Social Icons

Social Icons

Selasa, 29 Mac 2011

BN azam tebus kekalahan di Selangor

Oleh Norfatimah Ahmad
tim@bharian.com.my
2011/03/30

 MUHYIDDIN   beramah mesra dengan jemaah Masjid Ubaidullah selepas menunaikan solat Zuhur di Taman Tasik Ampang, semalam.
MUHYIDDIN beramah mesra dengan jemaah Masjid Ubaidullah selepas menunaikan solat Zuhur di Taman Tasik Ampang, semalam.
TPM yakin strategi diatur boleh capai kemenangan

KUALA LUMPUR: Perebutan kerusi di Selangor pada pilihan raya akan datang dijangka lebih sengit berikutan matlamat Barisan Nasional (BN) merampas semula sekurang-kurangnya sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berpotensi dimenangi bagi membolehkan BN kembali memerintah negeri itu.

Walaupun menyedari akan menghadapi tentangan, bagi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ia tidak mustahil dicapai dan memerlukan usaha gigih semua pihak dalam parti komponen BN.
“Strategi sudah mula diatur untuk menebus kembali sembilan DUN berkenaan supaya BN memperoleh sekurang-kurangnya 30 kerusi, sekali gus memerintah semula Selangor.

"Ia suatu pertempuran yang sengit kerana kita sedar pembangkang tidak akan mudah menyerah kalah. Oleh itu rakan-rakan BN di Selangor diingatkan supaya bekerja keras bermula sekarang," katanya pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tasik Ampang, di sini semalam.

Majlis dihadiri kepemimpinan RELA, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKKP), pertubuhan bukan kerajaan, belia, rukun tetangga, ahli jawatankuasa masjid dan surau sekitar Selangor. Muhyiddin mengadakan lawatan sehari ke Selangor semalam.

Turut hadir, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai yang juga Naib Presiden MCA.
Muhyiddin berkata, lawatannya ke kawasan bandar dan luar bandar di Selangor semalam adalah antara langkah untuk melihat keadaan dan tahap penerimaan rakyat kepada BN dan barisan kepemimpinan parti.

Beliau berkata, menerusi interaksi dan maklum balas yang diterima sepanjang lawatan, beliau nampak banyak penilaian positif diberikan terhadap tindakan kerajaan.

“Ada yang menunjukkan harapan tinggi mereka kepada kerajaan, terutama Pusat apabila meminta kerajaan terus memberi perhatian membela nasib rakyat miskin dan menyalurkan bantuan kewangan.

"Mungkin kerana mereka faham pendekatan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) berkaitan gagasan 1Malaysia, menyebabkan mereka lebih yakin. Ia bukan saja berdasarkan ungkapan rakyat tetapi dapat dilihat menerusi bahasa badan apabila mereka keluar beramai-ramai dengan mesra dan sukarela. Ini petanda baik kepada kepemimpinan BN," katanya.

Copy from Berita Harian Online

Jenayah gelap pasangan Kastam

PUTRAJAYA - Sepasang suami isteri yang merupakan pegawai kanan Kastam ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas mereka dipercayai terlibat dalam pelbagai kegiatan jenayah dan rasuah.

Pasangan itu ditahan oleh Pasukan Tindakan Khas diketuai SPRM ekoran serbuan pasukan itu ke atas lebih 100 buah syarikat dan orang perseorangan secara serentak kelmarin.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata, kedua-dua pegawai itu ditangkap bagi membantu siasatan berhubung penglibatan jenayah yang membabitkan mereka.

"Ratusan ribu ringgit wang ditemui di rumah dua orang pegawai kanan Kastam ini yang merupakan pasangan suami isteri," kata beliau pada sidang akhbar di pejabatnya di sini semalam.

Pasangan suami isteri tersebut dipercayai berusia lingkungan 50an.

Difahamkan, suspek lelaki tersebut melibatkan seorang pegawai Kastam berpangkat Datuk.

Copy from KOSMO! Online

Selasa, 22 Mac 2011

Terengganu berkabung 40 hari

KUALA TERENGGANU: Semua acara berbentuk hiburan adalah ditegah sepanjang tempoh berkabung selama 40 hari di negeri ini, berikutan kemangkatan bonda Yang di-Pertuan Agong, Tengku Ampuan Bariah Sultan Hisamuddin Alam Shah, kelmarin.

Bagaimanapun, majlis atau acara berunsurkan keagamaan, pendidikan, riadah dan ilmiah boleh diadakan sepanjang tempoh berkabung sehingga 29 April depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata semua pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam negeri dan Persekutuan serta badan berkanun di Terengganu dikehendaki menghormati perkabungan dengan memakai songkok berlilit kain putih berukuran satu inci bagi lelaki Melayu dan tali leher hitam atau lilitan lengan hitam di sebelah kanan bagi bukan Melayu.

“Wanita Melayu pula dikehendaki berselendang atau bertudung putih dan bagi bukan Melayu memakai lilitan lengan hitam, manakala polis dan tentera menurut cara pemakaian ditetapkan oleh peraturan masing-masing,” katanya, di sini semalam.

Ahmad berkata, semua bendera negeri dan bendera lain kecuali Jalur Gemilang di jabatan dan bangunan kerajaan negeri, Persekutuan, badan berkanun serta pihak berkuasa tempatan, bangunan perniagaan dan kediaman hendaklah dikibarkan separuh tiang.

Copy from Berita Harian Online

Rawatan perubatan percuma

PESARA kerajaan yang memilih skim KWSP layak mendapat skim perubatan percuma. - Gambar hiasan

PUTRAJAYA - Penjawat awam skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang bersara pada umur wajib atau mengikut Seksyen 6A Akta 227/239 termasuk anggota keluarga tanggungan mereka layak menerima kemudahan rawatan perubatan percuma.

Selain itu, kerajaan juga memutuskan bahawa ganjaran akan dibayar seratus peratus kepada anggota sektor awam yang bersara pilihan di bawah Skim Pencen sekali gus memansuhkan penangguhan bayaran sebahagian ganjaran sebelum ini.

Ganjaran itu diberikan berkat usaha kerajaan menguruskan kewangan dengan bijak sehingga negara mulai pulih daripada masalah ekonomi.

Keputusan kerajaan itu berkuat kuasa mulai tarikh diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (Mappa) Ke-12 di sini semalam.

"Ia sebagai tanda penghargaan kepada penjawat awam yang telah berjasa," kata Perdana Menteri.

Copy from KOSMO! Online

Isnin, 21 Mac 2011

Ejen kurung pekerja asing diburu

KUALA LUMPUR: Ejen pekerja asing warga Myanmar yang menculik dan mengurung seorang pekerja wanita senegaranya selama enam hari sebelum diselamatkan 9 Mac lalu, kini dijejaki polis.

Difahamkan, ejen yang yang dikenali sebagai Ko Zaw Mya Mint menculik mangsa, Nge Lay, 36, dari rumah majikan wanita berkenaan di Merlimau, Melaka pada 4 Mac lalu.


Wanita berkenaan dikurung dalam bilik di sebuah rumah di Taman Segar, Cheras, di sini, sehingga 9 Mac lalu, tanpa dibenarkan menjamah makanan atau minuman.

Ketua Polis Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh, berkata pihaknya sudah menerima laporan kejadian terbabit dan siasatan dijalankan.


Menurutnya, laporan polis dibuat mangsa dan seorang pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyelamatkan mangsa pada 10 Mac lalu di Balai Polis Cheras dan pihaknya mencari suspek, lelaki warga Myanmar bagi membantu siasatan.


“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan atas kesalahan menculik,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan laporan mangsa yang bekerja di sebuah kilang membuat cakera padat (CD) di Merlimau, pada mulanya mangsa ‘diselamatkan’ ejen pekerja asing berkenaan selepas mangsa mengadu kepada lelaki itu mengenai keadaan kesihatannya yang teruk dan mendakwa dia tidak mampu meneruskan kerjanya pada 4 Mac lalu.


Dia kemudian dibawa ke sebuah rumah di Taman Segar pada malam hari sama.

Bagaimanapun, ‘kebebasan’ mangsa tidak bertahan lama apabila dia dikurung lelaki yang ‘menyelamatkannya’ malah, pasportnya turut dirampas.

Copy from myMetro Online

Tengku Ampuan Bariah selamat disemadi

TUANKU Mizan menyiram air mawar di pusara bonda baginda, Almarhum Tengku Ampuan Bariah di Makam Diraja Masjid Al Muktafibillah Shah di Kuala Terengganu, semalam.

KUALA TERENGGANU: Jenazah bonda Yang di-Pertuan Agong, Tengku Ampuan Bariah Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah selamat disemadikan di Makam Diraja Masjid Al Muktafibillah Shah, Ladang, di sini, selepas solat Asar dengan penuh penghormatan diraja, semalam.

Kemangkatan baginda, 78, di Hospital Seri Kota, Klang, Selangor pada jam 1.22 pagi, semalam diumumkan Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong, Datuk Mohd Zuki Ali dalam satu kenyataan.

Jenazah Almarhum dibawa pulang ke sini menggunakan pesawat khas C130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) pada jam 11.45 pagi.

Mengiringi jenazah ialah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah dan keluarga yang berlepas dari pangkalan itu dengan pesawat khas.

Antara yang turut berada di Pangkalan TUDM ialah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah; Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Sebaik tiba di Kuala Terengganu, jenazah Almarhum dibawa ke Istana Maziah untuk membolehkan rakyat memberi penghormatan terakhir mulai jam 1 tengah hari hingga 2.30 petang.

Jenazah kemudian diletakkan dalam pedati khas dan ditarik dari Istana Maziah untuk perjalanan sejauh empat kilometer ke Makam Diraja Masjid Al Muktafibillah dengan diiring Tuanku Mizan, Tuanku Nur Zahirah, keluarga diraja dan ahli EXCO kerajaan negeri dan ketua jabatan dan agensi kerajaan.
Jenazah Almarhum kemudian disemadikan bersebelahan pusara suaminya, Almarhum Sultan Mahmud Al Muktafibillah Shah di makam diraja itu sebelum Mufti Negeri, Datuk Dr Alias Abdullah membacakan talkin dan doa.

Terdahulu, Tengku Puan Pahang Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, berangkat menziarahi Almarhumah yang ditempatkan di Istana Maziah, bagi memberi peluang kerabat diraja dan orang kenamaan memberi penghormatan terakhir.

Tuanku Mizan yang turut diiringi Tuanku Nur Zahirah serta dua anakanda, memasuki ruang Istana Maziah jam 2.05 petang untuk penghormatan terakhir.

Turut menziarahi jenazah Almarhum ialah beberapa kerabat diraja Perak dan Kelantan serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Mohamed Awang Tera bersama isteri Toh Puan Wan Zaharah Wan Yahya; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Rozi Mamat dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Datuk Wan Ahamad Wan Muda.

Sementara itu, Wan Ahamad Wan Muda, berkata kerajaan negeri mengarahkan bendera dikibar separuh tiang sepanjang tempoh berkabung selama 40 hari.

Katanya, sepanjang tempoh berkabung juga, semua program dan kegiatan berunsurkan hiburan dibatalkan.

Almarhum Tengku Bariah diputerakan pada 31 Ogos 1933 di Klang, Selangor berkahwin dengan Almarhum Sultan Mahmud yang pada masa itu bergelar Yang Teramat Mulia Yang Di-Pertuan Muda pada 22 Mac 1952 di Kuala Lumpur.

Almarhum kemudian dikurnia gelaran Tengku Puan Muda oleh Duli Yang Maha Mulia Almarhum Tuanku Al-Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada 7 April 1954 dan dilantik menjadi Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Besar Terengganu pada 20 September 1979.

Copy from Berita Harian Online

Istana Gaddafi musnah dibom


TRIPOLI - Istana utama Pemerintah Libya, Muammar Gaddafi di sini dibom oleh tentera Amerika Syarikat (AS) dan empat negara sekutunya dalam serangan terbaru semalam.

Ia sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa diktator tersebut mungkin terbunuh.

Selepas serangan tersebut, sumber kerajaan Libya segera menyifatkan laporan bahawa anak keenam Gaddafi, Khamis mati dalam serangan tersebut sebagai berita tidak masuk akal.

Khamis masih lagi menjadi komander tentera Brigade ke-32.

Serangan lewat malam itu memusnahkan sama sekali bangunan pentadbiran tiga tingkat yang terletak di dalam kawasan istana yang dikenali sebagai Bab Al-Aziziya itu.

Bangunan pentadbiran yang musnah itu terletak 50 meter dari sebuah khemah Badwi yang lazimnya digunakan oleh Gaddafi untuk menyambut tetamu negara.

Pengarah Staf Jabatan Pertahanan (Pentagon) AS, William E. Gortney menafikan menjadikan pemimpin Libya itu sebagai sasaran.

"Saya boleh jamin beliau (Gaddafi) bukan dalam senarai sasaran. Kami tidak menyasarkan kediamannya. Serangan sebaliknya mahu memusnahkan kemampuan arahan dan kawalan Gaddafi," katanya.

Kepulan asap dapat dilihat dengan jelas dari kawasan istana berkenaan.

Namun kebakaran dikatakan tidak merebak walaupun serpihan konkrit berterabur di kawasan berhampiran.

Lokasi tersebut pernah dibom oleh AS pada tahun 1986 dalam serangan yang menyebabkan anak angkat perempuan Gaddafi, Hana terbunuh.

Gaddafi juga dikatakan sering memberi ceramah di hadapan satu arca emas yang menunjukkan tangan menggenggam replika jet pejuang AS bagi mengingati serangan sebelum ini.

Copy from KOSMO! Online

Ahad, 20 Mac 2011

Pengguna panik beli ayam


KUALA LUMPUR: Kenaikan mendadak harga ayam di pasaran yang mencecah RM8.50 hingga RM9.90 sekilogram tidak menjejaskan permintaan makanan itu apabila bekalan ayam di kebanyakan pasar basah dan kedai runcit habis seawal jam 12 tengah hari.

Tinjauan Harian Metro di beberapa pasar basah, pasar raya dan kedai runcit sekitar ibu kota mendapati kebanyakan pengguna terburu-buru dengan membeli bekalan ayam dalam kuantiti banyak ekoran kebimbangan harga itu akan terus meningkat.


Suri rumah, Saodah Abdullah, 50, berkata pengguna tidak mempunyai pilihan selain membeli ayam walaupun menyedari harga di pasaran terlalu mahal dan membebankan.

“Saya berkeluarga besar yang memerlukan penggunaan ayam yang lebih sebagai bahan masakan.

“Suami dan anak-anak lebih gemar ayam berbanding ikan atau daging menyebabkan saya membelinya dalam kuantiti banyak,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Saodah berkata, kenaikan itu tidak wajar kerana membebankan isi rumah yang terpaksa berbelanja lebih setiap hari terutama sepanjang seminggu cuti persekolahan selain faktor kenduri kahwin.


Pengguna, Ahmad Bohari Mohd Nor, 46, berkata kenaikan harga ayam secara mendadak iaitu kira-kira RM1.50 itu memberi kesan kepada perbelanjaan hariannya.

“Saya harap pihak terbabit memantau harga ayam terutama pada musim cuti sekolah dan perayaan kerana ada pihak mengambil kesempatan menaikkan harga terlalu tinggi,” katanya.

Peniaga pasar basah, R Gopal, 31, berkata peniaga terpaksa menaikkan harga kerana pembekal menjual ayam kepada mereka dengan harga tinggi RM8 sekilogram.

Katanya, peniaga memperoleh untung kecil selain perlu menampung beberapa kos penyelenggaraan termasuk bayaran pekerja dan perkhidmatan yang disediakan pasar itu.


“Minggu lalu, kami menjual ayam pada harga RM7.50 sekilogram, tetapi naik sedikit demi sedikit hingga sekarang dengan harga RM8.50 sekilogram,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abd Rahman, berkata masalah kenaikan harga ayam secara mendadak ini berpunca daripada harga tinggi bekalan makanan ayam yang diimport dari negara luar.

Mohd Yusuf berkata, kebanyakan negara pengimport kini mengalami bencana alam yang menyebabkan bekalan produk dijual dengan harga mahal dan senario ini memberi kesan kepada harga barangan terutama bekalan ayam di pasaran.

Copy from myMetro Online

Periksa paras radiasi di AELB

2011/03/21

PUTRAJAYA: Orang ramai yang bimbang sama ada mereka terdedah dengan pencemaran radioaktif akibat pelepasan bahan cemar itu dari loji kuasa nuklear Fukushima Daiichi di Jepun, boleh menjalani pemeriksaan pengesanan sinaran secara percuma di Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata walaupun pencemaran radioaktif di Malaysia masih berada di tahap normal dan terkawal, tetapi orang ramai yang ingin membuat pemeriksaan, boleh berbuat demikian di AELB.

“AELB berpendapat orang awam tidak perlu melakukan pengesanan sinaran untuk mengesan pencemaran, namun jika orang awam ingin juga melakukan pemantauan individu, AELB bersedia untuk melakukannya secara percuma.

“Kemudahan perkhidmatan pengesanan sinaran ke atas individu itu dibuat mulai jam 8 pagi hingga 6 petang setiap hari di ibu pejabat AELB di Batu 24, Jalan Dengkil, Selangor sejak semalam,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan dalam laman sesawang AELB, semalam.

Maximus berkata, Agensi Nuklear Malaysia yang turut dilengkapi dengan perkhidmatan analisis pencemaran makanan, juga menyatakan kesediaan mereka untuk menawarkan perkhidmatan itu jika diperlukan.

Mengulas mengenai keadaan di negara ini, beliau berkata, pemantauan melalui Sistem Pemonitoran Radiologi Alam Sekitar (ERMS) di enam lokasi seluruh negara menunjukkan paras normal sehingga pagi semalam iaitu 0.029 hingga 0.170 mikro Sievert per jam (uSV/jam).

Copy from Berita Harian Online

48 orang terbunuh, 150 cedera


TRIPOLI - Selepas hampir 42 tahun di puncak kuasa, Pemerintah Libya, Muammar Gaddafi dikejutkan dengan serangan 112 peluru berpandu Tomahawk pada awal pagi semalam yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat (AS) dan sekutu-sekutunya.

Kempen perikatan itu dilihat sebagai yang terbesar sejak Perang Iraq tamat hampir lapan tahun lalu apatah lagi dunia melihatnya sebagai usaha terbaru Barat untuk memaksa Gaddafi berundur.

Selain AS, perikatan Barat itu terdiri daripada Britain, Perancis, Kanada dan Itali.

Kapal Amerika Syarikat yang terlibat dalam serangan itu termasuklah USS Barry, USS Stout, USS Providence, USS Scranton dan USS Florida dengan dibantu sebuah kapal selam Britain, Westminster.

Copy from KOSMO! Online

Khamis, 17 Mac 2011

2 nyaris maut bas terbakar

GOMBAK: Seorang pemandu bas ekspres dan pembantunya nyaris maut apabila kenderaan dipandunya terbakar ketika tiba di Kilometer 23.2 di Lebuhraya Karak, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, bas ekspres dua tingkat yang datang arah Genting Highlands menghala ke Kuala Lumpur untuk mengambil penumpang di Plaza Rakyat terpaksa berhenti secara mengejut selepas tayar belakang sebelah kiri pancit dan terbakar.


Difahamkan, ketika kejadian, pemandu berusia 27 tahun dan pembantunya 29 tahun, dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk mengambil penumpang, namun kenderaan dinaiki tiba-tiba terbakar.

Pemandu terbabit, T Ramu berkata, selepas tayar bas terbabit pancit, dia memberhentikannya di tepi jalan, namun terkejut apabila diberitahu rakannya bahagian enjin terbakar.


Menurutnya, dia dan rakannya cuba memadamkan kebakaran terbabit menggunakan air di dalam baldi yang kebetulan dibawa bersama, namun gagal apabila api mula merebak.


“Saya bersama rakan cuba memadam bas yang terbakar hampir separuh badan menggunakan pemadam api, namun gagal mengawal kebakaran terbabit.

“Selepas gagal memadamkan kebakaran itu, kami menyelamatkan diri dengan membawa bersama dua beg pakaian,” katanya.


Anggota Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Selayang tiba ke tempat kejadian kira-kira 20 minit kemudian, namun gagal menyelamatkan bas terbabit yang hangus terbakar.

Copy from myMetro Online

Pelatih inspektor korban Adenovirus

Oleh Nor Azizah Mokhtar
bhnews@bharian.com.my
2011/03/18

Meninggal selepas 7 hari dimasuk ke HKL

KUALA LUMPUR: Seorang pelatih inspektor, Mohd Redzuan Ishak, 26, dari Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL KL) meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini pagi semalam selepas tujuh hari dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas dijangkiti 'Adenovirus'.

a menjadikan jumlah kematian setakat ini adalah dua orang sejak jangkitan pertama dikesan di pusat latihan utama milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu pada 4 Mac lalu.

Kematian pertama membabitkan seorang pelatih konstabel, Mohd Azizan Azirid, 21, dari Kuala Kangsar, Perak yang meninggal dunia pada Selasa minggu lalu selepas dirawat selama lima hari di unit rawatan sama.

Mohd Redzuan yang berasal dari Bandar Sungai Buaya, Rawang dimasukkan ke HKL sejak Khamis lalu, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 4.20 pagi.

Bapa Mohd Redzuan, Ishak Daharin, 48, menyifatkan kematian anak sulung daripada tiga beradik itu sebagai suratan takdir dan tidak menyalahkan mana-mana pihak atas apa yang berlaku.

“Walaupun saya kehilangan seorang anak yang sangat baik, saya reda... Selepas doktor memberitahu keadaan anak saya semakin kritikal malam tadi (semalam), kami sekeluarga, datuk serta neneknya sentiasa berada di sampingnya sehinggalah dia meninggal dunia.
“Dari kecil dia (Mohd Redzuan) memang mahu menjadi seorang inspektor dan sanggup meninggalkan kerjanya sebagai seorang pegawai di sebuah syarikat galian minyak dan gas semata-mata untuk mengejar cita-citanya itu,” katanya ketika ditemui di HKL, semalam.

Ishak dan isterinya, Nur Faridah Anum Isa, 48, turut mengucapkan terima kasih kepada PDRM kerana banyak membantu dari segala segi termasuk sokongan moral sepanjang anaknya dirawat di HKL.

Copy from Berita Harian Online

Bandar raya Tokyo kelam-kabut


TOKYO - Ribuan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) tidak berfungsi di bandar raya ini semalam manakala berjuta-juta warganya mula menyimpan beras dalam jumlah yang banyak ekoran ketakutan terhadap radiasi dari loji nuklear Fukushima Daiichi yang terletak kira-kira 240 kilometer dari sini.

Lebih memburukkan keadaan, Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun, Banri Kaieda berkata dalam satu kenyataan, negara itu akan berdepan dengan masalah bekalan elektrik selama beberapa bulan lagi.

Amaran itu diberikan kerana bekalan tenaga elektrik ketika ini tidak mencukupi disebabkan masalah kerosakan di loji nuklear Fukushima Daiichi.

Loji nuklear itu telah meletup sebanyak empat kali selepas gempa bumi kuat berukuran 9 pada skala Richter melanda timur laut Jepun pada minggu lalu sehingga mengakibatkan tsunami setinggi 10 meter.

Para pekerja kini berusaha untuk menyejukkan loji nuklear itu yang dikendalikan oleh Syarikat Tenaga Elektrik Tokyo (TEPCO) dengan menggunakan air laut.

Usaha itu dilakukan bagi mengelak lebih banyak kadar radiasi tersebar ke udara sehingga mengancam kesihatan penduduk.

Copy from KOSMO! Online

Rabu, 16 Mac 2011

Lagu Mizz Nina paling tinggi dimuat turun


KUALA LUMPUR: Penyanyi tempatan, Mizz Nina meraih kejayaan membanggakan apabila single, What You Waiting For mencatat jumlah muat turun tertinggi kategori lagu Inggeris tempatan.

Pencapaian itu merujuk pada lagu itu dimuatkan turun melebihi 600,000 unit mengikut tempoh, sejak Julai 2010 hingga Januari lalu.


Atas kejayaan itu, Mizz Nina atau nama sebenar Shazrina Azman menerima plak penghargaan daripada syarikat pengendali perkhidmatan, Maxis, semalam.

Mizz Nina, 30, berkata pencapaian ini suatu yang luar biasa buatnya apatah lagi lagu itu popular dalam tempoh singkat selama tujuh bulan.


“Saya berterima kasih pada semua pihak sama ada stesen radio yang banyak memutarkan lagu ini termasuk peminat dan media yang banyak menyokong,” katanya.


Menurutnya, lagu ini turut mencatat kejayaan apabila ditonton 2.6 juta pengunjung menerusi laman sesawang, YouTube. Lagu ini bukan saja popular di kalangan peminat tempatan malah menembusi pasaran antarabangsa apabila ia menampilkan duet bersama penyanyi popular Amerika Syarikat, Colby O'Donis.

Pada majlis itu, Mizz Nina menerima plak penghargaan disampaikan Pengurus Muzik dan Kerjasama, Maxis Berhad, Melissa Chai.

Copy from myMetro Online

Malaysia belum bersedia bina loji nuklear

2011/03/17

CYBERJAYA: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata Malaysia masih belum bersedia untuk membina dan mengendalikan loji tenaga nuklear.

Malah, katanya, ketika pentadbirannya, Kabinet pernah membuat keputusan memberi tumpuan kepada hanya empat sumber untuk menjana tenaga iaitu minyak, gas, arang batu dan air atau tenaga hidro, manakala nuklear bukan satu pilihan kerajaan ketika itu. "Masih banyak yang kita belum tahu mengenai teknologi lakuran (fusion) kerana sebaik saja ia menjadi radioaktif, kita akan hilang kawalan ke atasnya dan kita juga tidak mengetahui dengan cukup kesan radiasi.

"Selain itu, kita juga tidak tahu macam mana hendak menghapuskan bahan buangan radioaktif dan jika makin banyak negara membina loji tenaga nuklear, lebih banyak bahan buangan terpaksa dilupuskan," katanya selepas merasmikan Bangunan Lestari Kumpulan Emkay, di sini, semalam.

Selain itu, Dr Mahathir berkata, negara juga pernah mempunyai ‘pengalaman buruk’ mengenai nuklear, namun enggan mengulas lanjut perkara itu.

"Saya tidak pasti sama ada orang ramai menyedari perkara ini atau tidak tetapi kita sudah ada ‘pengalaman buruk' dengan nuklear...kita tidak tahu bagaimana hendak menghapuskan bahan nuklear itu," katanya.
Tahun lalu, kerajaan mengumumkan rancangan membina dua loji kuasa nuklear yang masing-masing akan menjana 1,000 megawat sebagai sebahagian daripada rancangan jangka panjang untuk mengimbangi bekalan tenaga.
Loji pertama akan siap dan mula beroperasi pada 2021 manakala loji kedua, setahun kemudian.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin, berkata kerajaan akan mengambil perunding antarabangsa untuk menilai lokasi dan keperluan membina loji berkenaan.

Difahamkan, Malaysia sedang menimbang tiga jenis teknologi reaktor nuklear daripada tujuh negara, termasuk Amerika Syarikat, Perancis, Russia dan China, untuk membina loji jana kuasa nuklear pertama negara pada 2021.

Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, Datuk Dr Daud Mohamad, dilaporkan berkata, teknologi reaktor nuklear terbabit ialah teknologi reaktor air tertekan (PWR), reaktor air berat (PHWR) dan reaktor air didihan (BWR).

Copy from Berita Harian Online

Tokyo lengang angkara radiasi


TOKYO, Jepun - Bandar raya ini yang merupakan antara yang paling sesak di dunia kini sepi seperti bandar hantu semalam dengan lokasi-lokasi tumpuan ramai termasuk restoran sushi dan kedai mi bertukar menjadi lengang.

Kebanyakan sekolah ditutup manakala pekerja-pekerja sektor swasta dibenarkan berada di rumah.

Lapangan terbang-lapangan terbang di sini pula dipenuhi dengan orang ramai berbaris panjang untuk menunggu penerbangan keluar dari sini.

Situasi itu berlaku ketika pihak berkuasa Jepun bertungkus-lumus untuk mengelak negara itu ditimpa bencana nuklear akibat empat letupan di loji nuklear Fukushima yang bermula pada minggu lalu.

Loji nuklear tersebut yang dimiliki Syarikat Tenaga Elektrik Tokyo (TEPCO), terletak 240 kilometer dari bandar raya ini.

"Lihatlah sendiri, keadaan dalam bandar raya ini lengang seperti pada hari Ahad, langsung tiada kereta," kata seorang pemandu teksi berusia 62 tahun, Kazushi Arisawa ketika menunggu lebih sejam di luar sebuah menara pejabat yang mana sebelum ini, dia boleh mendapat pelanggan dalam masa cuma beberapa minit.

Kebanyakan penduduk di sini menyimpan makanan dan memilih untuk berada di rumah.

Copy from KOSMO! Online

Khamis, 10 Mac 2011

Tuanku mizan naik kapal selam


KOTA KINABALU - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berpuas hati dengan prestasi dan keupayaan angkatan kapal selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengendalikan KD Tunku Abdul Rahman, kata Panglima TLDM, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar semalam.

Seri Paduka yang menaiki KD Tunku Abdul Rahman semasa kapal itu menyelam pada kedalaman maksimum operasi di Laut China Selatan memuji keupayaan kapal selam berkenaan untuk berada pada tahap kesiagaan yang tinggi.

"Dengan penyelaman yang disertai oleh Tuanku, ini jelas menyangkal tohmahan dan juga kenyataan negatif yang menyatakan kapal selam negara tidak boleh belayar dan tidak boleh menyelam.

"Dalam konteks kapal selam ini, sekali lagi saya mengatakan bahawa kedua-dua kapal selam milik negara iaitu KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak adalah dalam keadaan yang baik dan beroperasi pada tahap optimum," katanya selepas keberangkatan balik Seri Paduka Baginda di sini.

Copy from KOSMO! Online

Selasa, 8 Mac 2011

Protes bakar diri


PETALING JAYA: Seorang warga emas sanggup menyimbah petrol pada badannya kononnya mahu membakar diri sebagai protes atas tindakan penguat kuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang mahu merobohkan satu premis yang didirikan di kawasan rumahnya di Taman Sri Sentosa, di sini, semalam.

Lelaki berusia 65 tahun itu bertindak sedemikian selepas usahanya memujuk pihak berkuasa tempatan berkenaan supaya tidak merobohkan premisnya tidak membuahkan hasil.


Dalam kejadian kira-kira jam 10.45 pagi itu, lelaki terbabit tergamam sebaik melihat kelibat anggota penguat kuasa MBPJ hadir di kawasan kilangnya.

Difahamkan, sebelum ini pihak MBPJ sudah memberi amaran dan mengarahkan lelaki terbabit merobohkan premis yang didirikan di bahagian rumahnya yang tidak boleh didirikan sebarang premis lain.

Lelaki itu bagaimanapun dipercayai ingkar dan cuba menghalang tugas anggota berkenaan yang mahu merobohkan premis terbabit dengan memaki hamun mereka sebelum mengambil petrol untuk membakar dirinya sebagai protes.


Anak lelaki warga emas itu yang berusia 30-an turut campur tangan apabila tiba-tiba mengamuk dan memaki hamun anggota bertugas.


Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohammed, berkata sebaik melihat tindakan ‘berani mati’ warga emas terbabit, polis cuba memujuknya supaya tidak berbuat demikian.

“Namun, dia tidak tenang walaupun dipujuk dengan cuba mengambil pemetik api dihalang polis dan diselamatkan.


“Lelaki terbabit diberi bantuan membersihkan diri sebelum ditahan dan dibawa ke balai polis,” katanya ketika dihubungi semalam.

Namun, Arjunaidi berkata, warga emas terbabit tidak cedera.


Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh diri dan Seksyen 186 kerana menghalang tugas penjawat awam.


“Siasatan lanjut berhubung kejadian itu masih dijalankan dan keterangan lelaki itu akan diambil bagi membantu siasatan,” katanya.

Copy from myMetro Online

PM umum 9 projek ETP RM2.26b


Pendapatan Negara Kasar menjelang 2020 diramal bernilai RM11.71 bilion

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan sembilan projek permulaan baru di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) dengan pelaburan bernilai RM2.26 bilion yang dijangka menjana Pendapatan Negara Kasar (PNK) bernilai RM11.71 bilion menjelang 2020.
Ia terdiri daripada Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) pelancongan, perubatan, pertanian, sawit dan getah, elektrik dan elektronik serta minyak dan gas.


Sembilan projek baru berkenaan adalah sebahagian daripada 23 projek permulaan baru yang diumumkan sejak awal tahun ini, membabitkan pelaburan keseluruhan RM14.75 bilion dan dijangka menjana PNK bernilai RM20.1 bilion serta mewujudkan 88,354 pekerjaan tambahan menjelang 2020.

Perdana Menteri berkata, semua projek permulaan baru itu akan membantu negara mencapai sasaran pelaburan RM83 bilion tahun ini.

“Daripada jumlah pelaburan yang disasarkan, RM76 bilion dijana menerusi pelaburan dalam projek permulaan,” katanya ketika mengumumkan perkembangan terkini ETP di sini semalam. Mendahului senarai pelaburan projek ialah NKEA pelancongan, apabila Globalports Sdn Bhd dan Marina Sanctuary Resort Sdn Bhd melabur RM600 juta untuk membina kemudahan di Marina Island Pangkor, iaitu pusat peranginan dan hiburan terkemuka yang dapat menyokong pertumbuhan industri pelayaran. Ia dijangka menyumbang RM9 bilion kepada PNK sehingga 2020.
Di bawah NKEA perubatan, General Electric Malaysia (GE) dan rakan kongsi tempatan, REDtone International akan melabur dalam teknologi dan kepakaran bagi membangunkan hab teleradiologi dengan jangkaan sumbangan PNK sebanyak RM540 juta dan 1,500 pekerjaan menjelang 2020.

Sementara itu, Lembaga Pembangunan Pertanian Muda (MADA) akan melabur RM99.6 juta di bawah NKEA pertanian tahun ini untuk meningkatkan sistem pengairan serta menggalakkan perkongsian antara petani kecil dengan petani besar. Usaha itu dijangka meningkatkan pendapatan petani 30 hingga 50 peratus menjelang 2020 dengan pulangan sebanyak RM1 bilion.

Di bawah bidang sama, Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI) akan melabur RM26.6 juta untuk menggalakkan penanaman padi beras wangi di kawasan bukan jelapang dan memasarkannya sebagai beras wangi dan semula jadi dengan menyumbang RM133 juta kepada PNK.

Bidang lain termasuk:

Pelaburan RM416.2 juta oleh Emery Oleochemicals Group yang bakal menyumbang RM155 juta kepada PNK dan mewujudkan 86 pekerjaan baru.

Pelaburan RM12 juta oleh QAV Technologies Sdn Bhd untuk membangunkan pusat pensijilan cahaya keadaan pepejal dan diod pemancar cahaya serta menjana PNK sebanyak RM510 juta.

Pelaburan RM1 bilion oleh RG Gas and Chemicals Sdn Bhd yang menyumbang RM360 juta.

Pelaburan RM94.29 juta oleh Cypark Resources Bhd yang dijangka menjana PNK sebanyak RM12.16 juta.

Faber Group Bhd menerajui projek Sistem Pengurusan Prestasi Tenaga (EPMS) dan memulakan audit tenaga di lima hospital awam bagi memastikan penggunaan kecekapan tenaga dengan menghasilkan RM18 juta penjimatan menjelang 2020.

Copy from Berita Harian Online

Taman tema dinaik taraf


KUALA LUMPUR – Taman tema dalaman terbesar di Malaysia, Berjaya Times Square Theme Park akan dinaikkan taraf menjelang akhir tahun ini untuk menjadikannya lebih unik untuk menarik lebih ramai pelancong asing serta tempatan.

Ketua Taman Tema dan Pawagamnya, Daniel W.W. Cheong berkata, pihaknya berharap melalui cadangan tersebut ia akan menjadikannya sebagai sebuah taman utama di Asia Tenggara.

“Tumpuan juga diberikan kepada usaha menyediakan program-program pendidikan yang menghiburkan kanak-kanak,” katanya pada majlis pelancaran program tanggungjawab sosial korporat syarikat itu, Shower of Love Celebration, di sini semalam.

Copy from KOSMO! Online

Isnin, 7 Mac 2011

Aznil kembali bersama AF9


Kuala Lumpur: Persoalan siapa pengacara rancangan realiti TV pencarian bakat popular, Akademi Fantasia (AF) terjawab apabila Astro Ria mengumumkan Aznil Nawawi, 49, kembali mengemudi rancangan itu untuk musim terakhir.

Majlis pengumuman mengenainya dibuat Astro Ria di Hotel Double Tree by Hilton KL, di sini, semalam. Turut hadir Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi dan bekas juara rancangan itu seperti Zahid, Mawi, Hafiz dan Shahir.


Menurut Azlin, pihaknya memutuskan melamar Aznil kembali mengacarakan AF untuk musim kesembilan (AF9) selepas mengambil kira, pengacara popular itu pernah mengendalikan rancangan sama bermula musim pertama hingga musim kelima sebelum diambil alih Datuk AC Mizal dan Sarimah Ibrahim untuk AF musim kelapan.

Menurutnya, kehadiran Aznil mengemudi kembali rancangan hiburan itu dilihat dapat memberikan impak memandangkan dia mempunyai pengalaman selain pengetahuan mendalam membabitkan AF yang mempunyai ramai peminat setia. “Kredibiliti Aznil dalam bidang pengacaraan tidak boleh disangkal. Apatah lagi sebelum ini pelbagai anugerah dan pengiktirafan di diterima sama ada dalam mahupun luar negara. “Melihat pengalaman dan kekuatan Aznil itu, kami yakin beliau mampu mengembalikan memori kegemilangan AF sekali gus mengemudikan program ini dengan gayanya tersendiri,” katanya.


Sementara itu, Aznil berkata, sebelum ini dia menutup mulut mengenai hal itu kerana terikat dengan syarat diberikan Astro.


“Pada saya kembali mengendalikan Akademi Fantasia musim terakhir ini umpama sirih pulang ke gagang,” katanya.

Copy from myMetro Online

Empat peratus bayar saman trafik

2011/03/08

PUTRAJAYA: Walaupun pesalah trafik diberikan diskaun dan tempoh bayaran saman dilanjutkan sehingga Khamis ini, hanya empat peratus atau 700,000 daripada kira-kira 17.3 juta saman dibayar setakat kelmarin.

Ini bermakna, sejak tempoh pemberian diskaun dilanjutkan selama 10 hari bermula Selasa lalu lalu, purata 117,000 saman dibayar sehari bagi enam hari pertama tempoh lanjutan diberikan.
Namun, Kementerian Dalam Negeri (KDN) semalam memberi amaran tidak melanjutkan tempoh pembayaran dengan diskaun itu dan tindakan senarai hitam akan berkuat kuasa mulai Jumaat ini.

Gambar hiasan

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop, berkata masih ada 16.6 juta saman belum diselesaikan sehingga kelmarin walaupun kerajaan melanjutkan tempoh pemberian diskaun selepas mengambilkira masih ada yang mahu menjelaskan kompaun dan sudah ke balai polis tetapi tidak dapat berbuat demikian walaupun kaunter dibuka hingga lewat malam.

“Jika benar-benar mahu membayar, mereka wajar mengambil peluang tempoh lanjutan yang diberikan. Kita berharap mereka segera berbuat demikian,” katanya.

Rabu lalu, Kabinet melanjutkan tempoh pemberian diskaun saman yang tamat 28 Februari lalu kepada Khamis ini bagi memberi peluang kepada pesalah menjelaskan saman selepas kerajaan menerima banyak rayuan.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan orang ramai yang memiliki saman yang dikeluarkan sebelum 1 Disember lalu, berpeluang menikmati insentif 50 peratus diskaun dan jika gagal dijelaskan sehingga 28 Februari, nama mereka akan disenaraihitamkan.
Abu Seman berkata, kementerian dalam proses melaksanakan penyelarasan antara polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam beberapa aspek termasuk kompaun dan bayaran saman.

Beliau juga meminta pesalah trafik mengemukakan bukti jika mendakwa saman yang dikeluarkan tiada justifikasi untuk dikaji polis.

Copy from Berita Harian Online

Majlis Fatwa mahu jumpa penganjur pameran mistik


Gambar Hiasan

KUALA TERENGGANU - Majlis Fatwa Negeri Terengganu (MFNT) akan mengadakan pertemuan dengan penganjur pameran mistik, Dynasty Event Sdn. Bhd. pada 14 Mac ini bagi menyelesaikan kontroversi berhubung pameran yang bakal diadakan pada bulan depan.

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Datuk Shaikh Harun Ismail berkata, pihaknya telah memaklumkan perkara itu kepada mufti negeri mengenai perbincangan yang akan diadakan dengan penganjur itu.

"Kita akan mengadakan perbincangan dengan penganjur pameran itu pada Isnin depan bagi meneliti pengisian program yang akan diadakan itu," katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian Tadarus al-Quran Terengganu FM di sini semalam.

Shaikh Harun berkata, secara sepintas lalu apa yang hendak dipamerkan itu ada sebahagiannya tidak bercanggah dengan agama.

"Jadi yang bercanggah atau perkara itu yang secara jelasnya tidak ada salah tetapi kalau kita tengok dia akan mendatangkan keburukan kepada masyarakat, kita tidak akan benarkan.

"Saya akan tapis mana perkara yang boleh dipamer atau perkara yang tidak boleh," katanya.

Copy from KOSMO! Online

Ahad, 6 Mac 2011

Jebak hasutan rakan

KUALA LUMPUR: Akibat terdedah kepada persekitaran kerja yang tidak ‘sihat’ di samping dipengaruhi anasir jahat seperti hasutan rakan sebaya, ramai remaja perempuan terjebak dalam kegiatan tidak bermoral seperti pelacuran.

Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM), Prof Madya Dr Mohamed Fadzil Che Din berkata, remaja mudah dipengaruhi faktor persekitaran menyebabkan mereka bersikap materialistik sehingga ada yang sanggup menjual tubuh bagi mendapatkan wang.


“Sikap materialistik dan terikut-ikut dengan gaya hidup semasa serta rakan sebaya mendorong mereka melakukan kegiatan serong terutama bagi remaja perempuan yang menjual diri sebagai jalan paling mudah untuk mendapatkan wang.

“Selain itu, suasana persekitaran di tempat kerja yang memudahkannya terdedah dengan bahan tidak senonoh seperti boleh melayari laman web lucah sesuka hati merangsang remaja terbabit melakukan perbuatan keji itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Beliau mengulas laporan muka depan Metro Ahad semalam mengenai seorang gadis penjaga kafe siber judi tanpa lesen yang menawarkan perkhidmatan seks secara rahsia kepada kaki judi yang ‘menang besar’ di tempatnya bekerja.


Menurut gadis yang mahu dikenali sebagai Ahsia, 19, apabila menyedari ada pelanggan menang besar, dia akan cuba mendekati lelaki berkenaan sebelum menawarkan perkhidmatan seks.

Dia turut mengakui terpujuk oleh ajakan seorang rakan yang meyakinkannya supaya mencuba pekerjaan sebagai penjaga kafe siber termasuk mengajar cara mendapatkan wang tambahan.


Selain itu, Dr Mohamed Fadzil berkata, kebanyakan remaja seperti Ahsia boleh dibantu bagi membolehkannya meneruskan kehidupan kerana dia masih muda.

“Kita boleh mengambil pendekatan memberi sesi kaunseling untuk merawat nilai, pemikiran dan perasaannya untuk mengetahui punca lain menyebabkan dia terjebak dalam kegiatan ini.


“Tiga perkara itu perlu diambil berat dan dilakukan secara perlahan-lahan supaya mudah baginya menerima nasihat yang positif seterusnya mengubah perspektif kehidupan,” katanya.


Tambahnya, remaja ini juga harus dibawa keluar dari tempat pekerjaan asalnya sebab semakin lama dia berada di situ, dia akan lebih merosakkan dirinya.

Copy from myMetro Online

Pelajar patah tangan kena belasah

Oleh Rashidi Karim

2011/03/07

KANGAR: Seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun parah dibelasah sekumpulan pelajar lain yang bertindak ala samseng membawa mangsa keluar dari kelas ketika guru sedang mengajar sebelum membelasahnya di Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Safi (SMKSS), Simpang Empat, dekat sini, Jumaat lalu.

Muhammad Shahfaly Anoar, pelajar Tingkatan Tiga sekolah itu dimasukkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, selepas tulang bahunya terkehel dan patah lengan kiri serta luka di kening akibat teruk dibelasah tiga daripada 10 pelajar yang menunggu di tingkat bawah bilik kelasnya dalam kejadian jam 11 pagi itu.
Kejadian hanya disedari bapa mangsa, Anoar Ahmad, 38, selepas melihat anak sulung daripada empat beradik itu yang dalam kesakitan, dipapah keluar oleh rakan sekelas ketika mengambil mangsa waktu pulang sekolah kira-kira jam 12.15 tengah hari Jumaat lalu.

Anoar mendakwa, guru sekolah itu gagal memberi rawatan kecemasan kepada anaknya, malah lebih dikesali semua guru mendakwa tidak mengetahui kejadian itu walaupun anaknya dipaksa keluar oleh suspek dari dalam kelas ketika guru sedang mengajar.

“Saya amat terkilan dengan sikap guru yang tidak mengambil peduli masalah disiplin pelajar sekolah berkenaan serta gagal bertindak melindungi anak saya sehingga teruk dibelasah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Simpang Empat, dekat sini, semalam.

Beliau bertindak membuat laporan selepas kejadian terbabit di Balai Polis Simpang Empat, kira-kira jam 7.30 malam Jumaat lalu. Berikutan kecederaan teruk dialami itu, Muhammad Shahfaly diberi cuti sakit selama 11 hari dan dibenarkan keluar dari HTF, petang kelmarin.

Sementara itu, Muhammad Shahfaly berkata, seorang daripada suspek memasuki kelas di tingkat satu ketika guru sedang mengajar sebelum bertindak memegang tengkuk dan mengheretnya turun ke tingkat bawah sebelum membelasah.
“Di tingkat bawah, saya lihat tidak kurang 10 pelajar sedang menunggu dan tiga daripada mereka, termasuk suspek yang memasuki kelas memukul hingga saya berasa hendak pitam. Bagaimanapun, mereka melarikan diri selepas mendengar pekikan daripada seorang guru yang kebetulan lalu di itu.

“Beberapa pelajar lain bertindak memapah saya memasuki kelas semula dalam keadaan lemah dan tidak bermaya, bagaimanapun guru lelaki yang sedang mengajar ketika itu tidak menanyakan keadaan diri saya, malah guru yang menyuraikan suspek juga langsung tidak menjenguk saya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, polis sudah menahan empat pelajar sekolah berkenaan bagi membantu siasatan.

“Semua empat pelajar lelaki berusia 14 dan 15 tahun itu ditahan di rumah masing-masing malam tadi (kelmarin). Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaaan kerana mendatangkan kecederaan parah terhadap mangsa,” katanya.

Copy from Berita Harian Online

Bala minum air petai 'menangis'


GEORGE TOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengingatkan orang ramai supaya tidak meminum air yang kononnya keluar dari sebatang pokok petai 'menangis' di sini kerana ia mungkin mengandungi virus kencing tikus (leptospirosis)

Pegawai Pendidikannya, N. V. Subbarow berkata, sehubungan itu orang ramai perlu berhati-hati kerana banyak punca penyakit berjangkit disebarkan oleh binatang atau serangga termasuklah leptospirosis yang disebarkan melalui air.

Beliau berkata, tindakan meminum air berkenaan hanya mendedahkan orang ramai kepada risiko termasuk penyakit kerana tidak mengetahui punca sebenar air tersebut.

Copy from KOSMO! Online

Khamis, 3 Mac 2011

‘Susah nak cari makan’


KUALA LUMPUR: “Harga minyak naik, harga barang pun naik, susah peniaga nak cari makan,” keluh peniaga burger, Asraf Ahmad, 24 berikutan kenaikan beberapa harga barang yang memberikan kesan kepada perniagaan yang diusahakannya di sini.

Katanya, harga sedozen roti burger yang dibelinya sebelum ini RM9, namun baru-baru ini ia naik sehingga RM12.80 sedozen.


“Selain itu, harga sos, mayonis dan kicap turut mengalami kenaikan,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro di beberapa kawasan di sini mendapati beberapa barang kegunaan harian mengalami kenaikan harga, malah ada beberapa barang makanan utama mengalami peningkatan harga sehingga menyebabkan peniaga serba salah untuk menaikkan harga.


Kenaikan itu dakwa mereka kerana harga ditawarkan pemborong amat tinggi berbanding harga sebelumnya.


“Payah sebab kami nak jaga pelanggan, tapi harga daging naik pula,” kata Kamarulzaman Ghazali, 55, yang kini berada dalam dilema untuk menaikkan harga daging dalam pasaran.

Menurut Kamarulzaman, harga borong bagi sekilogram daging tempatan RM18 dan harga daging import antara RM12 hingga RM13, namun berlaku perubahan harga yang mendadak baru-baru ini.


“Harga baru kami terima dari pemborong semalam RM24.50 bermakna harga daging tempatan naik RM6.50,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sementara itu, beberapa pelanggan yang ditemui berkata, kenaikan harga barang membebankan mereka. Menurut Rafei Jamil, 32, harga makanan mentah utama tidak perlu dinaikkan kerana ia akan membebankan.


“Sepatutnya harga makanan mentah seperti ayam, daging dan ikan tidak perlu naik kerana harga sekarang pun membebankan,” katanya.


Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, ketika mengulas isu kenaikan harga barangan, berkata keadaan ini sukar untuk dikawal memandangkan sifat tamak sesetengah peniaga yang mengaut keuntungan mudah menaikkan harga barang sesuka hati.


Katanya, sifat tamak peniaga sukar untuk dikikis memandangkan mereka tahu pembeli pasti akan membeli barangan keperluan harian berkenaan.


Menurutnya, bagi menangani masalah ini pengguna mempunyai hak bagi membasmi penularan kenaikan harga barang.

Copy from myMetro Online

Kekayaan 40 individu RM186.3b


Syed Mokhtar kekal orang Melayu paling kaya dengan aset RM7.5 bilion

KUALA LUMPUR: Kekayaan terkumpul 40 individu terkaya Malaysia kini bernilai kira-kira RM186.3 bilion, meningkat 22 peratus atau RM33.3 bilion disebabkan peningkatan ekonomi negara sebanyak 7.2 peratus tahun lalu, iaitu tertinggi sejak 2000.
Mengikut senarai individu terkaya Malaysia 2011 majalah Forbes Asia, hanya seorang ahli perniagaan baru disenaraikan antara individu terkaya Malaysia tahun ini iaitu Pengarah Urusan QL Resources Bhd, Chia Song Kun dengan kekayaan berjumlah RM1.2 bilion.

Jutawan yang terbabit dalam industri pengeluaran makanan laut, memproses minyak sawit mentah dan ternakan ayam ini terus melonjak ke tangga ke-24, mengatasi nama besar yang sebelum ini berada dalam senarai 40 jutawan Malaysia.

Menurut majalah itu lagi, Tan Sri Syed Mokhtar Bukhary kekal sebagai orang Melayu terkaya di Malaysia dengan harta terkumpul berjumlah RM7.5 bilion dan menduduki tangga kelapan dalam senarai itu.

Anak bekas Perdana Menteri, Datuk Mokhzani Mahathir yang juga Pengerusi Eksekutif Kencana Petroleum Bhd berada pada tangga ke-15 dalam senarai itu dengan kekayaan sebanyak RM1.8 bilion.

Turut tersenarai ialah adik Perdana Menteri, Pengarah Urusan Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak dengan jumlah harta kekayaan sebanyak RM495 juta di kedudukan ke-36.
Pengerusi Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), Tan Sri Rozali Ismail yang memiliki kekayaan berjumlah RM465 juta berada di tangga ke-37.

Menurut majalah itu kedudukan pertama dan kedua orang terkaya di Malaysia masih tidak berubah iaitu masih dimiliki Raja Gula iaitu Tan Sri Robert Kuok yang memiliki harta sejumlah RM37.8 bilion diikuti Ketua Pegawai Eksekutif Maxis Communication, Tan Sri Ananda Krishnan sebanyak RM28.8 bilion.

Copy from Berita Harian Online

Guru sandaran boleh kerja semula


TONGOD (Sabah) – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) mengumumkan berita gembira buat 13,000 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang menerima surat pemberhentian pada tahun lepas bahawa notis itu ditarik balik.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, beliau telah meneliti keadaan itu dan membuat keputusan GSTT harus dikekalkan.

Serentak itu, beliau mengingatkan GSTT supaya bersedia berkhidmat di mana sahaja mereka dihantar bertugas kerana mereka tidak semestinya dihantar bertugas semula di sekolah asal.

“Saya minta Ketua Pengarah Kementerian Pelajaran mengeluarkan surat pemberitahuan kepada mereka yang sudah berkhidmat dua, tiga hingga lima tahun, kita beri mereka peluang meneruskan perkhidmatan dan menempatkan mereka di tempat yang sesuai,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas menyampaikan dividen ladang Projek Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) Tongod dan Geran Komunal Lalampas Tongod di sini semalam.

Copy from KOSMO! Online

Rabu, 2 Mac 2011

Tipu rakan kongsi ladang tembikai


KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat perniagaan kononnya menawarkan perkongsian perniagaan ladang tembikai dan hartanah di ibu kota dikesan mengaut keuntungan jutaan ringgit hasil yuran seminar dan modal peserta yang berminat menyertainya.

Taktik syarikat terbabit mudah iaitu menghantar SMS secara rambang kepada mangsa dengan menyatakan mereka bertuah kerana terpilih menjadi rakan kongsi perniagaan yang dijalankan selain memujuk supaya hadir ke seminar dianjurkan mereka di hotel terkemuka.


Bagi meyakinkan mangsa, mereka akan menggunakan kertas kerja dan dokumen tertentu seolah-olah program yang dianjurkan mendapat pengiktirafan kerajaan.

Seorang mangsa yang juga ahli perniagaan, Saberi Abdullah, 44, berkata dia tertarik menyertai seminar dianjurkan syarikat terbabit pada akhir Oktober dua tahun lalu selepas menerima SMS.


Katanya, sebaik menyertai seminar itu, dia dipujuk empat lelaki yang juga menjawat jawatan penting dalam syarikat terbabit untuk menjadi rakan kongsi.


“Mereka memujuk saya membayar RM26,800 untuk modal perkongsian pakej emas bagi mendapat keuntungan berkali ganda.

“Saya setuju mengambil pakej ditawarkan dan membayar wang pendahuluan RM10,000 dengan kad kredit sebelum mengkreditkan jumlah selebihnya secara ansuran dalam akaun diberi syarikat itu,” katanya ketika ditemui pada sidang media di pejabat MCA, di sini, semalam.


Hadir sama, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Micheal Chong dan Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno Malaysia, Datuk Muhd Khairun Aseh.

Saberi berkata, selepas pembayaran dibuat, keuntungan yang dijanjikan tidak diperoleh hingga kini, malah dia dipaksa memasukkan sejumlah wang lagi bagi mengelakkan modalnya lenyap.


“Saya memasukkan wang kepada mereka sebelum menerima cek palsu pada 23 Januari lalu bernilai RM42,000.


“Saya cuba menghubungi mereka, tetapi gagal. Saya yang berasa tertipu membuat satu laporan pada 24 Februari lalu di Balai Polis Dang Wangi,” katanya yang yakin ramai lagi mangsa terpedaya helah syarikat itu.


Menurutnya, purata 15 orang sehari mangsa yang hadir ke seminar dianjurkan syarikat terbabit dan mereka masih aktif menipu ahli perniagaan di seluruh negara.


Sementara itu, Khairun menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan penipuan melalui SMS itu kerana ia memperdaya mangsa tanpa disedari.

Copy from myMetro Online

Sekolah ditutup pelajar mati kena H1N1

KUALA LUMPUR: Sebuah sekolah menengah di Sungai Long, Kajang diarah tutup sekurang-kurangnya seminggu mulai hari ini selepas seorang pelajarnya yang berusia 16 tahun disahkan meninggal dunia akibat dijangkiti virus Influenza A (H1N1) pada 24 Februari lalu.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata hasil pemeriksaan Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat di sekolah berkenaan sejak tiga hari lalu menunjukkan wujud simpton virus berkenaan.

Katanya, dalam pemeriksaan di sekolah itu semalam, pegawai kesihatan yang membuat pemantauan mendapati 15 pelajar mempunyai simpton dijangkiti selesema.

“Hasil pemantauan dan pemeriksaan itu, kita membuat keputusan menutup sekolah terbabit bagi mengelak penularan wabak berkenaan. Bagaimanapun, kes di sekolah berkenaan dianggap kes terpencil.

“Kementerian menasihatkan pelajar dan ibu bapa supaya tidak berlengah mendapatkan rawatan jika mendapati diri atau anak mereka mempunyai simpton berkenaan,” katanya kepada Berita Harian, malam tadi.

Beliau berkata, pemantauan Jabatan Kesihatan di sekolah berkenaan semalam mendapati seramai 149 pelajar dan dua guru tidak hadir ke sekolah kerana menghidap selesema.
Katanya, kementerian masih menjalankan siasatan dan laporan mengenainya sedang disiapkan.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Selangor, Sulaiman Wak mengesahkan Kementerian Kesihatan mengarahkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Sungai Long ditutup dan dikuarantin mulai hari ini.

Katanya, pelajar terbabit dikatakan pulang dari melancong ke China baru-baru ini dan mula menunjukkan simpton menghidap selesema.

“Seorang guru sekolah terbabit yang melawat pelajar berkenaan di rumahnya kemudian turut mengalami simpton sama dan ada pelajar lain turut mengalami simpton sama,” katanya.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang dipetik dalam Buletin Utama TV3 malam tadi mengesahkan seorang pelajar berusia 16 tahun dari sekolah itu meninggal dunia selepas menghidap simpton batuk sejak seminggu lalu.

Copy from Berita Harian Online
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/SekolahditutuppelajarmatikenaH1N1/Article

Sewa pesawat Boeing 747 MAS


KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu akan menghantar 514 pelajar dari negeri ini kembali menyambung pengajian mereka di Mesir dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS) Boeing 747 yang disewa khas dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) dekat sini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, kerajaan negeri akan menanggung kos penerbangan itu dengan jumlah pelajar yang terbabit dijangka diketahui hasil perbincangan dengan MAS pada 7 Mac ini.

"Kami jangka semua pelajar ini akan dapat kembali ke Mesir pada pertengahan bulan ini jika tiada sebarang masalah," katanya di sini semalam.

Jelasnya, bilangan pelajar yang akan ditanggung oleh kerajaan negeri itu tidak termasuk 46 pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan 52 pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Copy from KOSMO! Online

Selasa, 1 Mac 2011

3 polis bantuan subahat culik


KUALA LUMPUR: Tiga anggota polis bantuan yang bertugas di sebuah syarikat di ibu negara diberkas dalam beberapa serbuan minggu lalu kerana dipercayai bersubahat dengan satu kumpulan penculikan membabitkan warga Pakistan.

Ketiga-tiga lelaki berusia 30-an itu dipercayai bersubahat dengan kumpulan penculik yang didalangi warga Pakistan untuk menyamar sebagai polis dengan mereka berpura-pura memeriksa mangsa yang juga warga Pakistan sebelum menculik mereka.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata tangkapan itu dilakukan susulan kejayaan memberkas empat dalang utama kumpulan terbabit baru-baru ini yang turut menyelamatkan tiga mangsa culik.

“Pada 19 Februari lalu, kami menahan empat suspek warga Pakistan yang dipercayai menculik tiga lelaki senegara untuk meminta wang tebusan dianggar RM620,000.


“Susulan itu, siasatan mendapati tiga lagi suspek warga tempatan yang bekerja sebagai polis bantuan terbabit penculikan itu,” katanya di sini, semalam.


Menurutnya, polis merampas beberapa gari dan pistol mainan yang dipercayai digunakan suspek untuk menyamar sebagai polis sebelum menculik mangsa dan menyerahkan kepada dalang kumpulan itu untuk urusan tuntutan wang tebusan.

“Kami percaya ketiga-tiga suspek terbaru ini terbabit sekurang-kurangnya lima kes penculikan warga Pakistan sejak tahun lalu dan semuanya direman sehingga 6 Mac ini,” katanya.


Sementara itu, dalam kes berasingan, Ku berkata pihaknya kini memburu suspek utama berhubung dua kes samun van keselamatan membabitkan kerugian RM1.18 juta.

Katanya, suspek yang juga pengurus syarikat keselamatan, S Krishnan, 53, dikehendaki bagi membantu siasatan kes samun di Kepong pada 20 Disember tahun lalu membabitkan jumlah wang RM850,000 dan satu lagi kes di Taman Segar Cheras membabitkan RM330,000.


“Dua suspek berusia 50-an sudah ditahan dan suspek utama kes ini diburu, bagaimanapun serbuan ke rumah suspek baru-baru ini mendapati suspek sudah menghilangkan diri,” katanya.

Copy from MyMetro Online

Kediaman PM dibuka semula untuk lawatan

2011/03/02

PUTRAJAYA: Kediaman rasmi Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana, di Presint 10 di sini, kini dibuka semula kepada lawatan orang ramai setiap hari dari jam 9 pagi hingga 3 petang kecuali Jumaat.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataannya, berkata orang ramai yang ingin berkunjung ke Seri Perdana boleh mendapatkan keterangan lanjut mengenai jadual dan permohonan lawatan menerusi laman web www.seriperdana.gov.my atau menghubungi talian 03-8888 8200 dan 03- 8888 8201.
Katanya, pembukaan bahagian tertentu seperti Blok Protokol dan Blok Bankuet, Seri Perdana membolehkan orang ramai mengetahui lebih lanjut acara rasmi yang berlangsung di situ termasuk menjadi tuan rumah kepada pembesar dan misi diplomatik luar negara.

Langkah ini juga membolehkan orang ramai menyaksikan pelbagai koleksi, hadiah, anugerah dan cenderahati yang diterima oleh Perdana Menteri daripada pembesar luar dan dalam negara di galeri pameran yang juga terletak di Aras Bawah, Blok Bankuet.

Setiap lawatan akan bermula dari Aras Bawah, Blok Bankuet dan pengunjung akan dibawa ke ruang pameran yang memaparkan sejarah mengenai institusi Perdana Menteri, sejarah rumah Perdana Menteri terdahulu dan majlis rasmi yang diadakan di situ.

Blok Protokol pula orang ramai akan dibawa mengunjungi bilik tetamu, bilik mesyuarat dan bilik jamuan yang terdapat di Aras 1 dan juga di bawah blok tersebut, sebelum dibawa melawat kawasan Laman Sari di perkarangan Seri Perdana.

Copy from KOSMO! Onl

‘Kami tiada niat lawan ulama’


KUALA TERENGGANU – Penganjur pameran kontroversi bertemakan Masyarakat Berakidah, Dynasty Event Sdn. Bhd menegaskan, tidak timbul isu pihaknya menentang keputusan Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan kerana program itu sendiri telah dirancang sealiran dengan tuntutan agama.

Pengerusinya, Dr. Abdul Manan Embong berkata, pameran itu kelak bukan bertujuan untuk memaparkan artifak dan objek mistik semata-mata, malah untuk membendung akidah umat Islam daripada terus terpesong.

Menurutnya, mereka sudah berbincang dengan pelbagai agensi termasuk Jabatan Mufti Terengganu dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bagi memastikan program itu mencapai objektif yang ditetapkan.

“Kami cukup kesal kerana hasrat murni program ini telah disalah tafsir oleh sesetengah pihak dengan memberi gambaran negatif,’’ katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Copy from KOSMO! Online

Nuffnang Ads

 

Sample text

Sample Text

Sample Text