Social Icons

Social Icons

Jumaat, 9 Disember 2011

Langkawi mampu jana RM3.8b

Oleh Azmi Md Deros dan Adha Ghazali bhnews@bharian.com.my 2011/12/09


NAJIB melihat replika pelan khas pada majlis
pelancaran blueprint pelancongan Langkawi sambil
diperhatikan Nor Mohamed (kanan) dan Ahmad Husni
(dua dari kanan) di The Westin Langkawi Resort,
Langkawi, semalam.

Pelan tindakan pelancongan lonjak kedudukan, potensi pulau legenda

LANGKAWI: Pelan Tindakan Pelancongan Langkawi dilancarkan semalam untuk melonjakkan nama pulau legenda itu sebaris dengan pulau percutian terkemuka dunia termasuk Seychelles, Mauritius, Bali, Hawaii dan Maldives dengan sasaran penjanaan pendapatan RM3.8 bilion dan kunjungan tiga juta pelancong menjelang 2015.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, ketika melancarkannya berkata kerajaan mahu mengangkat kedudukan serta potensi Langkawi dan memberi nafas baru kepada pulau yang mengandungi gugusan 99 pulau itu.
“Sumbangannya kepada Keluaran Negara Kasar juga akan meningkat dua kali ganda daripada RM800 juta kepada RM1.9 bilion dengan 4,200 peluang pekerjaan baru diwujudkan,” katanya.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen; Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Tan Sri Khalid Ramli yang mula memegang jawatan itu berkuat kuasa bulan ini.

Najib berkata, pelan tindakan 2011-2015 itu menetapkan tiga fokus dengan 14 inisiatif sebagai tumpuan, termasuk memapar dan memperkasakan kekayaan produk ikonik yang menjadi warisan budaya pulau itu, menambah baik infrastruktur pelancongan dan mewujudkan pemboleh daya bagi menyokong pertumbuhan sektor pelancongannya.

“Kita akan menambah baik kekayaan warisan ikon geopark seperti Kilim, Pulau Dayang Bunting dan Gunung Machincang. Sebagai langkah awal untuk memulihara sumber alam, pasukan renjer taman akan ditubuhkan untuk menguatkuasa peraturan dan melaksanakan langkah konservasi.
“Bagi menghidupkan semula imej Langkawi yang kaya dengan tradisi dan cerita rakyat, Makam Mahsuri akan dijadikan muzium hidup, manakala Pantai Cenang diberi wajah baru dengan pembangunan holistik,” katanya.

Lima hotel lima bintang akan dibina bagi memenuhi permintaan pelancong mewah, manakala Telaga Harbour dan Teluk Datai akan mempunyai restoran mewah serta penjualan barangan berjenama. Bagi memberikan imej positif kepada Langkawi, kemudahan di lapangan terbang dan terminal feri akan dipertingkatkan, selain mutu pengangkutan darat dinaikkan taraf.

Perdana Menteri berkata, pelaburan sebanyak RM5 bilion diperlukan dalam tempoh pelaksanaan pelan itu dengan 92 peratus dijana sektor swasta dengan kerajaan memperuntukkan RM420 juta bagi menjayakan pembangunannya seperti diumumkan dalam Bajet 2012.

Pada majlis itu, Perdana Menteri dan Azizan menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) penubuhan Akademi Pelancongan membabitkan Kementerian Pengajian Tinggi dan Taylor's University. Kementerian Pengajian Tinggi diwakili Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Datuk Omar Abdul Rahman, manakala Taylor's University oleh Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Hassan Said.

Sumber dari Berita Harian Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nuffnang Ads

 

Sample text

Sample Text

Sample Text