Social Icons

Social Icons

Selasa, 15 November 2011

'Mat motor' tak tahu lesen palsu

Oleh Nor Azizah Mokhtar

norazizah@bharian.com.my
2011/11/15


ANGGOTA trafik memeriksa penunggang motosikal di
 Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.


Polis syaki sindiket didalangi ‘orang dalam’, serah kepada JPJ untuk tindakan 

KUALA LUMPUR: Seorang penjawat awam antara 22 ‘mat motor’ yang ditahan kerana memiliki lesen palsu serta melakukan pelbagai kesalahan lain dalam operasi membanteras samseng jalan raya di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, malam kelmarin.
Pemuda berusia 20 tahun itu mendakwa tidak mengetahui lesen miliknya itu palsu selepas hampir lapan bulan menggunakan lesen itu yang dibeli daripada seorang lelaki yang menawarkan lesen ‘segera’ tanpa perlu mengikuti kelas atau mengambil ujian komputer dan jalan raya pada harga RM300.
Pemuda terbabit mendakwa tertarik dengan tawaran lelaki berkenaan yang ditemui ketika menemani seorang rakannya ke sebuah pusat latihan memandu di Selayang pada Mac lalu kerana tidak perlu bersusah payah mengikuti proses sah mengambil lesen. 

“Ketika menunggu rakan, saya didatangi lelaki itu berusia sekitar 40-an dan menawarkan saya lesen segera tanpa perlu menggunakan sekolah memandu dan mengikuti ujian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan kos hanya RM300. 

“Saya bersetuju dan membayar wang diminta dan dalam tempoh dua minggu, saya memperoleh lesen itu tetapi saya tidak sangka lesen itu palsu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, kelmarin. 

Sementara itu, Ketua Unit Penguatkuasaan Khas Trafik Kuala Lumpur (U3K), Asisten Superintendan Azmi Wahid berkata, lesen berkenaan jelas palsu kerana berbeza dengan yang tulen seperti tulisan besar dan kedudukan lambang tidak berada di tempatnya. 
"Selepas pemeriksaan dilakukan, kita dapati nombor siri lesen itu tidak wujud atau didaftarkan dalam sistem polis dan JPJ. 

“Kita akan serahkan maklumat ini kepada JPJ untuk tindakan selanjutnya kerana kita percaya ada sindiket menggunakan ‘orang dalam’ sebagai dalang menghasilkan lesen palsu,” katanya. 

Azmi berkata, pemuda itu akan disiasat mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan atas kesalahan memalsukan dokumen dan sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM5,000 dan penjara tidak lebih setahun. 

Selain itu, katanya, sebuah motosikal dipercayai dicuri turut ditemui ditinggalkan di tepi jalan menuju ke Karak selepas penunggangnya melarikan diri daripada sekatan polis. 

“Pada mulanya penunggang motosikal itu dengan berani melakukan aksi ‘wheely’ di depan anggota trafik di Jalan Raja Laut dan selepas dikejar, dia memecut hingga ke arah Karak dan meninggalkan motosikalnya,” katanya. 


Copy from Berita Harian Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nuffnang Ads

 

Sample text

Sample Text

Sample Text