Social Icons

Social Icons

Jumaat, 29 April 2011

PM China puji Gagasan 1Malaysia

Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my
2011/04/29


NAJIB menerangkan pembangunan Putrajaya kepada Jiabao ketika menerima kunjungan bagi lawatan rasmi dua hari ke Malaysia, di Putrajaya, semalam.


Jiabao berpendapat dasar diilhamkan Najib baik, tepat untuk negara majmuk

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak dipuji rakan sejawatnya dari China, Wen Jiabao, atas inisiatif beliau memperkenalkan Gagasan 1Malaysia untuk mengukuhkan perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini.
Jiabao berpendapat, polisi yang diilhamkan oleh Perdana Menteri itu adalah baik dan tepat untuk negara majmuk seperti Malaysia yang turut kaya dengan beraneka kebudayaan masyarakatnya.
Katanya, beliau amat menyokong gagasan itu kerana Malaysia akan menjadi semakin makmur, aman dan sentosa jika seluruh rakyat bersatu padu serta bekerjasama membangunkan negara ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam perjumpaan tertutup selama setengah jam dengan kira-kira 400 hadirin yang terdiri daripada pelabur China di negara ini, kakitangan Kedutaan Besar China di Malaysia, serta komuniti Cina tempatan, di sini, semalam.

Bagaimanapun difahamkan, tiada sesi dialog berlangsung dalam perjumpaan itu.

Perkara itu dimaklumkan kepada pemberita oleh Setiausaha Agung Persatuan Persahabatan Malaysia-China yang juga Ahli Majlis Kebangsaan Gabungan Dewan Perniagaan dan Industri Cina Malaysia (ACCCIM), Tan Kai Hee, selepas menghadiri perjumpaan berkenaan.
Kai Hee yang juga Pengarah Urusan Kumpulan Hai-O Enterprise Berhad berkata, Jiabao berpuas hati dengan hubungan baik antara kedua-dua negara, malah menyifatkan Malaysia antara negara terbaik di ASEAN.

“Beliau (Jiabao) menegaskan kepemimpinan kedua-dua pihak (Malaysia dan China) mempunyai keyakinan terhadap satu sama lain, dan hubungan dua hala ini boleh terus dipertingkat.

“Selain itu, beliau turut mengenang budi baik Malaysia menjadi negara ASEAN yang pertama mengiktiraf dan menjalinkan hubungan diplomatik dengan China ketika negara berkenaan masih dalam kesusahan,” katanya.

Dalam pada itu, Kai Hee berkata, Jiabao juga menasihati rakyat China yang berada di Malaysia supaya mematuhi undang-undang dan dasar negara ini, selain gembira kerana masyarakat Cina tempatan memberi sumbangan baik kepada Malaysia.

Presiden ACCCIM merangkap Pengerusi Lion Group, Tan Sri William Cheng, yang turut menghadiri perjumpaan itu berkata, Jiabao menggalakkan rakyat Malaysia memberi sokongan padu kepada Gagasan 1Malaysia.

“Beliau juga menyeru rakyat Malaysia bekerja keras sebagai sebuah keluarga besar untuk mencapai sasaran Perdana Menteri menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi menjelang 2020,” katanya.

Sumber:Berita Harian Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nuffnang Ads

 

Sample text

Sample Text

Sample Text