Social Icons

Social Icons

Rabu, 29 Februari 2012

Rakyat akar umbi tak diabai

2012/02/29

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak, berkata negara tidak mengabaikan usaha meningkatkan taraf hidup masyarakat pada peringkat akar umbi walaupun memberi perhatian terhadap usaha menjana kekayaan melalui pengkomersialan dan inovasi.

Perdana Menteri berkata, inovasi sebaliknya perlu dilihat dalam konteks usaha pembasmian kemiskinan, meningkatkan mutu kesihatan awam dan kemajuan dalam bidang pertanian.
Ini juga ada kaitan dengan hasrat kita membangunkan kawasan desa dan luar bandar berdasarkan model baru yang seimbang dengan keadaan abad ke-21, katanya ketika berucap sebelum mempengerusikan mesyuarat Majlis Inovasi Negara, di sini semalam.
Najib berkata, peranan sains dan teknologi amat penting bagi menambah nilai produk inovasi yang boleh dihasilkan oleh masyarakat akar umbi.

Justeru, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi akan membentangkan kertas kerja mengenai inovasi akar umbi untuk melihat bagaimana menggunakan pendekatan amalan terbaik yang digunakan di bidang lain yang terbukti berjaya menangani masalah keperluan asas dan harian masyarakat.

Berhubung kekurangan minat pelajar mengenai subjek sains dan matematik serta tahap inovasi yang masih rendah terutama di kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), Najib berkata perkara itu akan ditangani secara agresif.

Beliau berharap pelan hala tuju modal insan dalam PKS yang sedang dibangunkan serta Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi serta Akta Sains yang sedang digubal dapat disiapkan menjelang akhir tahun ini.
Saya percaya inisiatif itu akan dapat menangani isu kritikal seperti pembangunan modal insan, bilangan penyelidik yang masih rendah, kemajuan kurang menarik dalam kerjaya sains, pelaburan pembangunan dan penyelidikan yang sederhana dan tahap inovasi yang belum memuaskan, katanya.

Beliau berkata Jawatankuasa Pelaburan Dana Awam dan Ekuiti di bawah Agensi Inovasi Malaysia (AIM) pula diberi mandat menambah baik landskap dan mekanisme pelaburan dalam R&D bagi memastikan pulangan setimpal.

Dalam persekitaran global yang semakin kompetitif, Perdana Menteri berkata, ada kemestian bagi mengimbangkan pelaburan dalam bidang penyelidikan asas dengan kehendak pasaran seperti sasaran awal pada nisbah 50-50.

Bagi mencapai sasaran itu, kerjasama antara universiti dan institusi penyelidikan dengan industri perlu diperhebat serta dipertingkatkan selaras kehendak model inovasi negara, katanya.

Najib juga berkata adalah penting untuk mengimbangkan kemajuan sains dan teknologi dengan sains sosial kemanusiaan dalam agenda pembangunan negara untuk mengelak kemudaratan kepada negara. BERNAMA

Sumber dari Berita Harian Online

Selasa, 28 Februari 2012

Dana politik ke akaun rasmi

Oleh Johari Ibrahim

2012/02/28

NAJIB merasmikan program Pegawai Integriti
Bertauliah anjuran SPRM, di Putrajaya, semalam.

Elak ahli parti seleweng sumbangan

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata, semua sumbangan dana politik mesti disalurkan melalui akaun rasmi parti bagi mengelak ahli politik menyalahgunakan nama parti untuk meminta sumbangan dan kemudian diseleweng untuk kepentingan sendiri.

Perdana Menteri berkata, inisiatif baru yang diperkenalkan di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP) itu juga bertujuan menangani isu berkaitan dana politik supaya ia lebih tepat, telus dan jelas, sekali gus meningkatkan ketelusan serta keyakinan rakyat terhadap parti politik di negara ini .
Katanya, sumbangan dana itu juga akan melalui rekod penerimaan yang teratur dengan resit penerimaan wang dan boleh diaudit pada akhir tahun kewangan.
Kerajaan percaya inisiatif ini akan mengelakkan perbuatan rasuah dan penyelewengan pada peringkat akar umbi dan manfaat sumbangan dapat disampaikan kepada segenap peringkat parti dan seterusnya rakyat, katanya pada majlis perasmian dan penyampaian sijil Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini semalam.

Pandangan berkaitan pengawalan dana politik itu dikemukakan Jawatankuasa Mencegah Rasuah dan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM sebelum ini.

Najib berkata, jenayah rasuah tidak ada kaitan dengan fahaman politik, kepartian, status, kedudukan atau bangsa.

"Ia adalah kesalahan yang amat serius, melanggar undang-undang negara dan hukum agama. Sesiapa yang terbabit rasuah dan terbukti bersalah, wajar menerima hukuman, katanya.
Bagaimanapun, katanya, menuduh seseorang melakukan rasuah tanpa asas dan bertujuan membunuh karakter tanpa bukti adalah kesalahan besar.

Janganlah kita menggunakan rasuah untuk menjatuhkan seseorang. Jika rasuah dipolitikkan, tindakan SPRM dipolitikkan akan membawa natijah yang amat besar dan buruk, katanya.

Pada majlis itu, Najib menyampaikan CeIO kepada 24 penerima terdiri daripada pegawai kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan.

Najib berkata, bagi memastikan undang-undang di Malaysia telus dan mengambil kira pandangan setiap pihak sebelum dikuatkuasakan, kerajaan bercadang memaparkan draf rang undang-undang dalam laman web bagi mendapatkan pandangan umum dan pihak yang berkaitan bagi tempoh yang ditetapkan sebelum dimuktamadkan.

Copy from Berita Harian Online

Isnin, 27 Februari 2012

Perhimpunan Hijau 2.0 di Padang Kota kecoh

2012/02/27

Ihsan gambar dari Malaysia Kini

GEORGETOWN: Perhimpunan Hijau 2.0 yang disertai kira-kira 500 orang di Sudut Pidato, Padang Kota, di sini, semalam, kecoh termasuk kereta rasmi dinaiki Ketua Menteri, Lim Guan Eng, dikepung ketika dibawa keluar dari kawasan itu.

Kekecohan tercetus apabila kira-kira 50 ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk kumpulan bermotosikal turut berada di kawasan berkenaan apabila perhimpunan bermula kira-kira jam 6 petang.
Perhimpunan itu diadakan bagi membantah pembinaan kilang Lynas di Gebeng, Pahang yang menyebabkan ramai menganjurkan tunjuk perasaan atas dasar tak puas hati.
Ketika Guan Eng naik ke pentas menyuarakan sokongan kepada perhimpunan itu, beliau terpaksa dikawal beberapa pengawal bagi mengelak beberapa ahli NGO yang dilihat cuba menghampirinya.

Ahli NGO itu turut menjerit dengan mengatakan 'Guan Eng Penipu; Kami Sokong Lynas dan Kami sokong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ketika itu juga berlaku tolak menolak sehingga menyebabkan wartawan Kwong Wah Jit Poh, Andrew Chew, 29, diserang tiga lelaki termasuk seorang daripadanya menggunakan topi keledar.

Selepas Guan Eng berucap kira-kira 15 minit, beliau diiringi pengawal peribadi serta pasukan sukarela serta anggota polis berpakaian preman ke keretanya, dikepung ahli NGO hingga menyebabkan berlaku tolak menolak.
Sebaik memasuki keretanya, ahli NGO mengepung serta menghalang pergerakan kenderaan itu, menyebabkan kereta dinaiki Guan Eng terpaksa bergerak perlahan dan mengambil masa hampir lima minit walaupun jarak ke pagar hanya 20 meter.

Akibat tolak menolak itu, seorang jurukamera Kwong Wah Jit Poh, Lee Hong Chun, 25, dipukul di kepala menggunakan topi keledar.

Ketika tumpuan beralih kepada jurugambar berkenaan, kenderaan Guan Eng mengambil kesempatan meluncur laju meninggalkan kawasan berkenaan dan keadaan tolak menolak kembali reda.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Ahmad Bakhtiar Kassim, berkata seramai 40 anggota dan pegawai berpakaian preman bergegas ke Padang Kota untuk mengawal keadaan daripada sebarang kejadian tidak diingini selepas dimaklumkan kejadian berkenaan.

Sumber dari Berita Harian Online

Khamis, 23 Februari 2012

Nurul Zakiah telefon keluarga

Oleh LUQMAN RIDHWAN MOHAMED NOR dan RASMI ABDULLAH
berita@kosmo.com.my

Lelaki yang bernama Samer Khan didakwa telah melarikan Nurul Zakiah


BANTING - Remaja hilang yang didakwa terkena ilmu pengasih Pakistan, Nurul Zakiah Hidayah Azman, 17, telah menghubungi keluarganya kelmarin untuk menegaskan bahawa dia melarikan diri kerana ingin hidup berdikari.

Perkara itu disahkan oleh bapanya, Azman Saad, 51, yang turut memberitahu, Nurul Zakiah telah menghubunginya kira-kira pukul 8.30 malam kelmarin untuk menyatakan perkara tersebut kepadanya.

Selain itu, dia memberitahu, anaknya itu turut merayu agar dia menarik semula laporan polis yang telah dibuat berkenaan kehilangannya sejak 14 Februari lalu.

"Dia menceritakan bahawa dia tidak lagi bersama dengan kekasihnya itu dan dia kini berhasrat untuk bekerja dan hidup sendiri," katanya kepada Kosmo! ketika dihubungi di sini semalam.

Kosmo! kelmarin melaporkan tentang ahli keluarga Nurul Zakiah yang merayu agar dia pulang selepas disyaki lari dari rumah kerana mengikut Samer Khan atau nama sebenarnya, Arsad Mohd., 20-an apabila cinta mereka mendapat tentangan keluarga.

Pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Banting, Kuala Langat itu dikatakan telah terkena ilmu pengasih lelaki Pakistan tersebut hingga menyebabkan dia mula berbohong dan melawan cakap orang tua.

Mengulas lanjut, menurut Azman, walaupun hanya berbual selama seminit, dia berjaya mendapatkan nombor telefon bimbit baharu anaknya.

Copy from KOSMO! Online

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0224&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm



Nuffnang Ads

 

Sample text

Sample Text

Sample Text