Social Icons

Social Icons

Rabu, 14 Disember 2011

Bank ‘buru’ Fizo minta bayar RM2.5j


Oleh Mohd Izwan Jaafar

2011/12/14

Pelakon terkejut nama diguna jadi penjamin pinjaman RM8j

KUALA LUMPUR: Pelakon popular, Fizo Omar terkejut apabila namanya digunakan sebagai penjamin bagi pinjaman RM8 juta dilakukan sebuah syarikat percetakan dan dirinya kini diburu bank supaya membayar pinjaman lebih RM2.5 juta yang gagal dibayar syarikat itu. 

Fizo berkata, beliau pernah bekerja sebagai pengarah di syarikat itu selama setahun dan berhenti pada akhir 2008, menyedari dirinya menjadi mangsa penganiayaan itu selepas dihubungi beberapa kali oleh pegawai bank yang menuntut bayaran itu, sejak akhir tahun lalu.
Fizo Omar

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkannya tertekan kerana kesalahan tidak dilakukannya itu turut menyekatnya keluar dari negara ini.
“Saya tidak mengetahui apa-apa mengenai pinjaman RM8 juta dibuat syarikat itu kerana selepas berhenti kerja, saya menjadi pelakon sepenuh masa. 

“Saya percaya ada pihak menggunakan nama saya sebagai penjamin dan perkara ini tidak sepatutnya berlaku sebab ia membabitkan jumlah pinjaman besar, malah saya sendiri tidak mampu membayarnya,” katanya di Wangsa Maju, semalam. 

Beliau turut ditemani Pengerusi Sukarelawan Peguam Untuk Semua (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat. 

Katanya, beliau sudah membuat aduan kepada SukaGuam untuk meneliti kes itu, sebelum tindakan susulan dilakukan. 
“Saya tidak pernah menerima sebarang dokumen berhubung pinjaman bank berkenaan dan tidak pernah menurunkan tanda tangan kepada sebarang dokumen berkaitan,” katanya. 

Sementara itu, Khairul Anwar berkata, pihaknya akan berjumpa pengurusan bank berkenaan dalam masa terdekat untuk menyiasat secara terperinci kejadian menimpa pelakon itu. 

Sumber:Berita Harian Online

Sabtu, 10 Disember 2011

Guan Eng akui KD Tun Razak boleh selam

2011/12/10
LANGKAWI: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng akhirnya mengakui kapal selam yang dikendalikan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mampu menyelam dan aset pertahanan itu memang diperlukan negara ini. 

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP mengakui perkara itu selepas diberi peluang menyelam bersama kapal selam kedua negara, KD Tun Razak selama satu setengah jam bersama dua timbalannya, Datuk Mansor Othman dan P Ramasamy, semalam.
KD Tun Razak yang dinaiki oleh Lim Guan Eng-Gambar hiasan

Tiada persoalan mengenai boleh menyelam, sekarang ia boleh menyelam. Saya juga mengagumi keupayaan anggota yang mengendalikannya, katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi. Sebelum itu, beliau diterbangkan dari KD Lekiu menggunakan helikopter Super Lynx.

Ketika diajukan soalan sama ada berpuas hati dengan keupayaan KD Tun Razak menyelam, Guan Eng berkata, beliau menyahut pelawaan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menyelam bersama kapal itu. 

Beliau mengakui pengalaman menaiki kapal selam itu menarik tetapi menafikan beliau memperlekehkan keupayaan ATM khususnya TLDM berikutan pembelian kapal selam berharga RM2.5 bilion itu. 

Kami (pembangkang) cuma mempertikaikan kos pembeliannya, tetapi kita menghargai sumbangan anggota tentera yang juga wira kita yang sanggup berkorban untuk negara. 
Saya datang ke sini kerana menerima undangan Ahmad Zahid dan saya datang dengan hati terbuka, mengenai perkara lain kita boleh cakap panjang. 

Kita mempunyai beberapa perbezaan pendapat mengenai harga sama ada ia berbaloi atau tidak, katanya. 

Terdahulu, Guan Eng bersama Mansor, Ramasamy; Panglima Armada TLDM, Laksamana Madya Datuk Jamil Othman dan tiga wartawan dibawa dengan helikopter dari LTAL ke kapal KD Lekiu pada jam 2.09 petang sebelum dibawa ke KD Tun Razak kira-kira 45 batu nautika dari Langkawi. 

Mereka kemudian dibawa menaiki KD Tun Razak yang menyelam pada kedalaman 30 meter selama satu setengah jam. 

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, KD Tun Razak sepatutnya berlabuh di jeti Awana Porto Malai, di sini, sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2011 (LIMA 11) untuk tontonan orang ramai tetapi terpaksa berlayar untuk membawa Guan Eng. 

Kapal selam itu perlu belayar selama kira-kira lima jam ke laut lepas bagi membolehkannya menyelam, katanya. 

Ahmad Zahid yang sebelum itu bersetuju menyertainya, menarik diri di saat akhir selepas dinasihatkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk berbuat demikian. 

Aset pertahanan laut milik negara yang sebelum ini dipamerkan secara statik sempena LIMA '11. 

Sumber Berita Harian Online

Jumaat, 9 Disember 2011

Langkawi mampu jana RM3.8b

Oleh Azmi Md Deros dan Adha Ghazali bhnews@bharian.com.my 2011/12/09


NAJIB melihat replika pelan khas pada majlis
pelancaran blueprint pelancongan Langkawi sambil
diperhatikan Nor Mohamed (kanan) dan Ahmad Husni
(dua dari kanan) di The Westin Langkawi Resort,
Langkawi, semalam.

Pelan tindakan pelancongan lonjak kedudukan, potensi pulau legenda

LANGKAWI: Pelan Tindakan Pelancongan Langkawi dilancarkan semalam untuk melonjakkan nama pulau legenda itu sebaris dengan pulau percutian terkemuka dunia termasuk Seychelles, Mauritius, Bali, Hawaii dan Maldives dengan sasaran penjanaan pendapatan RM3.8 bilion dan kunjungan tiga juta pelancong menjelang 2015.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, ketika melancarkannya berkata kerajaan mahu mengangkat kedudukan serta potensi Langkawi dan memberi nafas baru kepada pulau yang mengandungi gugusan 99 pulau itu.
“Sumbangannya kepada Keluaran Negara Kasar juga akan meningkat dua kali ganda daripada RM800 juta kepada RM1.9 bilion dengan 4,200 peluang pekerjaan baru diwujudkan,” katanya.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen; Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Tan Sri Khalid Ramli yang mula memegang jawatan itu berkuat kuasa bulan ini.

Najib berkata, pelan tindakan 2011-2015 itu menetapkan tiga fokus dengan 14 inisiatif sebagai tumpuan, termasuk memapar dan memperkasakan kekayaan produk ikonik yang menjadi warisan budaya pulau itu, menambah baik infrastruktur pelancongan dan mewujudkan pemboleh daya bagi menyokong pertumbuhan sektor pelancongannya.

“Kita akan menambah baik kekayaan warisan ikon geopark seperti Kilim, Pulau Dayang Bunting dan Gunung Machincang. Sebagai langkah awal untuk memulihara sumber alam, pasukan renjer taman akan ditubuhkan untuk menguatkuasa peraturan dan melaksanakan langkah konservasi.
“Bagi menghidupkan semula imej Langkawi yang kaya dengan tradisi dan cerita rakyat, Makam Mahsuri akan dijadikan muzium hidup, manakala Pantai Cenang diberi wajah baru dengan pembangunan holistik,” katanya.

Lima hotel lima bintang akan dibina bagi memenuhi permintaan pelancong mewah, manakala Telaga Harbour dan Teluk Datai akan mempunyai restoran mewah serta penjualan barangan berjenama. Bagi memberikan imej positif kepada Langkawi, kemudahan di lapangan terbang dan terminal feri akan dipertingkatkan, selain mutu pengangkutan darat dinaikkan taraf.

Perdana Menteri berkata, pelaburan sebanyak RM5 bilion diperlukan dalam tempoh pelaksanaan pelan itu dengan 92 peratus dijana sektor swasta dengan kerajaan memperuntukkan RM420 juta bagi menjayakan pembangunannya seperti diumumkan dalam Bajet 2012.

Pada majlis itu, Perdana Menteri dan Azizan menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) penubuhan Akademi Pelancongan membabitkan Kementerian Pengajian Tinggi dan Taylor's University. Kementerian Pengajian Tinggi diwakili Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Datuk Omar Abdul Rahman, manakala Taylor's University oleh Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Hassan Said.

Sumber dari Berita Harian Online

Khamis, 8 Disember 2011

Pendapatan RM3,000 layak terima BR1M


2011/12/08

Ketua keluarga boleh mohon jika di bawah kategori

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki atau wanita yang menjadi ketua kepada ahli keluarga yang tinggal serumah dan memperoleh pendapatan kasar isi rumah kurang RM3,000 dikategorikan sebagai isi rumah yang layak memohon pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM500.


Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dalam kenyataan semalam, berkata ia merangkumi individu berkahwin, ibu atau bapa tunggal yang mempunyai tanggungan, bujang yang mempunyai tanggungan dan warga emas berusia lebih 60 tahun yang sebatang kara.
Katanya, setiap anak berkahwin yang mempunyai pendapatan kasar isi rumah RM3,000 ke bawah tetapi tinggal serumah dengan ibu bapa, dikira sebagai satu isi rumah berlainan.

“Pendapatan kasar isi rumah merujuk kepada pendapatan suami, isteri dan tanggungan yang masih bujang dan hanya ketua isi rumah saja yang layak memohon,” katanya.

Berikutan itu, Kementerian Kewangan membuka Bilik Gerakan untuk operasi Talian Hotline BR1M 1-800-222-500 bermula semalam bagi memudahkan orang ramai mendapat penjelasan lanjut mengenai pelaksanaan BR1M. 

Talian Hotline ini beroperasi setiap hari bekerja, mulai jam 9 pagi hingga 5 petang. Kementerian itu juga mengingatkan bahawa pendaftaran permohonan BR1M akan bermula pada 10 Disember ini hingga 10 Januari 2012. 
Ahmad Husni berkata, borang pendaftaran boleh didapati secara percuma di Jabatan Pembangunan Persekutuan, Jabatan Penerangan Malaysia, Pejabat Cawangan dan Pusat Khidmat Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) serta akhbar tempatan.

“Borang yang lengkap diisi hendaklah disertakan salinan kad pengenalan dan slip gaji bagi yang berkenaan dan diserahkan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan/Negeri, Jabatan Penerangan, Pejabat Cawangan dan Pusat Khidmat LHDNM,” katanya.

Beliau berkata, kementerian juga akan membuka pendaftaran di sekolah terpilih, dewan komuniti serta dewan orang ramai yang berdekatan, dengan dibantu petugas sambilan bagi memastikan kelancaran proses pendaftaran. – BERNAMA 


Sumber dari Berita Harian Online
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PendapatanRM3_000layakterimaBR1M/Article

Rabu, 7 Disember 2011

4 rakan sekampung dalang simen mayat

Oleh Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my
2011/12/07



GAMBAR fail penemuan mayat seorang lelaki yang
disimen dalam tong ditemui di Kampung Parit
Punggur Darat, Muar.


Suspek mengaku culik, bunuh mangsa dua tahun lalu

MUAR: Misteri pembunuhan anak seorang peniaga yang diculik sebelum dibunuh dan mayatnya disimen dalam tong walaupun keluarganya sudah membayar tebusan RM100,000 dua tahun lalu, berakhir awal pagi semalam berikutan penangkapan empat rakan sekampung mangsa, di Parit Jawa.

Suspek berusia antara 24 hingga 28 tahun terdiri daripada jurutera, nelayan, pekebun serta penganggur itu ditahan polis Muar dalam gerakan sejak 25 November lalu hingga awal pagi semalam.
Empat sahabat itu disyaki mendalangi penculikan dan pembunuhan Koh Wei Seang, 21, yang mayatnya ditemui jam 4.15 petang 21 Mac 2009, selepas disumbat dalam tong dan disimen sebelum dicampak dalam parit di Kampung Parit Punggur Darat, Jalan Sri Tanjung, di sini.

Kejayaan polis menjejaki kumpulan penculik dan pembunuh selepas tiga tahun, bermula dengan penahanan seorang daripada suspek untuk membantu siasatan satu kes lain, sebelum mengaku terbabit dalam pembunuhan kejam itu bersama beberapa rakan termasuk seorang yang sudah meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli, berkata berikutan penahanan empat lelaki terbabit, pihaknya percaya kes berjaya diselesaikan dan semua suspek dijangka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh selepas siasatan selesai.

Mereka juga menghadapi siasatan mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.
Pada 21 Mac 2009, sekumpulan pelajar yang dalam perjalanan memancing terkejut apabila menemui tong mengandungi mayat yang disimen dalam parit di Parit Punggur Darat. Polis terpaksa menggunakan jengkaut bagi mengeluarkan tong yang biasanya digunakan untuk menyimpan bahan kimia itu berikutan kandungan simen mencapai berat kira-kira 300 kilogram.

Sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat Muar yang dipanggil ke Rumah Mayat Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) pula mengambil masa kira-kira sejam memecahkan tong serta simen berkenaan. Mayat mangsa diletakkan dalam keadaan membongkok dengan lututnya dirapatkan ke dada, manakala hidung dan mulutnya dibungkus dengan plastik.

Ujian DNA kemudian mengesahkan identiti lelaki itu sebagai Koh Wei Seang, iaitu anak seorang ahli perniagaan yang diculik lima hari sebelum mayatnya dijumpai.

Sumber dari Berita Harian Online




Nuffnang Ads

 

Sample text

Sample Text

Sample Text