Social Icons

Social Icons

Jumaat, 29 April 2011

PM China puji Gagasan 1Malaysia

Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my
2011/04/29


NAJIB menerangkan pembangunan Putrajaya kepada Jiabao ketika menerima kunjungan bagi lawatan rasmi dua hari ke Malaysia, di Putrajaya, semalam.


Jiabao berpendapat dasar diilhamkan Najib baik, tepat untuk negara majmuk

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak dipuji rakan sejawatnya dari China, Wen Jiabao, atas inisiatif beliau memperkenalkan Gagasan 1Malaysia untuk mengukuhkan perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini.
Jiabao berpendapat, polisi yang diilhamkan oleh Perdana Menteri itu adalah baik dan tepat untuk negara majmuk seperti Malaysia yang turut kaya dengan beraneka kebudayaan masyarakatnya.
Katanya, beliau amat menyokong gagasan itu kerana Malaysia akan menjadi semakin makmur, aman dan sentosa jika seluruh rakyat bersatu padu serta bekerjasama membangunkan negara ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam perjumpaan tertutup selama setengah jam dengan kira-kira 400 hadirin yang terdiri daripada pelabur China di negara ini, kakitangan Kedutaan Besar China di Malaysia, serta komuniti Cina tempatan, di sini, semalam.

Bagaimanapun difahamkan, tiada sesi dialog berlangsung dalam perjumpaan itu.

Perkara itu dimaklumkan kepada pemberita oleh Setiausaha Agung Persatuan Persahabatan Malaysia-China yang juga Ahli Majlis Kebangsaan Gabungan Dewan Perniagaan dan Industri Cina Malaysia (ACCCIM), Tan Kai Hee, selepas menghadiri perjumpaan berkenaan.
Kai Hee yang juga Pengarah Urusan Kumpulan Hai-O Enterprise Berhad berkata, Jiabao berpuas hati dengan hubungan baik antara kedua-dua negara, malah menyifatkan Malaysia antara negara terbaik di ASEAN.

“Beliau (Jiabao) menegaskan kepemimpinan kedua-dua pihak (Malaysia dan China) mempunyai keyakinan terhadap satu sama lain, dan hubungan dua hala ini boleh terus dipertingkat.

“Selain itu, beliau turut mengenang budi baik Malaysia menjadi negara ASEAN yang pertama mengiktiraf dan menjalinkan hubungan diplomatik dengan China ketika negara berkenaan masih dalam kesusahan,” katanya.

Dalam pada itu, Kai Hee berkata, Jiabao juga menasihati rakyat China yang berada di Malaysia supaya mematuhi undang-undang dan dasar negara ini, selain gembira kerana masyarakat Cina tempatan memberi sumbangan baik kepada Malaysia.

Presiden ACCCIM merangkap Pengerusi Lion Group, Tan Sri William Cheng, yang turut menghadiri perjumpaan itu berkata, Jiabao menggalakkan rakyat Malaysia memberi sokongan padu kepada Gagasan 1Malaysia.

“Beliau juga menyeru rakyat Malaysia bekerja keras sebagai sebuah keluarga besar untuk mencapai sasaran Perdana Menteri menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi menjelang 2020,” katanya.

Sumber:Berita Harian Online

Rabu, 27 April 2011

Peniaga jajan kena serbu

Oleh Badrul Hizar Ab Jabar, Hanneeyzah Bariah Baharin, Matzidi Dris, Ifwan Tun Tuah, Mohd Iskandar Ibrahim dan Rafidah Mat Ruzki
bhnews@bharian.com.my
2011/04/28


PENGUATKUASA MPJBT mengeluarkan kompaun peniaga di luar sekolah di Johor Bahru, semalam.


PBT seluruh negara buat pemeriksaan, kompaun penjaja ingkar

KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara mula menggempur peniaga menjual makanan tidak sihat seperti air berkarbonat dan jajan di luar kawasan sekolah yang menjadi antara faktor kepada masalah obesiti (kegemukan) dan diabetes di kalangan pelajar.


Ia susulan gesaan beberapa pertubuhan bukan kerajaan yang meminta pihak berkuasa menguatkuasakan larangan terhadap peniaga dan penjaja yang menjual kebanyakan daripada senarai 15 jenis makanan yang dilarang dijual di kantin sekolah.
Di KUALA TERENGGANU: Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengkompaun tiga penjaja yang menjual jajan di luar sekolah dalam operasi menggempur peniaga dan penjaja makanan ringan, semalam.

Setiausaha MBKT, Samiun Salleh yang mengetuai operasi tengah hari semalam berkata Bahagian Penguatkuasaan MBKT menjalankan operasi berkala untuk membendung penjualan makanan ringan tidak berkhasiat di luar kawasan sekolah dengan 30 peniaga dikesan melakukan kegiatan itu.

Di JOHOR BAHRU, sekurang-kurangnya lima penjaja dikompaun kerana tiada lesen perniagaan, selain mengganggu lalu lintas dengan berniaga di hentian bas depan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Indah, di sini semalam.

Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT), Izwan Izwardi Harun, berkata peniaga dan penjaja dilarang sama sekali berniaga di depan sekolah kerana ia menyalahi undang-undang.
Di MELAKA, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) memberi jaminan untuk meningkatkan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penjaja, termasuk menarik lesen penjaja yang degil.

Datuk Bandarnya, Zainal Abu berkata tindakan itu bagi memastikan lalu lintas tidak terganggu selain memastikan pelajar tidak membeli makanan tidak berkhasiat.

Di SHAH ALAM pula, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen untuk penjaja di sekitar kawasan sekolah.

Pegawai Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, mana-mana penjaja beroperasi di sekitar kawasan sekolah boleh dikenakan tindakan mengikut Undang-undang Kecil Penjaja MBSA 2007 dan dikenakan kompaun RM300.

Di SEREMBAN, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, bagaimanapun mempersoalkan serangan banyak pihak yang menyalahkan penjaja sebagai punca obesiti dan diabetes di kalangan pelajar.


Kuat kuasa larangan jual makanan tak sihat

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta melarang peniaga dan penjaja makanan tidak sihat yang boleh menjejaskan kesihatan pelajar berniaga di luar kawasan berhampiran sekolah jika benar-benar serius mahu menangani masalah pemakanan yang boleh menyebabkan obesiti dan diabetes yang berpunca daripada amalan pemakanan tidak sihat.

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga digesa meningkatkan penguatkuasaan dengan melesenkan semua peniaga atau penjaja dengan syarat tidak menjual makanan yang tersenarai dalam 15 makanan yang dilarang dijual di kantin sekolah.

Itu antara cadangan dan gesaan beberapa pihak, termasuk badan bukan kerajaan, aktivis pengguna, guru dan ibu bapa yang menyokong penuh hasrat Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pelajaran untuk memperkenalkan Garis Panduan Pemakanan Sihat Di Kantin Sekolah bagi menangani obesiti dan diabetes di kalangan pelajar.

Mereka juga mahu PBT tidak hanya bersikap hangat-hangat tahi ayam menguatkuasakan larangan itu jika cadangan itu dilaksanakan kerana penguatkuasaan adalah kunci utama menjayakan perkara itu, selain kerjasama dan komitmen ibu bapa dan Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) di semua sekolah.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Sha’ani Abdullah berkata, kerajaan sepatutnya tidak membenarkan peniaga dan penjaja menjual makanan tidak sihat di luar sekolah jika melaksanakan garis panduan baru itu bulan depan.

“Sekolah sudah ada kantin dengan kebersihan dan keselamatan makanan di kawal. Jadi tidak perlu penjaja di luar sekolah. Kita tidak boleh ambil mudah pelaksanaan garis panduan dengan menghalalkan penjaja luar sekolah yang tidak tertakluk kepada peraturan itu.

“FOMCA memang tak setuju benarkan peniaga dan penjaja di luar sekolah kerana kebanyakannya menjual makanan ringan tidak berkhasiat dan boleh membahayakan kesihatan dalam jangka panjang,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Aktivis pengguna, Datuk Nadzim Johan berkata, pihak berkuasa juga boleh melarang peniaga atau penjaja menjual dalam lingkungan jarak tertentu, misalnya 50 meter dari sekolah, namun ia bergantung kepada tindakan penguatkuasaan tegas.

“Larangan hadkan kawasan boleh dikenakan tetapi langkah terbaik adalah ibu bapa dan PIBG main peranan mendidik pelajar... peraturan larangan tidak akan selesaikan masalah, cuma kurangkan masalah,” katanya.

Tinjauan Berita Harian mendapati kebanyakan peniaga dan penjaja di luar
sekolah tidak mempunyai lesen serta tidak dipantau pihak berkuasa dengan kebanyakannya beroperasi dalam tempoh kurang dua jam selepas jam 12 tengahari dalam but kereta, motosikal atau membuka gerai sementara berhampiran sekolah.

Bagi pesara swasta, Mohd Ilias Abdul Razak, 62, beliau menyokong larangan penjualan makanan tidak sihat di luar kawasan sekolah kerana ia bukan saja membazirkan wang pelajar, malah membahayakan kesihatan mereka dalam jangka panjang.


Ada penjaja luar sekolah jual mercun, mainan berbahaya

KUALA LUMPUR: Selain jajan yang boleh menjejaskan kesihatan pelajar, ada penjaja di luar sekolah dikesan menjual mercun dan permainan berbahaya, termasuk pistol berpeluru manik.

Penjaja seolah-olah tidak mempedulikan keselamatan pelajar dengan membiarkan mereka berkerumun untuk membeli barang jualan, terutama selepas tamat persekolahan walaupun keadaan trafik ketika itu sedang sibuk bas sekolah dan kenderaan ibu bapa.

Sehubungan itu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) banyak mendapat aduan kerana bimbang risiko kesihatan dan keselamatan anak mereka akibat isu penjaja di luar sekolah yang dianggap sebagai sudah berlarutan.

Yang Dipertua PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Empat Bangi dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Tiga Bangi, Roslan Mohamed, berkata ada penjaja di luar sekolah berani menjual mercun kepada pelajar, khususnya menjelang musim perayaan.

“Apabila pihak berkuasa tempatan (PBT) sekali-sekala membuat operasi, mereka menghilangkan diri untuk tempoh singkat tetapi kembali menjaja di luar sekolah seolah-olah tidak serik walaupun dikenakan kompaun. Malah, kegiatan menjaja ini turut membabitkan warga asing,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Yang Dipertua PIBG SK Taman Sri Gombak 2 dan SMK Sungai Pusu, Mohd Asri Sulong, berkata kegiatan penjaja di luar sekolah bukan isu remeh, sekali gus meminta pihak berkuasa tidak sekadar menanganinya secara melepaskan batok di tangga.

“Keadaan pelajar berkerumun dan berebut membeli daripada penjaja di luar sekolah amat berbahaya dalam keadaan trafik sibuk selepas tamat waktu persekolahan, di samping mengakibatkan kesesakan lalu lintas,” katanya.

Yang Dipertua PIBG SK Bukit Bandaraya, Azman Hasim, berkata amalan pelajar membeli jualan penjaja di luar sekolah menambahkan beban kewangan ibu bapa apabila anak mereka meminta lebih wang saku.

Bekas Yang Dipertua SK Sungai Pusu, Raja Azlan Raja Abdul Aziz, pula mahu operasi penjaja di luar sekolah digempur habis-habisan secara berterusan, lebih-lebih lagi mereka tidak pernah mengendahkan nasihat pihak sekolah dan ibu bapa.

Sementara itu di Kuching, Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU) William Ghani Bina, berkata PBT perlu segera menguatkuasakan larangan itu kerana hampir semua sekolah rendah dan menengah di bandar utama di Sarawak berhadapan masalah penjaja jajan sejak dulu.

“Kebanyakan penjaja jajan yang menjadi tumpuan pelajar bukan saja tidak mempunyai lesen yang dikeluarkan PBT, malah mengabaikan kebersihan makanan dan minuman yang dijual,” katanya.

Yang Dipertua Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS), Ahmad Mahli, berkata ketegasan PBT akan menyekat penjaja jajan terus beroperasi bukan saja di luar kawasan sekolah, malah di tepi jalan yang dilalui pelajar ketika pulang sekolah.

Pegawai Perhubungan Awam, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Norhayati Bidin, berkata kewujudan penjaja jajan di luar kawasan sekolah sukar dibanteras kerana mereka sentiasa memantau kehadiran pihak penguatkuasa DBKU dan menyimpan semua barangan yang dijual sejurus melihat kelibat penguat kuasa.

Sumber:Berita Harian Online

Selasa, 26 April 2011

Mula ikut ceramah JI, akhirnya ke Guantanamo

Oleh Hardi Effendi Yaacob dan Wan Faizal Ismayatim
bhnews@bharian.com.my
2011/04/27


WikiLeaks dedah dua warga Malaysia didakwa pengganas

KUALA LUMPUR: Laman web WikiLeaks yang membocorkan banyak dokumen rahsia kerajaan Amerika Syarikat (AS), Ahad lalu mendedahkan butiran terperinci mengenai tahanan Kem Guantanamo, di Cuba termasuk dua warga Malaysia yang ditahan sejak 2003 kerana disyaki terbabit kegiatan pengganas dan menganggotai kumpulan militan terbesar Asia Tenggara, Jemaah Islamiah (JI).

Kedua-dua warga Malaysia itu, termasuk seorang daripadanya yang mempunyai latar belakang ketenteraan didakwa oleh AS mempunyai kaitan dengan rangkaian pengganas Al-Qaeda yang dibiayai individu paling dikehendaki, Osama Bin Laden.
Menurut dokumen yang mendedahkan sebahagian daripada 779 fail sulit mengenai pusat tahanan itu, dua individu terbabit dikenali sebagai Mohamed Nazir Lep, 35, berasal dari Johor dan Mohd Farik Amin, 36, dari Kajang, Selangor.

Antara lain, dokumen itu menyebut Mohamed Nazir yang turut menggunakan identiti sebagai Bashir Lap, Lilie dan Suicide Ali, ditahan di Thailand, manakala Mohd Farik atau dikenali sebagai Abu Ahmed dan Yazid Zubair ditahan di Kemboja sebelum dipindahkan ke kem berkenaan pada 4 September 2006.

Melalui dokumen sama, maklumat perisikan AS tidak menolak kemungkinan kedua-duanya adalah penyerang berani mati yang merancang merampas pesawat komersial bagi melakukan serangan mirip tragedi 11 September di negara itu.

Dokumen itu turut mendedahkan butiran terperinci soal siasat terhadap Mohamed Nazir yang mengaku direkrut bersama Mohd Farik di sebuah masjid di ibu negara selepas mengikuti ceramah oleh salah seorang pemimpin kanan JI, Riduan Isomuddin.
Mereka dilaporkan berkenalan ketika bekerja di sebuah firma arkitek dan dari situ mula berminat menyertai perjuangan jihad sebelum bersetuju mengikuti latihan ketenteraan di Afghanistan selepas menemui Riduan di Bentong, Pahang.

Berikutan itu, kedua-duanya ke Karachi, Pakistan dan setibanya di sana, mereka dibawa ke sebuah pangsapuri di bandar berkenaan sebelum ke Quetta, Afghanistan dan menginap di sebuah rumah atau klinik dipercayai milik Taliban.

Dalam soal siasat, Mohamed Nazir dan Mohd Farik memberitahu mereka mengikuti latihan termasuk pengendalian senjata anti pesawat, anti kereta kebal dan pemasangan periuk api selama lapan minggu di Kem Al-Faruq di Kandahar, Afghanistan, bermula Julai hingga September 2000.

Dokumen sulit itu turut menyatakan mereka pernah didedahkan terhadap beberapa kegiatan keganasan di Afghanistan selain mempunyai ramai kenalan dalam Kumpulan Mujahiddin Malaysia (KMM).

Mereka juga dianggap oleh perisik AS sebagai tahanan bernilai tinggi (HVD) yang mempunyai banyak potensi bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kemungkinan plot keganasan lain di seluruh dunia.

Berita Harian sebelum ini pernah melaporkan kedua-dua tahanan terbabit belum didakwa dan Kerajaan Malaysia mengulangi permohonan kepada pentadbiran AS supaya Mohd Farik dan Mohamed Nazir dihantar pulang untuk didakwa di negara ini.

Presiden AS, Barack Obama sebelum ini dilaporkan pernah menyatakan kesediaan mempertimbangkan permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, untuk membenarkan dua tahanan itu diserah kepada Malaysia serta menjalani hukuman di negara ini.

Sumber:Berita Harian Online

Isnin, 25 April 2011

15 jenis makanan dilarang jual di kantin sekolah


KUALA LUMPUR: Makanan diproses seperti burger, hotdog dan nuget serta teh dan kopi adalah antara 15 jenis makanan 'tidak sihat' yang dilarang dijual di semua kantin sekolah rendah dan menengah seluruh negara mulai bulan depan.

Makanan lain ialah mi segera, gula-gula dan coklat, konfeksi ais dan aiskrim, makanan jeruk, makanan mengandungi pewarna serta perisa tiruan, minuman berkarbonat dan jajan. Larangan itu adalah berdasarkan Garis Panduan Pemakanan Sihat Di Sekolah yang diputuskan oleh Kementerian Kesihatan.

Bagaimanapun, ada 70 jenis makanan, termasuk nasi lemak dihadkan kekerapan jualannya kepada dua kali seminggu, disenaraikan sebagai makanan yang boleh dijual mengikut garis panduan baru yang dirangka bagi menangani masalah obesiti (kegemukan) dan diabetes di kalangan pelajar.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata cadangan itu terkandung dalam draf garis panduan penjualan makanan di kantin sekolah yang diputuskan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Penyakit Tidak Berjangkit (NCD), dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 4 April lalu.

pix_gal0

Beliau berkata, cadangan penyenaraian 70 jenis makanan dan larangan 15 jenis makanan itu disediakan Bahagian Pemakanan Kementerian Kesihatan mengikut peruntukan Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

“Larangan penjualan makanan tidak sihat sejajar dengan usaha kementerian menangani masalah obesiti dan diabetes yang semakin meningkat di kalangan rakyat, terutama kanak-kanak. Ia langkah mencegah peringkat awal,” katanya kepada Berita Harian semalam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai sebelum ini mengumumkan, peraturan itu adalah langkah proaktif kerajaan bagi menangani peningkatan masalah obesiti dan diabetes di kalangan pelajar dengan kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2002-2008 menunjukkan satu daripada empat kanak-kanak mengalami obesiti.
Kajian universiti sama juga menunjukkan, 88.6 peratus pelajar membeli makanan dan minuman yang disajikan di kantin sekolah, sekali gus meningkatkan lagi hasrat kerajaan untuk memastikan makanan sihat dijual di sekolah.

Turut dicadangkan ialah supaya Indeks Jisim Badan (BMI) wajib direkodkan dalam kad laporan prestasi pelajar berbanding amalan sebelum ini yang hanya mengkehendaki guru merekodkan berat dan ketinggian pelajar.

Pakar pemakanan UKM, Prof Dr Mohd Ismail Mohd Noor, berkata amalan merekodkan BMI diamalkan negara maju seperti Amerika Syarikat seawal kanak-kanak berusia dua tahun bagi membolehkan mereka dibimbing dengan amalan pemakanan dan aktiviti fizikal sihat.

“Obesiti sebenarnya disebabkan pelbagai punca makanan, namun peraturan baru itu adalah permulaan baik dalam memastikan pelajar mendapat makanan sihat dan seimbang di sekolah sebelum ibu bapa memainkan peranan di rumah dengan memastikan amalan baik diteruskan,” katanya.

Kajian menunjukkan masalah obesiti di kalangan kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun meningkat daripada 9.7 peratus pada 2001 kepada 13.7 peratus pada 2007. Peningkatan dikaitkan dengan amalan pemakanan tidak sihat dan aktiviti fizikal tidak aktif, iaitu 76 peratus kanak-kanak didapati menghabiskan sebahagian besar masa dengan menonton televisyen atau duduk di hadapan komputer.

Sumber : Berita Harian Online

Sabtu, 23 April 2011

Rakan Facebook taktik terbaru latih keldai dadah




Rakyat Malaysia perlu waspada elak jadi mangsa warga Afrika

PUTRAJAYA: Sekat atau 'block' (halang) warga Afrika daripada menjadi rakan Facebook dan tindakan itu mungkin menyelamat anda. Itu nasihat Timbalan Menteri Luar, Datuk Richard Riot, yang mendedahkan taktik terbaru warga asing untuk menjadikan rakyat Malaysia sebagai keldai dadah atau melakukan jenayah lain menerusi laman sosial Facebook.

Oleh itu, katanya, orang ramai jangan terlalu mempercayai rakan yang baru dikenali, terutama menerusi Facebook, sehingga ada yang terpengaruh menjadi keldai dadah atau melakukan jenayah lain, walaupun pihak berkuasa berkali-kali memberi amaran mengenai sindiket yang mendalanginya.
Beliau kesal kerana kebanyakan kes jenayah membabitkan rakyat Malaysia di luar negara adalah akibat diperalatkan pihak lain bagi perbuatan seperti menyeludup dadah, walaupun ada yang baru saja mengenali satu sama lain.

Gambar; Sumber : Google


“Antara 1991 hingga 31 Mac lalu, 1,880 warga Malaysia ditahan di luar negara atas pelbagai kesalahan, termasuk 833 orang atas kes berkaitan dadah, kebanyakannya dari kawasan luar bandar, berusia antara 20 hingga 30 tahun, tiada rekod jenayah dan menganggur atau daripada golongan berpendapatan rendah.

“Dalang perbuatan ini kebanyakannya warga Afrika yang menyasarkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan ibu tunggal menggunakan Facebook. Justeru, saya syorkan pengguna Facebook jangan layan atau ‘block’ (halang) warga Afrika daripada memasuki laman sembang mereka.

“Saya juga musykil kenapa dadah yang diseludup ini tidak dikesan ketika dibawa keluar dari sini supaya tidak perlu kita berurusan dengan kerajaan asing,” katanya pada sidang media selepas merasmikan hari keluarga Wisma Putra di sini, semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kes terbaru, Rabu lalu membabitkan pelajar kejururawatan kolej swasta di Damansara, Marylyne Sandra Sapat, 22, ditahan pihak berkuasa China kerana menyeludup 100 biji dadah jenis heroin dengan menelannya.

Mangsa dipercayai ditawarkan RM5,000 untuk menyeludup dadah berkenaan oleh rakan Facebook lelaki warga Afrika yang hanya dikenali sebagai Chimezie Michael dalam akaun Facebook.

Ahad, 17 April 2011

Remaja edar air ketum kena tahan

Oleh Zuliaty Zulkiffli
bhnews@bharian.com.my
2011/04/18

KOPERAL Siti Dewi Che Man dan Koperal Sudin Othman memeriksa sebahagian 28 bungkus air ketum yang dirampas di Kampung Megat Dewa, Kodiang, Jumaat lalu.



Polis temui 29 paket heroin dalam beg sandang abang

JITRA: Seorang pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah di Megat Dewa, Kodiang, ditahan bersama abangnya kerana disyaki terbabit dalam pengedaran dadah dan air ketum di rumah mereka di Kampung Megat Dewa, di sini, Jumaat lalu.

Dalam serbuan jam 4 petang itu, anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu menyerbu rumah terbabit berdasarkan aduan orang awam berhubung kegiatan dua beradik itu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintendan Ibrahim Mohd Yusof, berkata dalam serbuan itu anggotanya menemui lelaki berusia 25 tahun itu dalam bilik tidurnya di tingkat bawah rumah dua tingkat itu.

Katanya, ketika serbuan, ibu bapa dan keluarga suspek yang turut berada dalam rumah berkenaan terkejut apabila mendapati sepasukan anggota polis membuat pemeriksaan di rumah itu.

“Hasil pemeriksaan menemui sebuah beg sandang milik lelaki itu dan menemui 29 paket dadah jenis heroin seberat 60.72 gram serta syabu seberat 1.3 gram.

“Ketika ditahan, suspek bertindak agresif terhadap anggota polis dan cuba melawan tetapi berjaya ditenteramkan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Ibrahim berkata, dalam serbuan itu juga anggotanya turut menahan pelajar berusia 17 tahun itu kerana dia disyaki terbabit menjual air ketum di belakang rumah mereka.

Katanya, suspek yang masih bersekolah dan akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini dikatakan memproses sendiri air ketum dan menjualnya kepada pelanggannya yang tinggal berhampiran.

“Ketika serbuan, terdapat empat remaja dipercayai pelajar sekolah yang berusia sekitar 14 hingga 17 tahun sedang membeli air ketum daripada pelajar terbabit dan mereka turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.

Ibrahim berkata, pihaknya turut merampas 28 bungkus air ketum daripada pelajar berkenaan.

Lelaki terbabit disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2) akta sama kerana memiliki dadah, manakala adiknya disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana menjual air ketum.

Copy from Berita Harian Online

Ahad, 10 April 2011

RM5,000 lesap bahana e-mel

KESAL...Ayu menunjukkan salinan laporan polis yang dibuatnya  dan surat daripada bank berkenaan.
KESAL...Ayu menunjukkan salinan laporan polis yang dibuatnya dan surat daripada bank berkenaan.

KLANG: Gara-gara percaya e-mel yang mengatakan akaunnya di sebuah bank bakal dibekukan, seorang wanita berputih mata apabila wang simpanan RM5,000 dipindahkan ke akaun lain tanpa pengetahuannya.

Mangsa hanya mahu dikenali sebagai Ayu, 29, berkata dia menyedari wang dipindahkan ke akaun lain apabila menerima SMS pengesahan daripada pihak bank.


Dia yang cemas membuat laporan polis serta menghubungi pusat perkhidmatan pelanggan bank berkenaan untuk membuat pengesahan sama ada wang dalam akuannya dipindahkan ke akaun lain.

Ayu berkata, sebelum kejadian dia menerima e-mel daripada pihak yang mengaku wakil bank berkenaan dan memintanya mengemas kini maklumat peribadi supaya akaun simpanannya tidak dibekukan.


“Khuatir perkara itu, saya membuka pautan yang terdapat dalam e-mel terbabit dan memasukkan alamat e-mel dan kata laluan seperti diminta.


“Laman web itu sama dengan laman web rasmi bank berkenaan. Jadi, saya tidak mengesyaki apa-apa yang pelik pada laman web itu.

“Selepas e-mel dan kata laluan dimasukkan, saya menerima SMS daripada bank yang mengatakan sejumlah wang daripada akaun saya sudah dipindahkan,” katanya.


Ayu berkata, walaupun laporan polis dan aduan dibuat, bank berkenaan seolah-oleh lepas tangan dan sukar bekerjasama dalam mengendalikan kes itu.

Menurut Ayu, bank itu memberi jawapan tidak meyakinkan terhadap persoalan diajukan terutama ke akaun mana wangnya dipindahkan.


“Pegawai bertugas berkata siasatan terperinci dijalankan dan pelbagai perkara perlu diteliti sebelum laporan lengkap disiapkan dan lebih mengecewakan terdapat kekeliruan dari segi waktu transaksi berlaku.


“Mengikut laporan bank berkenaan, waktu wang saya dipindahkan ke akaun lain pada jam 11.59 malam, tetapi berdasarkan penyata kewangan bank itu,menunjukkan waktu wang saya dipindahkan ke akaun lain pada jam 11 malam.

“Saya membuat laporan polis sekali lagi serta menghantar surat aduan kepada Bank Negara berhubung ketidakpuasan hati terhadap laporan yang diterima selain meminta laporan terbabit diteliti semula,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.


Menurutnya, bank berkenaan perlu menaik taraf tahap keselamatan sistem perbankan secara dalam talian kerana dia bukan mangsa pertama dan kegagalan berbuat demikian menyebabkan ramai lagi menjadi mangsa.


Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop mengesahkan laporan mangsa pada 2 Mac lalu dan siasatan masih dijalankan.


Mohamad menasihatkan orang ramai tidak mudah percaya dengan e-mel daripada pihak yang tidak dikenali dan menyarankan orang ramai membuat pengesahan dengan pihak bank jika maklumat diterima meragukan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dengan hukuman maksimum 10 tahun penjara, sebatan dan denda.

Copy from myMetro Online

Rabu, 6 April 2011

Cadangan beri kelonggaran Sains, Matematik dalam BI dikaji

2011/04/07

DATUK Seri Najib Razak berkata kerajaan masih mengkaji cadangan sekumpulan ibu bapa supaya diberi kelonggaran kepada anak mereka yang ingin mengikuti pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Katanya, ketika ini kerajaan tidak membuat sebarang komitmen berhubung cadangan itu tetapi pada masa sama menilai hasrat ibu bapa terbabit.

“Kementerian Pelajaran akan mengkaji sama ada kelonggaran boleh diberikan kepada mereka yang ingin belajar kedua-dua mata pelajaran itu dalam bahasa Inggeris.
“Selepas kajian itu, barulah kerajaan akan membuat keputusan berhubung cadangan itu,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini selepas mengakhiri lawatan tiga hari ke Korea Selatan, semalam.

Mengenai tayangan video seks yang dikaitkan dengan seorang pemimpin pembangkang, Najib berkata: “Saya tidak mahu komen sebab dari awal lagi, perkara ini sesuatu yang perlu dinilai oleh rakyat sendiri.”

Berhubung tindakan sekumpulan rakyat Sabah mengumpul tandatangan untuk mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan mengenai masalah pendatang tanpa izin di negeri itu, Najib berkata, mereka boleh menghantar memorandum dan kerajaan bersedia menimbang cadangan mereka.

Katanya, kerajaan mengakui isu pendatang itu satu masalah besar dan langkah berterusan diambil oleh Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pendatang Tanpa Izin yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri.

Berita Harian Online

Nuffnang Ads

 

Sample text

Sample Text

Sample Text