Social Icons

Social Icons

Rabu, 24 Ogos 2011

RM1.4b peruntukan KAR1SMA

Oleh Johari Ibrahim

2011/08/25





NAJIB bersalaman dengan Muhyiddin selepas melancarkan program KAR1SMA, di Putrajaya, semalam. Turut kelihatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Bantuan kebajikan elak 500,000 penerima terus hidup terpinggir

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata sebanyak RM1.4 bilion diperuntukkan bagi membantu kira-kira 500,000 penerima bantuan kebajikan masyarakat melalui Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA) tahun ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, bantuan yang akan diberikan pada setiap bulan itu bagi membantu kumpulan sasar yang antaranya terdiri daripada warga emas, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan kini, termasuk balu askar dan polis.
Beliau berkata, pada tahun lalu, kerajaan memperuntukkan RM1.2 bilion bagi bantuan kepada 424,000 golongan memerlukan.
“Kerajaan mengambil langkah itu kerana mahu menegakkan keadilan sosial dalam negara, satu daripada tiang utama kepada Gagasan 1Malaysia dan penting dalam falsafah negara.

“Mereka ini (500,000) adalah kelompok besar dalam masyarakat kita dan jika tidak ada sesuatu intenvensi kerajaan yang khusus dalam program yang tersusun rapi, mereka terus berada dalam keadaan terpinggir dan terbiar dan kita akan gagal menegakkan keadilan.

“Hari ini, saya boleh sahkan sebagai Menteri Kewangan, bajetnya RM1.4 bilion (2011) untuk lebih kurang 500,000 anggota masyarakat yang kita dapat takrifkan sebagai kumpulan sasar,” katanya berucap pada pelancaran program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA) di pejabatnya di sini, semalam.

Program kebajikan itu diilhamkan Perdana Menteri diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Peruntukan itu merangkumi bantuan untuk kanak-kanak RM290 juta; OKU (RM332 juta), warga emas (RM455 juta) dan membiayai program kemasyarakatan peringkat komuniti (RM303 juta).

Menerusi program itu juga, satu kategori baru bantuan kewangan diperkenalkan bagi balu anggota tentera dan polis yang layak, membabitkan peruntukan RM4.1 juta.

Selain bantuan kewangan, beliau berharap mereka terbabit kelak akan turut diberikan ilmu, semangat serta kemahiran baru supaya boleh berubah pada masa depan.

Sementara itu, Shahrizat berkata, pelbagai perkhidmatan disediakan menerusi KAR1SMA seperti bantuan kewangan bulanan, perkhidmatan di institusi, pusat jagaan harian, Program Ziarah dan Bantu, insentif OKU produktif, dorongan kerjaya (Job Coach), latihan kemahiran ibu tunggal serta wanita, perkhidmatan kesihatan, mamogram, taman asuhan kanak-kanak, pusat aktiviti kanak-kanak dan inisiatif kebajikan produktif.

Sementara itu, di TEMERLOH pada majlis berbuka puasa anjuran BN Pahang, di Dataran Tok Gajah, di sini, semalam, Najib berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) masih berupaya mengurus tadbir negara dengan berkesan, terutama memperjuangkan konsep menegakkan keadilan sosial demi kepentingan rakyat, walaupun dalam keadaan ekonomi dunia tidak menentu.

Justeru, Perdana Menteri menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya kerajaan berpeluk tubuh dan tidak mampu berbuat apa-apa disebabkan fenomena global.

Copy from Berita Harian Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nuffnang Ads

 

Sample text

Sample Text

Sample Text