadir Dikoh di Nusa Dua, Bali
kadiro@bharian.com.my
2011/11/17

NAJIB berjabat dengan Susilo ketika mengadakan
 pertemuan di Hotel Ayodya di Nusa Dua, Bali,
 semalam.

Isu pembantu rumah dimuktamadkan Najib, Susilo

MALAYSIA dan Indonesia semalam memuktamadkan beberapa persetujuan khususnya bagi melindungi pembantu rumah republik itu ketika bekerja di Malaysia, termasuk mengkehendaki majikan memberi wang pendahuluan RM1,800 kepada mereka sebelum datang ke Malaysia.
Turut dipersetujui, pembantu rumah diberi cuti wajib sehari dalam seminggu dan boleh menyimpan sendiri pasport, majikan dan amah dikehendaki menandatangani kontrak, selain majikan membayar RM4,511 kepada ejen bagi setiap pembantu rumah.
Kedua-dua negara juga bersetuju menubuhkan pasukan petugas khas khusus bagi menangani segala aduan majikan serta pembantu rumah untuk disiasat manakala ejen wajib membayar kepada majikan, jika pembantu rumah melarikan diri atau menggantikan dengan amah lain.

Persetujuan berkenaan dicapai dalam pertemuan dua hala antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono di Hotel Ayodya di Nusa Dua, Bali, semalam.

Keputusan itu sejajar dengan persetujuan Indonesia membenarkan pembantu rumah kembali bekerja semula di negara kita mulai 1 Disember ini selepas dibekukan sejak Jun 2009, seperti dipersetujui dalam Perundingan Tahunan ke-8 antara kedua-dua pemimpin terbabit di Lombok 20 Oktober lalu. 

Bagaimanapun, kedua-dua negara tidak menetapkan gaji minimum, walaupun sebelum ini didesak oleh pelbagai pihak di Jakarta. 
Sebaliknya perbincangan dalam pertemuan dua hala antara Najib dan Susilo semalam mahukan penetapan gaji itu ditentukan antara majikan dan pembantu rumah, berdasarkan pasaran semasa.

“Gaji juga akan dibayar terus ke dalam akaun pembantu rumah. Malah, dipersetujui pekerja wajib diberi cuti sehari seminggu, tetapi jika dia (amah) dikehendaki bekerja pada hari cuti itu, maka wajib majikan membayarnya,” kata Najib kepada wartawan Malaysia selepas pertemuan itu. 

Copy from Berita Harian Online

Rabu, 16 November 2011

Semua agensi sedia bantu 1.4 juta mangsa

Oleh Azrina Ahzan
bhnews@bharian.com.my
2011/11/16

MUHYIDDIN melancarkan Portal Banjir MKN selepas 
mempengerusikan Mesyuarat Khas Persiapan Banjir,
 di Putrajaya, semalam.


Portal maklumat berpusat situasi banjir dilancar: TPM

PUTRAJAYA: Lebih 28,000 anggota keselamatan selain polis, tentera dan sukarelawan sudah bersiap sedia menghadapi banjir, termasuk memindah serta membantu kira-kira 1.4 juta mangsa di 5,156 pusat pemindahan di seluruh negara.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga sudah mewujudkan depot bekalan keperluan bencana di lima wilayah dan 477 pangkalan hadapan, lengkap dengan bekalan stok makanan bagi memenuhi keperluan mangsa banjir.
Malah, katanya, semua agensi terbabit sudah diletakkan dalam keadaan bersiap sedia dan semua peralatan seperti bot penyelamat, kenderaan pacuan empat roda, helikopter, pam air dan set jana kuasa elektrik juga diselenggara dengan baik serta disimpan di lokasi strategik bagi memudahkan pergerakan sewaktu banjir.

“Persiapan menghadapi banjir tahun ini lebih baik daripada tahun lalu dan kerajaan sudah bersedia jika banjir berlaku berikutan laporan Jabatan Meteorologi bahawa beberapa negeri di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak dijangka menerima lebihan hujan antara bulan ini hingga Mac 2012.

“Selain itu, jabatan terbabit turut meramalkan fenomena air pasang besar pada 25 Disember dan 23 Januari depan. Jadi, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah diminta menyelenggara sungai dan longkang tersumbat khususnya di kawasan berisiko banjir,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Persiapan Banjir di sini, semalam.

Hadir sama Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab. 
Turut diadakan, majlis pelancaran Portal Banjir MKN yang berperanan sebagai portal maklumat berpusat mengenai situasi banjir untuk memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat ramalan cuaca, amaran paras sungai, jalan ditutup dan pautan kepada agensi berkaitan.

Portal itu boleh dilayari menerusi http://portalbanjir.mkn.gov.my atau www.facebook.com/informasibencana atau www.twitter.com/@portalbanjir.

Sementara itu, Muhyiddin juga meminta semua media elektronik menyediakan kapsul maklumat bencana dan slot khas bagi memudahkan pihak berkuasa menyalurkan maklumat banjir, termasuk amaran awal kepada orang ramai.

Mengulas persiapan Kementerian Pelajaran menghadapi banjir, beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kementerian sudah mengaktifkan persediaan sewajarnya khususnya di 510 sekolah rendah dan menengah yang berisiko tinggi dilanda banjir di seluruh negara.

Beliau berkata, Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) turut melancarkan Ops Payung bagi menghadapi banjir, selain menempatkan dewan peperiksaan bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) di aras satu bangunan sekolah, terutama di kawasan berisiko banjir.

Selain itu, katanya, 2,459 sekolah di 120 daerah dan kawasan juga sudah dikenal pasti sebagai pusat penempatan mangsa banjir. 

Copy from Berita Harian Online

Selasa, 15 November 2011

'Mat motor' tak tahu lesen palsu

Oleh Nor Azizah Mokhtar

norazizah@bharian.com.my
2011/11/15


ANGGOTA trafik memeriksa penunggang motosikal di
 Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.


Polis syaki sindiket didalangi ‘orang dalam’, serah kepada JPJ untuk tindakan 

KUALA LUMPUR: Seorang penjawat awam antara 22 ‘mat motor’ yang ditahan kerana memiliki lesen palsu serta melakukan pelbagai kesalahan lain dalam operasi membanteras samseng jalan raya di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, malam kelmarin.
Pemuda berusia 20 tahun itu mendakwa tidak mengetahui lesen miliknya itu palsu selepas hampir lapan bulan menggunakan lesen itu yang dibeli daripada seorang lelaki yang menawarkan lesen ‘segera’ tanpa perlu mengikuti kelas atau mengambil ujian komputer dan jalan raya pada harga RM300.
Pemuda terbabit mendakwa tertarik dengan tawaran lelaki berkenaan yang ditemui ketika menemani seorang rakannya ke sebuah pusat latihan memandu di Selayang pada Mac lalu kerana tidak perlu bersusah payah mengikuti proses sah mengambil lesen. 

“Ketika menunggu rakan, saya didatangi lelaki itu berusia sekitar 40-an dan menawarkan saya lesen segera tanpa perlu menggunakan sekolah memandu dan mengikuti ujian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan kos hanya RM300. 

“Saya bersetuju dan membayar wang diminta dan dalam tempoh dua minggu, saya memperoleh lesen itu tetapi saya tidak sangka lesen itu palsu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, kelmarin. 

Sementara itu, Ketua Unit Penguatkuasaan Khas Trafik Kuala Lumpur (U3K), Asisten Superintendan Azmi Wahid berkata, lesen berkenaan jelas palsu kerana berbeza dengan yang tulen seperti tulisan besar dan kedudukan lambang tidak berada di tempatnya. 
"Selepas pemeriksaan dilakukan, kita dapati nombor siri lesen itu tidak wujud atau didaftarkan dalam sistem polis dan JPJ. 

“Kita akan serahkan maklumat ini kepada JPJ untuk tindakan selanjutnya kerana kita percaya ada sindiket menggunakan ‘orang dalam’ sebagai dalang menghasilkan lesen palsu,” katanya. 

Azmi berkata, pemuda itu akan disiasat mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan atas kesalahan memalsukan dokumen dan sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM5,000 dan penjara tidak lebih setahun. 

Selain itu, katanya, sebuah motosikal dipercayai dicuri turut ditemui ditinggalkan di tepi jalan menuju ke Karak selepas penunggangnya melarikan diri daripada sekatan polis. 

“Pada mulanya penunggang motosikal itu dengan berani melakukan aksi ‘wheely’ di depan anggota trafik di Jalan Raja Laut dan selepas dikejar, dia memecut hingga ke arah Karak dan meninggalkan motosikalnya,” katanya. 


Copy from Berita Harian Online

Isnin, 14 November 2011

Calon SPM hidap demam kuning

32 dirawat akibat gejala dipercayai berpunca virus air kencing tikus


KUALA BERANG: Seramai 32 penduduk Kampung Basong dan Pasir Dula, Telemong di sini termasuk seorang calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bersama tiga adiknya, ditahan di Hospital Hulu Terengganu (HHT) semalam kerana menghidap gejala demam kuning dipercayai Hepatitis A berpunca daripada virus air kencing tikus. 


Mangsa termasuk 11 kanak-kanak berusia antara 36 bulan hingga 50 tahun dari kampung berkenaan menghidap demam kuning kerana menggunakan sumber air bukit yang disalurkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dipercayai tercemar virus kencing tikus.


Seorang mangsa, Nur Ain Nabila Rasid, 17, dari Kampung Basong, terpaksa menduduki peperiksaan SPM hari ini di wad khas HHT selepas dia dan tiga adiknya, Muhammad Shafiq, 11, Arni Natasya, 7, dan Muhammad Irwan Aiman, 3, ditahan kerana menghidap demam kuning.


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr Abdul Rahman Mokhtar, berkata semua mangsa dirujuk ke HHT sejak Khamis lalu tetapi ditahan di wad mulai semalam berikutan gejala demam kuning mereka perlu distabilkan menerusi rawatan intensif. 



Katanya, seorang daripada mangsa sudah dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk mendapatkan rawatan lanjut. 



“Setakat ini, kita belum dapat mengesahkan sama ada mangsa yang menghidap demam kuning atau Hepatitis A berpunca daripada virus air kencing tikus. 
“Jabatan Kesihatan negeri sudah mengambil sampel darah untuk dianalisis bagi menentukan punca demam kuning,” katanya, semalam. 
Bulan lalu, 24 orang masyarakat Orang Asli di perkampungan Sungai Berua, Kuala Telemong turut ditahan di HHT kerana menghidap demam kuning selepas menggunakan air sungai disyaki virus air kencing tikus. 



Ahli Dewan Undangan Negeri Telemong (ADUN), Rozi Mamat, berkata penduduk dua kampung itu masih menggunakan bekalan air bukit yang tidak dimasak, walaupun kerajaan negeri sudah menyediakan bekalan air bersih disediakan Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd. 



“Kita sudah meminta Jabatan Kesihatan negeri dan daerah melakukan siasatan bagi menentukan keadaan air bukit digunakan mangsa. 



“Kita tidak menolak kemungkinan air bukit digunakan mangsa daripada sumber air Sungai Berua yang digunakan masyarakat Orang Asli yang juga menghidap gejala itu sebelum ini,” katanya. 



Sementara itu, Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Anwa Sulaiman, ketika dihubungi berkata pihaknya sedang menyiasat kejadian itu tetapi tidak dapat membuat pengesahan kerana keputusan sampel belum diperoleh. 

Copy from Berita Harian Online

Jumaat, 11 November 2011

Bantuan persekolahan RM100 sudah disalurkan


Oleh Khairul Azran Hussin

2011/11/11

Wang diagih secara tunai dalam 14 hari: Muhyiddin

BANTING: Kira-kira 5.5 juta pelajar sekolah rendah dan menengah akan menerima wang bantuan persekolahan RM100 seorang yang sudah disalurkan kepada akaun sekolah masing-masing mulai semalam dan diagihkan secara tunai kepada ibu bapa, penjaga atau murid dalam tempoh 14 hari.

Bayaran berkenaan untuk murid Tahun Satu hingga Tingkatan Empat bagi sesi persekolahan 2011, manakala bagi Sabah dan Sarawak, selewat-lewatnya minggu depan. Pelajar Tahun Satu dan Tingkatan Satu bagi sesi persekolahan 2012 pula menerimanya pada Januari.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan akan menyalurkan peruntukan RM550 juta itu kepada Bank Simpanan Nasional (BSN) dan bank kemudian menyerahkannya kepada pihak sekolah sebelum diagihkan.
“Bagi sekolah yang tiada akaun BSN, mereka bersetuju buka akaun sementara,” katanya pada sidang media selepas Majlis Bersama Warga Pensyarah dan Pelajar Matrikulasi di Kolej Matrikulasi Selangor di sini, semalam.

Bantuan berkenaan membabitkan sekolah kerajaan, swasta, persendirian dan agama di seluruh negara. Sekolah kebangsaan dan bantuan kerajaan membabitkan 5,061,574 pelajar, sekolah agama rakyat dan sekolah agama negeri (313,373), sekolah persendirian (125,465) serta Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Kolej Tentera (32,238).

Muhyiddin juga berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan menaikkan elaun bulanan pelajar matrikulasi yang ketika ini RM250 dengan mengambil kira kenaikan kos hidup sekarang.

“Jika tidak sampai RM400, naik sedikit pun dikira bagus kerana jumlah yang diberikan sekarang dianggap tidak cukup,” katanya. 
Ketika menjawab soalan seorang pelajar kolej matrikulasi yang bimbang kemungkinan mereka tidak diterima ke universiti, beliau berkata, kerajaan memberi jaminan ia tidak akan berlaku walaupun sesetengah universiti mempunyai kursus pra universiti sendiri.

“Matrikulasi diwujudkan untuk bantu Bumiputera dan kita sedar bila ada pra universiti, ada persaingan. Sekarang ada masalah penempatan sebab kursus yang mereka (pelajar kolej matrikulasi) minta mungkin tidak diterima universiti.

“Saya akan bincang dengan Khaled Nordin (Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin) kerana ada pelajar kolej matrikulasi yang tidak dapat kursus diminta dan masalah penempatan,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, kerajaan sudah meminta wakil kedutaan dan penuntut di Indonesia mendesak pihak berkuasa menyiasat teliti pembunuhan pelajar perubatan Universiti Brawijaya, Malang, Adrian Jay Pereira, 22, pada Isnin lalu bagi memastikan penjenayah ditangkap dan dihukum.

Katanya, beliau mengenali mendiang yang menjadi antara pemimpin pelajar yang menyambut kunjungannya ketika lawatan ke Surabaya baru-baru ini.

Dalam kejadian jam 7 malam itu, Adrian dilaporkan mengejar seorang lelaki yang cuba melarikan motosikal di depan rumahnya, tetapi dipercayai ditetak suspek tidak jauh dari rumah sewanya dan mati di tempat kejadian.
Murid disebuah sekolah rendah gembira setelah mendengar perbentangan bajet oleh Datuk Seri Najib mengenai agihan bantuan RM100 untuk semua pelajar sekolah rendah dan menengah.


Copy from Berita Harian Online
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/BantuanpersekolahanRM100sudahdisalurkan/Article

Nuffnang Ads

 

Sample text

Sample Text

Sample Text