Social Icons

Social Icons

Rabu, 11 Mei 2011

UNESCO digesa bantu Palestin

Oleh Misiah Taib dari Copenhagen
misiah@bharian.com.my
2011/05/12




MUHYIDDIN pada mesyuarat UNESCO ke-186 di Paris, semalam.

Malaysia mahu pertubuhan dunia bangun institusi pendidikan, kebudayaan

MALAYSIA yang mahu memainkan peranan lebih penting sebagai anggota Jawatankuasa Warisan Dunia (WHC), menggesa Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) supaya memberi bantuan segera kepada pihak berkuasa Palestin.

Menaruh harapan besar untuk terpilih menganggotai jawatankuasa berkenaan, Malaysia berpendapat UNESCO harus membantu dalam membangunkan segera institusi pendidikan dan kebudayaan di Tebing Barat, Semenanjung Gaza dan Jerusalem Timur.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang mengetuai delegasi negara ke Paris dalam usaha melobi dan memperkenalkan Malaysia yang bersaing untuk menganggotai WHC di bawah UNESCO, berpendapat pertubuhan itu perlu memberi sokongan berterusan ke arah kedamaian dan kestabilan di rantau berkenaan yang juga tanah pusaka tiga agama utama di dunia.

Muhyiddin dan Ahli Lembaga Eksekutif UNESCO menegaskan demikian dalam ucapan dasar pada sesi debat umum mesyuarat UNESCO kali ke-186 di bangunan UNESCO di sini.

Katanya, sokongan berterusan UNESCO perlu terutama kepada Palestin, memandangkan pendidikan memainkan peranan penting dalam usaha untuk mempromosikan kebudayaan dan keamanan dunia.

Timbalan Perdana Menteri yang turut menegaskan kemampuan dan kelebihan negara untuk menganggotai WHC, bagaimanapun memuji komitmen UNESCO bagi memulihara warisan budaya dunia, ke arah memastikan tapak warisan dilindungi dan kekal sebagai lambang keamanan, dialog dan perdamaian, dengan usaha ke arah itu memerlukan kebertanggungjawaban bersama.
“Justeru, Malaysia berminat dan bersedia menawarkan perkhidmatan ke arah melindungi dan memulihara warisan budaya dunia demi kebaikan generasi masa depan,” katanya.

Malaysia adalah sebuah daripada 13 negara yang melobi untuk mengisi sembilan kekosongan di kalangan 21 anggota jawatankuasa WHC. Anggota WHC termasuk Australia, Brazil, Kemboja, China, Mesir, Perancis, Afrika Selatan, Sweden, Switzerland dan Thailand.

Malaysia mempunyai peluang baik untuk dipilih dengan sokongan negara-negara ASEAN. Jawatankuasa itu mempunyai kata putus untuk menetapkan senarai warisan dunia.

Muhyiddin berkata, Malaysia sudah melatih ramai pakar dalam bidang arkeologi, perlindungan dan pengurusan warisan budaya dan alam semula jadi dengan kepakaran mereka boleh digunakan bagi meningkatkan perlindungan warisan dunia.

Beliau turut memaklumkan Malaysia juga giat mempromosi dan memulihara warisan kebudayaan serta alam semula jadinya mengikut Akta Warisan Kebangsaan.

“Malaysia turut mendapat pengiktirafan UNESCO Memory of the World, inskripsi Tapak Warisan Dunia dan dalam senarai daftar wakil Konvensyen Melindungi Warisan Budaya Tidak Nyata 2003.

“Dengan semua kelebihan ini, Malaysia menawarkan diri untuk memainkan peranan lebih penting sebagai anggota WHC, jika terpilih pada tahun ini,” katanya.

Malaysia turut mencadangkan pasukan profesional untuk WHC terdiri daripada Suruhanjaya Jabatan Warisan Negara, Prof Zuraina Majid; Timbalannya, Prof A Ghafar Ahmad; Prof Dr Latif Mohamed dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Pengurus Besar George Town World Heritage Incorporated, Maimunah Sharif.

Zuraina adalah pakar arkeologi, antropologi dan warisan budaya; Ghafar pula pakar pemuliharaan dan pembinaan alam sekitar; Latif di bidang botani; Maimunah perancangan bandar dan pengurusan tapak warisan dunia.

Sumber:Berita Harian Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nuffnang Ads

 

Sample text

Sample Text

Sample Text